Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bebaskan Pejuang-pejuang Keadilan [5]

Kami, isteri-isteri dan keluarga terdekat tahanan ISA terus berusaha untuk membebaskan mereka. Walaupun hari ini ada isteri yang telah dibenarkan berjumpa suami, usaha kami adalah usaha berpasukan dan matlamat kami adalah untuk membebaskan mereka.

Kami telah memulakan langkah untuk membawa hal ini terus ke Dewan Rakyat agar Dewan Rakyat meluluskan desakan supaya polis membebaskan mereka segera tanpa syarat atau hadapkan mereka ke mahkamah. Laporan penghantaran memorandum ini dimuatkan di akhbar tempatan. Apabila kami sampai kami tidak dibenarkan masuk oleh Pegawai Keselamatan Parlimen. Ini kali kedua kami dilayan di pondok pengawal, tetapi kali ini kami bertegas menyatakan kami telah memberitahu Datuk Fadzil Noor akan kedatangan kami. Kami diminta masuk ikut pintu belakang. Tetapi Datuk Fadzil Noor datang bertemu kami dan menyatakan bahawa kami adalah tetamu beliau. Akhirnya kami berjaya menghantar memorandum tersebut dan membuat kenyataan akhbar di lobi Parlimen dan disokong oleh beberapa orang MP Pembangkang.

Lepas itu kami berjumpa Datuk Zainal Abidin, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang sedang makan tengahari di kantin Parlimen kerana kami dijemput makan oleh MP Barisan Alternatif. Kenyataannya yang disiarkan akhbar Rabu 3 Mei antaranya "Orang yang ditahan mengikut ISA bukan kerana mereka pembangkang, sebaliknya mereka melanggar peraturan." Apakah peraturan yang telah tahanan ISA ini langgar dan tidak bolehkah mereka dibicarakan dengan adil? Semua kenyataan beliau hanyalah melepaskan batuk di tangga dan masih boleh dipertikaikan. Kami juga pergi berjumpa setiausaha Yang DiPertua Dewan Rakyat untuk menyerahkan memorandum yang sama dan kami nyatakan ini adalah amanah dan beliau diminta berjanji untuk menyampaikannya.

Akta ISA adalah akta yang jelas bercanggah dengan hak asasi manusia. Ia boleh diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu terutamanya pemerintah untuk menakutkan rakyat berkata benar walaupun terdapat penyelewengan kuasa pemerintah. Banyak lagi alasan mengapa ISA adalah undang-undang yang zalim. Gerakan Mansuhkan ISA telah dilancarkan pada 30 April bertujuan untuk memberi kesedaran kepada semua lapisan rakyat kezaliman ISA ini dan seterusnya membebaskan semua tahanan ISA. Pamphlet, poskad dan poster telah dilancarkan dan adalah menjadi tanggungjawab setiap warga negara Malaysia yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman untuk menyertai kempen ini. Kewujudan akta ini yang mencabul hak rakyat adalah amat memalukan bagi sebuah negara seperti Malaysia yang mendakwa mengamalkan demokrasi.

Hari Khamis pula, usaha kami berpasukan untuk menghantar memorandum yang sama kepada Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri di Putrajaya. Setiausaha kerja kami telahpun menelefon dan menghantar surat kepada setiausaha mereka berdua akan kedatangan kami pada hari Khamis. Lagi sekali kami telah dihalang untuk bertemu mereka. Kali ini kami, isteri-isteri, anak-anak, abang serta adik tahanan ditahan beberapa meter dari pondok pengawal yang canggih dan berhawa dingin. Kami terkejut kerana kami diserbu oleh ketua sekuriti di tengah-tengah panas matahari. Kami katakan tidakkah kami boleh berteduh di pondok yang canggih itu? Ini adalah pengalaman pertama saya untuk melihat dari dekat pejabat Putrajaya. Saya begitu hairan, apakah kedatangan rakyat biasa seperti kami ini tidak mendapat layanan yang berpatutan dari pejabat-pejabat pentadbiran negara? Mula-mula dulu Bukit Aman, kemudian Parlimen dan lepas tu Putrajaya? Akhirnya ketua sekuriti berkata bahawa beliau diberi arahan. Mula-mula hanya seorang sahaja wakil boleh naik menyampaikan surat tersebut. Kami kata, kami datang dari sepuluh keluarga tahanan dan kami semua mahu bersama menghantarnya. Setelah berunding dalam suasana yang agak tegang, mereka mengatakan hanya tiga orang sahaja. Kami masih tidak berganjak dari permintaan asal kami. Akhirnya kedua-dua setiausaha kedua-dua menteri tersebut turun berjumpa kami di pondok pengawal yang canggih itu dan penyerahan surat hanya mengambil masa 10 minit. Kami sanggup menunggu hampir dua jam untuk dapat menyerahkan memorandum tersebut. Jika dari awal mereka menyambut kami dengan baik, tentu sekali nama PR Pejabat TPM dan PM tidak tercemar seperti yang kami hadapi hari ini. Sebelum kami pulang, ketua sekuriti berkata dia diberi arahan untuk menghalang kami di luar pondok pengawal. Alangkah malunya! Kami hanyalah sekumpulan suri rumah yang tidak ada apa-apa kepentingan tetapi hanya datang untuk menuntut keadilan dan kebebasan suami dan keluarga kami.

Alhamdulillah sokongan kepada kami terus datang mencurah-curah. Kami doakan rakyat terus berjuang menuntut keadilan demi negara yang kita cintai. Kami yakin suami kami tidak bersalah dan tiada alasan mereka terus ditahan.

Bebaskan mereka segera! Mansuhkan ISA zalim!

Aliza Jaffar
(Ummu 'Urwah)
Isteri Saari Sungib

4 Mei 2001


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Mei 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com