Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Surat terbuka untuk semua yang terlibat dalam kes tahanan ISA

Bismillahhirahmanirrahim.

Terlebih dahulu saya ingin memperkenalkan diri saya. Saya adalah makhluk Allah sebagaimana juga anda sekelian. Ada mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, mulut untuk bercakap, kaki untuk berjalan, tangan untuk menulis dan sebagainya. Setiap pancaindera yang Allah kurniakan ini amatlah besar maknanya bagi mereka yang tahu menilainya. Selain dari membuat kerja, tujuan utama Allah menjadikannya adalah untuk kita mengenalNya dengan lebih dekat lagi dengan memerhati segala bentuk kejadian alam serta beramal kepadaNya dengan segala nikmat yang diciptakanNya.

Andaikata Allah menarik salah satu dari kurniaNya nescaya akan terkapai-kapailah kita dan barulah kita sedar siapa kita. Bahkan bumi ini sekalipun tak ubah seperti pasir yang sangat halus sekiranya kita berada jutaan batu di angkasa lepas. Tetapi malangnya sebahagian besar dari kalangan kita tidak pernah ambil peduli itu semua.

Ada satu golongan di kalangan kita yang merasakan diri mereka terlalu berkuasa (walhal kuasa yang ada hanya dengan izin Allah jua) sewenang-wenangnya menggunakan kudrat yang dipinjamkan oleh Allah untuk menyeksa sesama makhluknya. Mereka tidak sedar sekiranya Allah memasukkan semut kedalam telinga mereka nescaya mereka tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalangnya.

Sekiranya kamu merupakan salah seorang dari golongan tersebut ...ingin saya bertanya - Apalah seronoknya kamu melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu? Perintah yang wajib diikut adalah perintah yang tidak melanggar syariat Allah. Fikirlah habis-habis. Apalah sangat nilai gaji dan pangkat yang saudara terima jika dibandingkan dengan siksaan yang bakal diterima di hari pembalasan kelak. Selagi orang yang saudara siksa itu tidak memaafkan saudara didunia ini nescaya di padang Masyar kelak saudara akan ke sana kemari mencari mereka untuk meminta maaf kerana tidak tahan dengan siksaan ketika itu. Itu baru kesalahan dengan orang yang saudara siksa. Belum lagi mengambil kira kesalahan saudara dengan isteri, anak, dan lain-lain kaum keluarga yang menderita disebabkan kehilangan orang tersayang.

Renungkanlah...apakah agaknya yang saudara akan rasa sekiranya saudara sendiri menjadi mangsa kekejaman tersebut. Membaca warkah inipun saya rasa saudara tidak mampu melelapkan mata. Fikirlah saudara ku... hidup kita hanya sekali. Saudara akan mati juga akhirnya. Samalah juga dengan bos saudara juga akan mati. Saudara rasa hebat kerana saudara dilalaikan dengan arahan serta motivasi yang salah dari bos saudara. Saudara berkumpul dalam kelompok yang sesat lagi menyesatkan. Tidak ada orang yang berusaha menyedarkan saudara. Saudara sebenarnya sedang dalam perjalanan menuju kebinasaan hidup, baik didunia mahupun diakhirat.

Didunia orang akan kenang saudara sebagai golongan yang zalim. Anak dan isteri saudara akan diejek mempunyai ayah dan suami yang zalim. Keluarga anda akan dihina justeru anda bersubahat dengan mereka yang zalim. Anda akan sentiasa dikutok dan dibenci oleh seluruh masyarakat selagi nyawa anda dikandung badan sebagai seorang yang zalim. Itu baru seksaan dunia. Beza seksaan dunia dengan siksaan akhirat ibarat langit dengan bumi. Fikirlah sehabis-habisnya. Perlu sangatkah saudara bekerja untuk menyara hidup diri sendiri, anak, isteri hasil titik peluh menyeksa orang yang berjuang untuk membebaskan negara dari belengu rasuah, jenayah dan bermacam-macam gejala kemaksiatan yang boleh memporak porandakan negara. Sepatutnya saudara harus berterima kasih kepada mereka kerana apa yang mereka perjuangkan itu akan memberi kebaikan jua pada saudara kelak.

Berbanggakah saudara dengan kerja terkutok tersebut?. Usahlah menipu diri sendiri. Pasti ada sedikit nilai kemanusiaan dalam diri saudara. Usahlah bertangguh lagi. Perkerjaan mahupun niat yang baik mestilah disegerakan. Letaklah jawatan saudara hari ini jua. Usahlah bersubahat lagi dengan kerja yang tak berfaedah ini. Rezeki ada dimana-mana. Apa yang perlu hanyalah sedikit kerajinan, keyakinan dan usaha didalam diri saudara. Gunakanlah akal yang dikurniakan Allah untuk kita bertakwa dan berbadat kepada Allah.

Cukuplah apa yang telah saudara lakukan. Mintalah keampunan dari Allah. Sesungguhnya Allah maha pengampun. Nasihatlah mereka yang belum sedar. Usahlah cuba nak 'turning over' ,atau pun apa jua pekerjaan yang sia-sia. Kerana sesungguhnya Allah maha mengetahui. Kamu boleh menipu seluruh masyarakat tetapi kamu tidak mampu menipu Allah yang Maha Mengetahui apa-apa yang disembunyikan walaupun di mana sekalipun. Sekiranya terdapat kalangan rakan kamu yang tidak sedar atau pun ingkar, biarkanlah mereka dengan kesesatannya. Sekurang-kurangnya saudara telah mengambil satu langkah yang betul yang dapat menghindarkan saudara dari siksaan Allah yang maha dasyat di hari pembalasan kelak.

Percayalah apa yang dibawa oleh Al-Quran dan Rasulullah itu sangat benar. Cubalah dalami ilmu dengan menjengok majlis-majlis ilmu agama, nescaya saudara akan sedar dan insyaf seinsyaf-insyafnya. Sekian untuk kali ini.

Saudara seagama mu


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 10 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com