Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Gerakan hapus VCD haram bermotif politik

Oleh : Aman Rais

Nampaknya, semua saluran media alternatif yang menjadi sumber kepada rakyat mendapatkan maklumat seimbang dan berbeza daripada yang disogokkan oleh media arus perdana sedang dan akan menerima nasib dihapuskan.

Paling baru ialah tindakan ke atas cakera padat vedeo (VCD) berunsur politik dan agama yang kononnya memfitnah dan membahayakan keselamatan negara. Kini Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) sibuk menyerbu premis-premis yang disyaki mengedar dan menjual bahan-bahan multi media berunsur politik dan agama itu.

Baru-baru ini pihak KDN melakukan serbuan ke atas ibu pejabat pemasaran Harakah. Ia dilakukan sehari selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri, membuat kenyataan bahawa VCD politik dan agama boleh memudaratkan keselamatan negara dan perlu dirampas. Tindakan ini jika dilihat secara halus menunjukkan agenda sebenar pembasmian VCD haram dan lucah adalah bermotif politik.

Gerakan menghapuskan VCD haram terutamanya yang lucah hanya menjadi topeng kepada agenda sebenar kerajaan. Bermula dengan gejala keganasan seks oleh para remaja yang kononnya terdorong oleh gejala VCD lucah, kerajaan sebenarnya mengatur satu rancangan yang cukup tersusun.

Satu demi satu kenyataan dibuat oleh pelbagai pihak untuk menggambarkan betapa buruknya gejala VCD lucah ini. Dalam pada itu ia dikuti dengan tindakan KDN dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas premis jualan terbuka.. Akibatnya, Menteri berkenaan, Tan Seri Muhyiddin Yassin dilaporkan menerima ugutan bunuh kerana ketegasannya memerangi gejala ini.

Premis buku agama

Bagaimanapun, belum sempat gejala VCD haram dan lucah ini diperangi sepenuhnya, timbul pula cerita VCD politik dan agama. Pengedaran dan penjualan VCD agama dan politik ini lebih mudah dibanteras kerana pengedarannya agak terhad - di premis-premis menjual buku agama dan di pasar-pasar malam.

Sungguh menghairankan, isu cetak rompak dan bahan lucah yang sekian lama menghantui masyarakat belum selesai ditangani, bahan lain pula yang timbul. Tidakkah ini bermakna segala gembar-gembur dan tindakan itu bermotifkan politik kerana VCD agama dan politik juga merupakan best seller yang sama rancak jualannya seperti VCD filem Hollywood dan Bollywood.

Atau mungkinkah ini hanya satu kebetulan kerana istilah cetak rompak merangkumi semua bahan penerbitan tanpa memilih bentuk isi kandungannya?

Rakyat kini beralih kepada bahan multi media seperti VCD dan Internet untuk mendapatkan bahan berita terbaru, seimbang, tepat dan boleh dipercayai selepas majalah dan akhbar-akhbar alternatif ditamatkan permit penerbitannya dan dikurangkan kekerapan penerbitannya.

Bila semua media alternatif ini dikekang, ke mana rakyat mahu mendapatkan bahan yang mereka yakini dan percayai kebenarannya? Rakyat hanya boleh berharap segala tindakan KDN dan KPDNHEP itu hanya suatu yang hangat-hangat tahi ayam sahaja sebagaimana tindakan penguatkuasaan lain sebelum ini.

Selepas satu demi satu tekanan dibuat k atas aktiviti parti pembangkang, para pelajar, golongan agama dan kebebasan bersuara, semacam satu phobia menghantui masyarakat - mereka tertanya-tanya apa lagi tindakan kerajaan ke atas para penentangnya selepas ini?

Mungkinkah bahan-bahan penerbitan bercetak tidak berkala yang berunsur politik dan media Internet pula akan menjadi sasarannya? Mungkinkah penerbit-penerbit dan penulis-penulis bebas yang lantang pula akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)? Kemungkinan ini tidak boleh ditolak tetapi kita berdoa semoga ia tidak berlaku.

Kebelakangan ini sudah nampak tanda-tanda untuk memerangi bahan bercetak berunsur politik oleh KDN. Khabarnya operasi pegawai kementerain itu bergiat ke seluruh negara untuk menggertak para penjual buku, majalah dan akhbar supaya jangan mengedar dan menjual bahan penerbitan yang dihasilkan oleh editor-editor atau syarikat tertentu.

Gulung tikar

Mereka diberi amaran bahawa bahan tidak berkala itu haram dan jika ditangkap mengedar atau menjual, peniaga berkenaan boleh dikenakan denda hingga RM10,000.

Inilah taktik sangat mudah tetapi berkesan. Para penerbit majalah berkenaan khabarnya mula menghadapi masalah untuk menjual produk mereka kerana para penjual enggan memasarkannya kerana bimbangkan menanggung risiko besar sedangkan keuntungan jualan sangat kecil.

Strategi KND ini lambat laun akan menyebabkan majalah-majalah atau akhbar tidak berkala mati begitu sahaja kerana menghadapi kesukaran untuk memasarkannya. Peminat atau pelanggan bahan penerbitan tidak berkala ini sangat ramai tetapi tanpa jaringan pemasaran yang baik, ia tidak mungkin sampai kepada pembeli.

Bila ini berlaku, pulangan majalah atau akhbar berkenaan akan berlipat kali ganda dan penerbit akan kerugian. Bila terus-terusan kerugian, penerbit akhirnya terpaksa gulung tikar.

KDN tidak boleh mematikan penerbitan tidak berkala ini melalui bidang kuasanya kerana ia tidak memerlukan permit penerbitan, tetapi ia boleh menggunakan kuasa permintaan dan penawaran di pasaran untuk bertindak bagi pihaknya.

Kerajaan mempunyai banyak pilihan dan cara untuk mematikan saluran media alternatif sedangkan pilihan rakyat makin terhad. Bila tiada pilihan, terpaksalah rakyat terus menonton dan membaca media massa arus perdana walaupun mereka menganggap segala yang dilaporkan itu adalah palsu dan propaganda politik sahaja.

............................................................
Petikan Malaysiakini.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 20 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]