Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Dari royalti kepada wang ehsan: "politik tanpa moral"?

Dalam arena politik memang ada golongan atau puak yang mengamalkan "politik tanpa moral". Maksudnya, golongan ini terlampau mementingkan kuasa, sama ada mahu mengekalkan kuasa yang yang sedang mereka pegang atau mahu mengambil alih kuasa daripada pihak lain, tanpa mengambil kira cara yang mereka gunakan untuk mencapai matlamat itu. Dengan itu, timbullah ungkapan " matlamat menghalalkan cara", " politik itu memang kotor" dan sebagainya.

Sekadar contoh, kita boleh lihat bagaimana anggota parti politik tertentu (UMNO misalnya) menggunakan "politik wang" untuk mendapatkan jawatan atau mengekalkan jawatan dalam parti itu. Kita juga sudah biasa melihat bagaimana puak yang sedang berkuasa (misalnya parti pemerintah di Malaysia sekarang) menyalahgunakan kemudahan kerajaan, malah institusi kerajaan dalam setiap pilihan raya dalam usaha parti itu mendapatkan sokongan pengundi dalam pilihan raya tersebut.

Dalam kes yang terbaru kita telah melihat bagaimana perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Terengganu mengenai pembayaran royalti minyak, telah diketepikan dengan mudahnya oleh Kerajaan Pusat kerana motif politik yang tertentu.

Pembayaran royalti oleh Petronas kepada Kerajaan Terengganu telah berlangsung tanpa gangguan selama lebih 20 tahun ketika Terengganu berada di bawah pemerintahan BN. Akan tetapi dengan tiba-tiba, setelah Terengganu diperintah oleh PAS, pembayaran royalti itu ditukar kepada wang ehsan pula, dan pembayarannya pula akan dilakukan terus oleh Kerajaan Pusat kepada rakyat Terengganu (?) tanpa melalui Kerajaan Terengganu.

Walau apapun motif di sebalik tindakan Kerajaan Pusat itu, tetapi tindakan itu merupakan satu contoh yang amat penting, yang menunjukkan pemimpin UMNO/BN yang menguasai Kerajaan Pusat telah mengamalkan "poitik tanpa moral" secara terbuka dan tanpa malu.

Pemimpin Kerajaan Pusat mungkin boleh mempertahankan tindakan mereka dari segi undang-undang, tetapi tindakan mereka tetap bersifat politik, mempunyai motif politik dan merupakan tindakan "politik tanpa moral".

Adalah malang bahawa "politik tanpa moral" ini dilakukan oleh parti politik Melayu yang dipimpin oleh orang Melayu yang beragama Islam. Dan adalah malang juga sekiranya orang-orang Melayu masih menyokong pemimpin dan parti politik yang berkenaan.

Oleh itu, sekiranya orang Melayu/Islam di negara ini tidak mahu melihat "politik tanpa moral" itu berterusan, maka caranya barangkali tidak lain daripada menolak pemimpin dan parti politik yang berkenaan. Hanya dengan cara itu barangkali pemimpin dan parti politik yang berkenaan akan menyedari bahawa "politik tanpa moral" itu tidak harus diteruskan lagi.

(Oleh: Salman Madani)


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 4 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com