Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan Gas

Perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan Gas

Oleh Ahli parlimen Dungun

YB Dato’ Mustafa Ali

Pada 26hb. Julai 2001

Tuan Yang di-Pertua: Dungun.

4.56 ptg.

Datuk Mustafa bin Ali [Dungun]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bersama untuk mengambil bahagian dalam membahaskan dan memberi pandangan berkaitan dengan pindaan kepada Akta Bekalan Gas 1993 khusus mengenai Pindaan seksyen 1 (3) (b) yang sama-sama dibentangkan dan sama-sama kita mendengar dibentangkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Kita semua sedar bahawa antara negeri-negeri di Semenanjung yang mengeluarkan gas dan petroleum ialah Sarawak, Sabah dan Terengganu. Saya tidak menyebut JDA (Joint Development Areas) Kelantan dan Thailand, Malaysia-Thailand tetapi dekat dengan Kelantan. Saya menyebut perkara ini oleh kerana salah satu daripada projek yang dilaksanakan oleh Petronas kerana Petronas merupakan agensi yang satu-satunya ditugaskan untuk mengeluarkan sama ada petroleum ataupun gas dan menyalurkan gas ini untuk keperluan sama ada domestik ataupun industrial use.

Negeri Terengganu merupakan negeri yang memang menjadi lokasi di mana pendaratan gas itu berlaku dan daripada negeri Terengganu itulah disalurkan gas ini ke negeri-negeri di Semenanjung melalui projek yang disebut oleh salah seorang daripada Yang Berhormat tadi iaitu PGU 1 dan 2, Peninsular Gas Utilization di mana gas ini disalurkan ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia ke Selatan sampai ke Utara, tetapi malangnya negeri Terengganu sendiri di mana gas itu mendarat tidak ada saluran paip yang dibina oleh Petronas untuk digunakan untuk rumah (household) begitu juga untuk industri kecuali industri yang terdapat dalam rantau Petronas iaitu Kerteh dan Kemaman. Hal ini satu perkara yang sudah berlaku lama, pernah dibangkitkan oleh rakyat negeri Terengganu, gasnya mendarat di negeri Terengganu tetapi rakyat tidak dapat menikmati hasil daripada gas yang disalurkan itu untuk digunakan sama ada di rumah mereka ataupun industri-industri di luar daripada kawasan yang saya sebutkan itu. Beberapa pertanyaan ataupun perkara ini telah dikemukakan kepada Petronas kerana negeri-negeri lain boleh disalurkan paip ini ke selatan, tetapi Terengganu yang lebih dekat dengan tempat mendarat tidak disalurkan. Adakah ini satu diskriminasi yang dilakukan terhadap negeri Terengganu dan rakyat?. Saya tidak nampak bahawa dari sudut Petronas ini satu diskriminasi sebab Petronas bukan orang politik dan tidak melakukan diskriminasi. Yang melakukan diskriminasi adalah orang politik. Cuma jawapan yang sering kita terima ialah bahawa pertimbangan (consideration) yang selalu digunakan oleh Petronas ialah kerana penyaluran paip ini untuk kegunaan dalam negeri Terengganu sendiri tidak begitu economic. Itu jawapan yang standard diberikan kerana penggunaan gas berdasarkan penduduk yang tidak begitu padat jadi tidak menguntungkan.

Tuan Yang di-Pertua, hari ini saya harap sama ada kerajaan ataupun Petronas, memberikan satu pertimbangan supaya jangan semata-mata melihat suatu projek itu berdasarkan keuntungan semata-mata, supaya melihat bahawa ini satu social obligation kepada rakyat yang memang salah sebuah negeri yang dikatakan tertinggal dari banyak sudut termasuk dari sudut kadar kemiskinannya yang kedua ataupun ketiga tertinggi di Malaysia ini. Jadi, saya harap pertimbangan ini dapat diberikan oleh Petronas supaya jangan semata-mata melihat dari sudut keuntungan, dilihat sama dari sudut social obligation.

Barangkali rakyat negeri Terengganu terdiri daripada rakyat yang malang. Ada duit royalti pun sudah dirompak. Hendak disalurkan gas, tidak disalurkan kerana sebab-sebab yang saya sebutkan. Jadi, hal inilah saya harap supaya kerajaan memberikan satu pertimbangan, malah yang dituntut, yang diminta oleh rakyat itu bukan sekadar saluran gas itu sahaja, sekurang-kurangnya barangkali gas yang digunakan itu bukan sahaja, kalau boleh lebih murah sedikit daripada yang digunakan dan dibayar di negeri lain tetapi saya tahu ini sesuatu yang agak tidak praktikal kerana harga gas yang distandardizekan, dengan harga yang telah ditentu oleh kerana ini termasuk dalam barang kawalan tetapi kalau saluran paip ini boleh dibuat daripada tempat mendarat, disalur ke Negeri Terengganu, transportation costnya barangkali lebih rendah, barangkali itu boleh dilakukan.

Tetapi sampai hari ini, masih tidak dilakukan pihak kerajaan sendiri dan oleh Petronas sendiri. Jadi, oleh kerana itu, Tuan Yang di-Pertua, saya hanya mengambil point saja untuk highlight kan supaya kerajaan dapat memberikan satu pertimbangan kepada rakyat dan rakyat negeri Terengganu yang sekian lama dinafikan hak-hak mereka ini dan supaya dilihat bukan sahaja dari sudut komersialnya semata-mata tetapi dilihat daripada sudut kemanusiaan, kepentingan rakyat yang seharusnya bukan sahaja melihat gas itu didaratkan tetapi mereka tidak dapat manfaat yang sewajarnya daripada sama ada gas ataupun petroleum yang mendarat di negeri Terengganu.

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 16 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]