Oleh Suria Janib
KITA cukup hairan kenapa Dr Mahathir Mohamad sering terjebak dengan pujuk rayu kroni-kroninya yang meminta bantuan kewangan sekira projek mereka menemui kegagalan? Sama juga seperti Menara Petronas dan Projek Empangan Bakun, Formula 1 merupakan projek yang agak membazir bagi sebuah negara seperti Malaysia kerana masalah kumpulan kelas yang dianggap miskin tidak ditangani dan jarang menarik perhatian PM kita.
Apakah kita rela menang sorak daripada membantu ekonomi atau rakyat terpinggir di negara kita? Atau konsep Mahathir Mohamad mengenai bail out atau membina monumen besar sama seperti menegakkan maruah negara?"
Formula One Race (Formula 1) atau perlumbaan kereta berkuasa tinggi merupakan satu kegiatan sukan antarabangsa yang tersohor di dunia. Formula 1 berprofil sangat tinggi kerana tidak kurang sekitar 350 juta manusia dari pelbagai pelosok dunia dapat menonton sukan itu melalui kaca tv. Formula 1 ditanggapi sebagai kemuncak gabungan keunggulan pengiklanan, teknologi pemotoran, keberanian pemandu dan ego manusia.
Kereta lumba Formula 1 berpecut bagaikan peluru sekitar 170 km/jam, deruman enjinnya bagaikan boleh memecahkan anak telinga dan akibat kelajuan akan terhasil baur hangit getah roda kereta yang menggelek tar pada litar itu. Namun itulah yang mempesonakan sebahagian besar penonton meskipun tiada adegan berunsur seks atau seksual pada perlumbaan itu. Ada sesetengah pihak mengatakan lumba kereta F1 itu adalah sukan gila. Dalam larian di Litar Sepang pada 18 Mac lalu setiap 22 kereta lumba akan membuat 56 pusingan. Yang terpantas menyempurnakan 56 pusingan itu akan muncul keluar sebagai wira atau johan.
Industri kereta lumba adalah sebuah industri yang mantap di negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat, Australia dan Jerman. Bayangkan belanja untuk menubuh dan menguruskan sebuah pasukan. la memakan belanja sejumlah RM2.5 bilion untuk tiga tahun. Terdapat sejumlah sebelas pasukan yang mengambil bahagian maka ini bermakna jumlah belanja adalah kira-kira RM27.5 bilion. Malaysia tidak mahu tercicir dalam sukan sedemikian lalu sanggup untuk menganjur sukan itu di atas bumi Malaysia sendiri tanpa mengira sama ada ia berbaloi atau tidak sekurang-kurangnya di segi ekonomi dalam konteks pembangunan negara semasa.Mengikut Mahathir jika Malaysia dapat menganjur Formula 1 maka Malaysia mempunyai kepakaran mengurus menganjur sebuah sukan berprestij tinggi.
Malaysia akan dapat publisiti dan nama Malaysia turut harum di samping dapat menarik pelancong asing ke negara Malaysia. Seterusnya acara sukan Formula 1 boleh membawa pertukaran asing dan akan menambah ke saku negara. Kononnya. Tambahan lagi nama Malaysia turut berada dalam daftar arus perdana perlumbaan yang bergengsi itu. Agaknya itu yang paling mahal sekali kerana bukan senang bagi sesebuah negara yang sedang membangun dapat pengiktirafan sedemikian, pendeknya ada kelas walaupun sebagai penganjur sahaja! Maka Malaysia pun membina litar sepanjang 5.5 kilometer pada tahun 1997 di Sepang.
Kos membina litar itu menelan sejumlah sekitar RM425.6 juta. Kos sebenar tidak diberikan. Pembinaan litar dikontrakkan kepada syarikat Tongkah milik anak PM Mahathir. Bayangkan wang sejumlah itu jika diguna untuk mempertingkatkan mutu kehidupan perumahan seperti Kampung Medan atau yang sama sepertinya yang banyak terdapat di negara kita. Bukankah keperluan seperti itu lebih mendesak? Tetapi Mahathir tidak berfikir demikian. Malahan masalah atau nasib rakyat dari kelas bawahan atau pertengahan bawah jarang menarik perhatian beliau. Beliau lebih gemar pada projek yang bergemerlapan dan yang disukai oleh orang kaya. Dengan berkat kerja keras juga Malaysia berjaya mendapat kontrak dari Formula One's Bernie Ecclestone untuk menjadi tuan rumah selama 10 tahun.
Dalam tahun 2001 ada 17 Formula 1 yang dibuat serata dunia mengikut jadualnya. Malaysia adalah salah sebuah negara yang berjaya memperolehi kehormatan untuk menganjurkannya. Sehingga kini Malaysia telah berjaya menganjur tiga kali sukan perlumbaan ini, pertamanya pada tahun 1999, kali kedua pada Oktober 2000 dan yang terakhirnya pada 16-18 Mac 2001. Setakat ini juga belum ada lagi pemandu kereta Formula 1 dari Malaysia yang muncul juara. Sepang International Circuit Sdn Bhd adalah syarikat yang menganjur larian lumba kereta itu. Malaysia harus berbelanja sekurang-kurangnya RM100 juta untuk menganjur satu lumba kereta Formula 1.
Semasa menganjurnya pada tahun 2000, Malaysia kerugian RM23 juta dan berhutang RM536 juta. Tahun 2001 bagaimana pula? Mungkin lebih parah lagi. Data-data perbelanjaan sama ada untung atau rugi memang susah diperolehi. Bagaimanapun ada banyak laporan mengatakan pihak penganjur mengeluh kerana sebahagian tiket masih tidak dapat dijual. Dulu dapat 88,000 penonton kali ini cuma 75,000 sahaja. Jika betul tiket tidak laku maka siapa yang akan menanggung kerugian? Sudah tentu pihak penganjur.
Dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan tabiat pihak kerajaan yang suka memberi bail outpada kroni-kroninya maka besar kemungkinan Mahathir akan membantu pihak penganjur dengan menggunakan wang rakyat. Mahathir tidak rela melihat tiket Formula 1 tidak laku, sesuatu harus dibuat untuk menunjukkan kepada dunia yang sambutan hangat seperti hangatnya suhu dan kadar kelembapan di Litar Sepang itu. Suka atau tidak tiket harus dijual setidak-tidaknya pada saat terakhir sebelum perlumbaan bermula. Cari jalan menjualkan tiket asalkan nampak berjaya, asalkan nampak ada sorak sorai; yang penting setidak-tidaknya kita menang sorak! Tambahan pula Malaysia dipuji melambung kerana berjaya menganjurkan Formula 1 di Sepang sebagai satu penganjuran terbaik di sepanjang sirkit lumba kereta itu.
Lihat sahaja bagaimana kes terakhir yakni sahamTime dotCom sebuah syarikat gentian optik yang dapat sambutan terpaksa meminta baik secara tidak langsung bantuan KWSP dan Kumpulan Wang Amanah Pencen untuk memberi sebahagian besar sisa saham yang tidak diambil oleh para pembeli Mengikut laporan sekitar RM1.89 bilion diperlukan untuk membeli saham yang berjumlah 572juta saham bernilai satu RM3.30. Time dotCom ada hubungan rapat dengan Time Engineering, Renong dan United Engineers Malaysia; Halim Saad adalah taukenya. Halim Saad terkenal orangnya iaitu seorang kroni Mahathir. Beliau selalu dibela oleh Mahathir. Bukankah ini sama dengan menyalahgunakan wang rakyat?
Justeru, wakil-wakil rakyat yang sedar dan tidak restu dengan tindakan itu akan bangkit menentang keras usaha bail out sedemikian itu. Kita cukup hairan kenapa Mahathir sering terjebak dengan pujuk rayuan kroni-kroninya yang meminta bantuan kewangan sekira projek mereka menemui kegagalan? Kenapa Mahathir begitu mudah menggunakan wang rakyat jika dalam keadaan terdesak? Apakah dengan tindakan bail out sama dengan meningkatkan prestasi ekonomi?
Pertama apakah faedah sebenar yang boleh diperolehi dari membina litar lumba kereta dan menganjurnya sekali dalam setahun? Siapa yang benar-benar menikmati kegiatan sukan seperti Formula 1 itu? Rakyat biasa atau segelintir masyarakat? Rakyat biasa sudah pasti tidak mampu membeli tiket yang dalam kategori paling murah pun berharga RM100. Harga tiket boleh mencecah sehingga RM1,000.
Sambutan daripada rakyat Malaysia kali ini tidak memberangsangkan, malahan pihak korporat pun sudah tidak lagi memberi respons yang panas seperti yang pernah diberi pada masa yang lepas. Kata Tan Sri Basir Ismail, Pengerusi Sepang International Circuit Sdn Bhd beberapa hari sebelum hari larian "Semua menjangka yang F1 itu seperti lombong emas, tetapi respons setakat ini amat buruk sekali" sebab prestasi ekonomi tidak begitu baik kali ini. Ekonomi tumbuh pada kadar 6.5 peratus pada suku keempat yang paling rendah dalam tempoh 18 bulan ini.
Lantas itu kita bertanya bagaimana projek Formula 1 yakni pembinaan litar kereta lumba di Sepang boleh memangkin proses ekonomi negara? Kalau adanya kurang respons maka usaha menganjurnya boleh dikira gagal? Tetapi siapa yang bakal hendak membiayai kos penganjuran yang menelan berjuta-juta ringgit itu? Bukan murah untuk menganjur sukan yang bertaraf dunia.
Tatkala nilai ringgit kita RM2.5 sama dengan 1 US dolar maka boleh tahan lagi tetapi apabila sekarang RM3.8 sama dengan 1 US dolar agak sulit untuk meneruskan projek penganjuran ini. Boleh teruskan tetapi mungkin dengan bantuan kerajaan? Dari mana kerajaan mendapatkan wang sebanyak itu? Tahu sama tahulah. Soalnya apakah kegiatan ini boleh menjana ekonomi negara? Malaysia menjadi tuan rumah cuma setahun sekali. Pada 11 bulan yang lain apakah Litar Sepang itu dapat menghasilkan wang untuk negara atau menjadi gajah putih sahaja? Kalau Mahathir masih mahu meneruskan dan seterusnya memantapkan egonya maka negara akan rugi lagi. Kehadiran pelancong asing pun bertambah kurang.
Besar kemungkinan yang projek Litar Sepang ini akan menjadi satu lagi projek gajah putih kerana tidak memberi apa-apa faedah pada negara. Sama seperti Bangunan Berkembar Petronas yang masih tidak dipenuhi. Nampak indah dari segala pelosok Kuala Lumpur tetapi tidak upaya menjanakan kewangan untuk negara. Bukankan wang yang banyak diguna untuk projek prestij boleh digunakan untuk peningkatan mutu rakyat?