Oleh E.Sivabalan
Dua huruf -- A dan L dalam pasport pintar Malaysia yang boleh dibaca mesin (MRP) menimbulkan kekeliruan bagi masyarakat India di negara ini semasa melalui prosedur imigresen di luar negara.
Dua huruf yang bersambung itu adalah singkatan bagi "anak lelaki" yang dalam pasport MRP tertera sebagai `AL' antara nama mereka dan nama ayah mereka.
Bagaimanapun, ramai pegawai imigresen di lapangan-lapangan terbang menganggapnya sebagai sebahagian daripada nama pengembara Malaysia. Keadaan menjadi lebih keliru apabila para pegawai imigresen itu menganggap mereka berasal dari negara-negara Arab.
Ini kerana perkataan "Al", membawa maksud "yang", biasanya digunakan dalam nama-nama Arab. Sebagai contoh, nama Al-Rahman membawa maksud "Yang Pemurah Hati".
Seorang warga Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Dass memberitahu BERNAMA yang beliau melalui pengalaman yang tidak menyenangkan di lapangan terbang Los Angeles baru-baru ini apabila pegawai imigresen di situ mula "menyoal siasat" dengan keras mengenai negara asal beliau walaupun mempunyai pasport Malaysia.
"Saya rasa beliau fikir yang saya berasal dari Asia Barat atau negara Arab, mungkin dari Iraq dan menggunakan pasport palsu," katanya secara berseloroh.
Pihak imigresen khasnya di Barat lebih teliti jika seseorang itu warga Arab kerana mereka sering dipandang serong kerana dikaitkan dengan keganasan, sebahagian besar kerana filem-filem aksi barat yang memaparkan mereka sebagai pengganas dan penculik.
Seorang lagi pemegang pasport Malaysia daripada masyarakat India juga melalui pengalaman lebih kurang sama di lapangan terbang Chennai di Tamil Nadu, India, baru-baru ini.
"Pegawai imigresen itu bertanyakan saya dalam bahasa Tamil mengapa saya mempunyai `AL' pada nama saya," kata beliau. Seorang pengiring kepada pegawai tinggi kerajaan juga melalui pengalaman lebih kurang sama semasa mengiringi bosnya ke Amerika Syarikat baru-baru ini.
Seorang pegawai Imigresen apabila dihubungi di sini, hari ini berkata, jabatan itu tidak sedar akan masalah itu. Bagaimanapun beliau berkata, tanda "palang" yang biasanya ditempatkan antara huruf A dan L seperti dalam kad pengenalan Malaysia atau lesen memandu, tidak boleh digunakan dalam pasport MRP kerana ia tidak diiktiraf atau diterima oleh komputer di kaunter-kaunter imigresen antarabangsa.
Dass mencadangkan yang Jabatan Imigresen tidak lagi menggunakan singkatan bagi anak lelaki sebaliknya terus mencetak "nama pertama" atau "nama yang diberi" dengan nama keluarga tanpa `AL' sebagai penghubung. Sementara bersetuju yang ia mungkin tidak sesuai bagi nama orang Melayu atau Cina, Dass berharap jabatan itu akan berbuat sesuatu mengenainya.
Rakyat Malaysia dari keturunan India tidak menghadapi masalah ini semasa menggunakan pasport lama sebelum ini. Bermula dari 23 Mac, 1998 sehingga Feb 2001, sejumlah 1,784,409 MRP telah dikeluarkan.