Assalamualaikum wmt; wbt.
Apabila mengikuti perkembangan gejala murtad dan riddah di kalangan umat Islam yang berbangsa Melayu, timbul perasaan marah, sedih dan gerun.
Marah kerana perlembagaan negara dan undang-undang yang sedia ada tidak dapat melindungi umat Islam daripada gejala terkutuk ini. Sedih pula kerana jumlah yang murtad semakin bertambah hari demi hari sedangkan tindakan untuk mencegah dan mengembalikan mereka yang terperangkap dengan gejala ini amat minimum atau hampir tiada langsung. Pihak pemerintah melalui JAKIM dan jabatan agama negeri-negeri seperti menafikan gejala ini semakin bercambah. NGO yang memperjuangkan Islam malah parti-parti politik yang dianggotai oleh orang Islam sendiripun seolah-olah sengaja memejamkan mata terhadap perkara ini. Gerun pula kerana bimbang akan muncul golongan yang tidak mampu untuk bersabar lagi lalu mengambil tindakan sendiri dan ini sudah tentu mengancam keamanan negara ini.
Oleh itu adalah penting bagi umat Islam melakukan beberapa tindakan awal yang tidak menyalahi undang-undang supaya gejala ini dibendung. Tindakan pertama sudah tentulah menyertai dan berjuang di dalam Parti Islam SeMalaysia kerana hanya parti inilah yang serius di dalam usaha menentang usaha memurtadkan umat Islam. Di harap dengan kemenangan PAS pada 2004 nanti undang-undang negara dapat diubah dan akidah umat Islam akan dilindungi.
Selain dari itu, saya mencadangkan:
1. Umat Islam perlu menambah ilmu terutamanya membaca buku-buku yang menangkis hujah-hujah
Kristian.
2. Tubuhkan badan yang dapat memikirkan secara serius cara menangani dan mencegah gejala ini.
Pertubuhan ini fungsinya semata-mata sebagai pemikir yang cuba mencegah murtad dan usaha
ini boleh dilakukan dalam berbagai cara.
3. Para peguam Muslim boleh menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi
menghalang orang Islam daripada murtad. Saya teringat tulisan Peguam Mohd Raziff Mohd Zahir,
Setiausaha Kehormat Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia. Beliau dalam kenyataan
kepada HARAKAH Jumaat 6 Februari 1998, menganggap kes Nor 'Aishah Binti Bokhari yang
murtad ke agama Kristian masih mempunyai jalan keluar berdasarkan peruntukan undang-undang
Malaysia sendiri.
4. Semua lapisan masyarakat Islam memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam
segenap segi bagi menentang gejala ini. Perjuangan ini memerlukan pengorbanan wang ringgit,
masa, tenaga dan lain-lain sekiranya diperlukan.
Cadangan di atas hanyalah berbentuk peribadi. Mungkin ada individu Muslim lain mempunyai cadangan yang lebih baik. Jika kita tidak mahu negara ini menjadi seperti Indonesia yang diporakperandakan oleh gerakan Kritianisasi, kita perlu melakukan sesuatu sebelum terlambat.
Sekian, wassalam.
Wafasha Zili bin Mokhtar.
Rapat Setia,
Ipoh, Perak.