Oleh Suria Janib
ENTAH kenapa orang Umno sejak dua menjak ini begitu latah berbicara soal agama. Mereka nampaknya lebih alim berbicara agama berbanding orang-orang ulama bertauliah. Amanat Hj Hadi yang disampaikan di Banggol Peradong pada 7 April 1981 yang sudah berlapuk itu dicungkil semula dan digilap seperti baru. Namun ia tidak menjadi masalah kepada PAS sebaliknya memberi kredit percuma. Tapi tidak bagi Umno kerana akhirnya ia memakan diri Umno sendiri kerana menghidupkan semula amanat ini dan meyakinkan kebenaran akan kata amanat ini.
Dari hari ke hari istilah kafir-mengkafir bersimpongang ke udara walaupun kita sudah meniti dewasa 44 tahun menghirup udara kebebasan daripada penjajah. PAS hanya mendiamkan diri bukan bermaksud mengalah tetapi kalau melayan orang bodoh kita akan jadi bodoh. Sudah beberapa kali Hj Hadi menawarkan muzakarah tanpa syarat untuk membincangkan perkara berkenaan tetapi terlalu banyak alasan mengada-ada daripada Umno.
Bukan setakat cadangan muzakarah malahan dalam wawancara khas dengan akhbar prokerajaan juga telah dibuat, sudah terlalu banyak I jawapan balas daripada Hj Hadi tetapi orang Umno rupa-rupanya tak faham-faham bahasa. Daripada rakyat telah melupakan amanat tersebut, kini mereka sudah nampak temberang Umno-gemar mencipta provokasi dan propaganda. Konklusi yang paling mudah Umno benar-benar sudah ketandusan ide melaga-lagakan pemimpin BA terutamanya pemimpin PAS tetapi selalunya hasrat mereka tak kecapaian.
Apabila menyebut fasal agama sekali lagi Umno begitu rigid dan fobia. Dakwa mereka PAS bukan parti Islam kerana parti ini cuba memperguna atau memperalatkan agama untuk kepentingan politik. Pemikiran sempit (agama) PAS telah menimbulkan salah faham dan kekeliruan dan seterusnya mencetuskan perpecahan di kalangan umat Islam. Jika benar dakwaan ini kenapa parti Umno tidak menyediakan "parti agama (Islam) lain sebagai alternatif kepada umat Islam? Jika Umno yakin parti mereka memperjuangkan Islam kenapa mereka tidak menukarkan nama Umno kepada Parti Islam Umno misalnya? Adakah kita yakin Umno berupaya memperjuangkan Islam seperti mana yang dibuat oleh PAS sejak berpuluh tahun yang lalu sehingga kini.
"Berjubah, berserban bukan bukti beriman, berakhlak," tuduh Nakhaie Ahmad, bekas ahli PAS yang pernah didakwa mengkafirkan Umno satu ketika dulu. Nakhaie merujuk cara berpakaian orang PAS sedemikian tetapi tidak memiliki ciri-ciri yang dimaksudkan. Katanya PAS berbohong (tidak berakhlak) mengatakan isu Amanat Hj Hadi sudah selesai kerana orang yang mengkafirkan Umno itu sudah pun menyertai Umno.
Kita tidak mahu memanjangkan isu ini kerana amanat tersebut sudah tidak sesuai lagi digunakan pada hari ini. Bagaimana pula halnya dengan Mahathir? Benarkah beliau seorang pejuang Islam sejati seperti yang dicanang-canang dan didewa-dewakan oleh orang Umno? Cuba renung ucapan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad ketika merasmikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 17 April lalu, adakah dia benar-benar pejuang Islam?
"Sikap terlalu mementingkan ilmu agama untuk bekalan akhirat adalah punca sebenar umat Islam masih jauh ketinggalan berbanding bangsa-bangsa yang lain," kata Mahathir.
Katanya lagi, sejak kecil lagi, umat Islam sudah tidak digalakkan menuntut ilmu-ilmu yang bukan berbentuk keagamaan kerana ilmu seperti itu dianggap sebagai sekular. Malahan ibu bapa mendesak anak-anak mereka menuntut ilmu agama kerana mereka juga akan mendapat ganjarannya.
Mahathir mendedahkan di Malaysia, terdapat golongan profesional yang telah melahirkan rasa kesal mereka kerana memilih satu bidang kerjaya sedangkan mereka sepatutnya menuntut ilmu agama. Beliau berkata, untuk menebus apa yang mereka anggap sebagai dosa itu, mereka telah menghantar semua anak mereka ke sekolah agama atau untuk menjadi hafiz iaitu orang yang menghafal al-Quran.
Dalam hal ini Mahathir masih lagi cuba menyempitkan pemikirannya dengan maksud memisahkan agama dalam urusan dunia. Ketika waktu dahulu Mahathr pernah berang kepada pelajar yang bangun malam mengerjakan Qiamullail kerana katanya ia boleh mengganggu aktiviti pembelajaran di kampus. Mahathir masih lagi tidak memahami hakikat kekuatan rohani perlu disepadukan dengan kekuatan jasmani. Kita hidup bukan untuk dunia sahaja tetapi untuk selama-lamanya di akhirat.