DAP telah dibentuk 35 tahun dahulu sebagai sebuah pergerakan bagi demokrasi politik, ekonomi, sosial dan budaya sebagai asas untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu, aman, progresif dan makmur.
Matlamat-matlamat inilah yang mendorong DAP menyertai PAS, KeADILan dan PRM sebelum pilihanraya umum 1999 untuk membentuk Barisan Alternatif bagi mewujudkan peralihan paradigma dalam politik Malaysia supaya hegemoni politik Barisan Nasional dapat dihancurkan dengan menafikan majoriti Parlimen dua pertiganya yang berterus-terusan. Melalui cara ini, kuasa-kuasa politik, ekonomi, sosial dan masyarakat madani yang selama ini telah dikongkong oleh perundangan dan peraturan yang tidak demokratik dan menindas dapat dibebaskan.
DAP telah memberikan amaran sebelum pilihanraya umum 1999 bahawa sekiranya Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Barisan Nasional berjaya mendapatkan semula majoriti Parlimen dua pertiganya sungguhpun menghadapi tentangan paling sengit kepada asas kekuasaannya dalam sejarah negara, ia mungkin mewujudkan ‘suatu zaman kegelapan baru’ dengan penindasan dan ketidakadilan yang lebih buruk lagi dan diikuti senario-senario seperti:
Operasi Lalang II dengan tindakan keras secara besar-besaran terhadap pengingkaran dan pihak pembangkang melalui penangkapan beramai-ramai di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pendakwaan terpilih di bawah pelbagai undang-undang menindas di dalam negara;
Parlimen, badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara, Pejabat Akauntan Negara, Badan Pencegah Rasuah dan Bank Negara akan menjadi lebih tertakluk kepada tindakan sewenang-wenang Perdana Menteri; dan
Penyalahgunaan agensi kerajaan dan tabung yang berhubungkait dengan kerajaan seperti KWSP untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni dan projek-projek mega.
Malangnya, banyak di antara ramalan-ramalan ini telah ditepati, walaupun terdapat perkembangan dialu-alukan dan tidak disangka-sangka berhubung dengan badan kehakiman yang timbul daripada perlantikan Ketua Hakim Negara yang baru – yang sebenarnya tiada perkaitan langsung dengan Perdana Menteri. Namun demikian, setakat manakah perubahan dalam pemulihan keyakinan yang cepat dan berterusan dalam badan kehakiman dapat berkekalan masih belum tentu lagi memandangkan tempoh jawatan Tan Sri Mohamed Dzaiddin Abdullah hanyalah untuk 2 tahun sahaja sebelum pesaraan beliau.
Tempoh 21 bulan yang lepas setelah pilihanraya umum 1999 telah menyaksikan Malaysia semakin mengambil sifat-sifat sebuah negara polis, di mana bukan sahaja terdapat larangan menyeluruh yang amat tidak munasabah terhadap ceramah-ceramah politik, malah majlis makan malam ulang tahun parti pembangkang yang telah diadakan secara aman selama beberapa dekad lalu dengan tiba-tibanya dianggap sebagai ‘ancaman keselamatan’ – membuktikan bahawa kecaman oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap pemikiran di kalangan ahli-ahli politik bahawa ‘perhimpunan adalah berbahaya dengan sendirinya dan cenderung menjadi suatu ancaman kepada keselamatan negara atau ketenteraman awam’ adalah betul. Akibatnya, kebebasan berpendapat dan kebebasan berhimpun rakyat Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia telah dikurangkan menjadi hak untuk makan tetapi bukan hak untuk bercakap – sungguhpun Suhakam telah membuat cadangan baru-baru ini bahawa hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan tanpa sekatan harus ditegakkan, sikap pihak berkuasa perlu diubah sepenuhnya dan pindaan yang menyeluruh kepada Akta Polis patut dilakukan.
Walaupun selama ini tidak terdapatnya tindakan keras terhadap hak asasi manusia yang seteruk Operasi Lalang pada 1987, ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara telah digunakan sebanyak tiga kali sejak ucapan Perdana Menteri yang tidak disenangi di Parlimen pada awal April ketika memperkenalkan Rangka Rancangan Jangka Panjang ketiga bahawa kerajaan bersedia untuk berpisah daripada kelaziman-kelaziman antarabangsa mengenai hak asasi manusia dan demokrasi, kononnya untuk melindungi keselamatan negara padahal, tujuannya adalah untuk melindungi keselamatan UMNO dan Barisan Nasional.
Semalam, polis berpaling kepada teori keganasan antarabangsa apabila ia mengumumkan bahawa lima orang, termasuk dua warga Indonesia dengan status penghuni tetap, dikehendaki oleh polis di dalam siasatan ke atas Kumpulan Militan Malaysia (KMM) berhubung dengan kumpulan mencuri senapang, rompakan bersenjata, serangan ke atas stesen polis Guar Chempedak dan pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, Dr. Joe Fernandez.
DAP mengutuk apa jua bentuk pun Islam militan atau fahaman Islam melampau sebagai suatu ancaman kepada lapisan sosial negara dan cara hidup demokartik kita dan mesti ditentang oleh semua rakyat Malaysia yang berfikiran wajar, tanpa mengira kaum, agama atau hubungan politik.
Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia tidak mahu melihat pengulangan pengalaman lampau di mana kerajaan lebih berminat untuk mengekspoitasi keuntungan parti politik dengan melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap pihak pembangkang – dan ini adalah sebab mengapa kerajaan tidak harus mengambil jalan keluar dengan menggunakan undang-undang penahanan tanpa bicara seperti ISA tetapi patut mendakwa mereka yang disyaki di mahkamah di mana perbicaraan terbuka dapat diadakan dan dakwaan oleh kerajaan akan tertakluk kepada penelitian awam sepenuhnya.
DAP berasa amat risau mengenai masalah Islam militan, khasnya sekiranya terdapat hubungan keganasan antarabangsa, dan menuntut agar ia dianggap sebagai suatu masalah negara yang merentasi perbezaan-perbezaan parti politik.
Suatu persidangan meja bulat yang melibatkan semua parti perlu diadakan untuk mencapai suatu konsensus nasional bagi tujuan menangani masalah Islam militan supaya ia tidak akan digunakan oleh kerajaan sebagai sebiji ‘bola sepak’ di dalam gelanggang politik terhadap pihak pembangkang.
Ini menjadi semakin mustahak memandangkan kerajaan tampaknya semakin meningkatkan kempen politiknya terhadap pihak pembangkang walau di peringkat antarabangsa seperti yang dapat dilihat di dalam laporan Bernama semalam yang memberikan keutamaan kepada suatu serangan yang cabul ke atas Anwar Ibrahim dalam akhbar Washington Times oleh Amy Ridenour, presiden Pusat Kebangsaan untuk Kajian Awam (‘National Centre for Public Research’), dianggap sebagai ‘sebuah kumpulan pemikir Amerika bukan partisan’.
Menuduh Anwar sebagai mempunyai hubungan rapat dengan fundamentalis Islam yang radikal, Amy menujukan amaran bahawa Amerika Syarikat mungkin terperdaya buat kali ketiga seandainya ia menyokong usaha oleh Anwar untuk menyahstabilkan kerajaan Malaysia – dua kali yang pertama adalah semasa krisis tebusan 444 hari di Kedutaan Amerika Syarikat di Teheran sewaktu pemerintahan Khomeini di Iran dan pengajaran Afghanistan di mana Taliban telah merampas kuasa selepas Amerika Syarikat mencurahkan berjuta-juta dolar dan maklumat penting kepada Mujahidin anti-Soviet.
Pada hakikatnya, Pusat Kebangsaan untuk Kajian Awam bukannya sebuah ‘kumpulan pemikir Amerika bukan partisan’ tetapi suatu operasi kempen Reagan/ Bush bersifat ‘pasaran bebas/konservatif’ yang reaksioner manakala Washington Times yang memaparkan komentar tersebut dimiliki oleh golongan ‘moonies’ atau gereja ‘Unification’, sebagai benteng konservatisme Amerika dan hak Republikan.
Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui sama ada Amy Ridenour dan Pusat Kebangsaan untuk Kajian Awam telah diupah bagi kempen untuk menawan hati Washington, sama ada wang pembayar-pembayar cukai digunakan untuk mengekalkan kumpulan-kumpulan lobi Amerika supaya menyediakan ‘manisan’ bagi membuka jalan kepada suatu perjumpaan di antara Perdana Menteri dan Presiden Bush dan sama ada isu-isu KMM dan Islam militan sedang digunakan untuk menarik perhatian Washington.
Apa yang membingungkan fikiran adalah bahawa sebelum pilihanraya umum 1999, Anwar telah dituduh sebagai perisik CIA, berdasarkan pengakuan statutori oleh bekas penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid tetapi Anwar sekarang pula sedang dituduh sebagai seorang fundamentalis Islam dan disamakan dengan Taliban. Kerajaan harus memilih mana di antara dua tuduhan tersebut yang ia ingin lemparkan terhadap Anwar kerana Anwar tidak mungkin menjadi kedua-dua perisik CIA dan fundamentalis Islam pada masa yang sama. Walau apapun, Anwar nampaknya dianggap sebagai suatu isu yang berguna dalam percubaan untuk memulihkan hubungan baik di antara Kuala Lumpur dan Washington dan khususnya untuk membolehkan Mahathir bertemu dengan Presiden Bush.
..............................................................
Ucapan (1) oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang pada Kongres Kebangsaan DAP ke-13 di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 18 Ogos, 2001