Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


BA perlu bersedia untuk kuasai politik arus perdana

Sumbangan:
Laman Detikdaily

KUALA LUMPUR: Barisan Alternatif (BA) perlu bergerak ke arus perdana politik negara dengan meyakinkan rakyat Malaysia atas pagar bahawa program yang dibawa BA berwibawa dan mampu membawa perubahan. Demikian kata Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Prof KS Jomo dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

BA perlu menghadapi cabaran ini dengan berkesan kerana jika tidak, gabungan pembangkang ini akan mengalami masa depan yang gelap, tegas Jomo. Beliau berkata, kemajuan akhirnya akan ditentukan melalui pertambahan sokongan dari arus perdana dan pengekalan sokongan itu. Jomo menjelaskan, BA perlu mengelak dari terperangkap dengan rentak yang ditetapkan oleh Barisan Nasional.

“Saya faham mengapa DAP perlu respon kepada propaganda MCA dan BN, tetapi ia perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap, walaupun secara tidak sengaja, dengan menjadi mangsa retorik mereka sendiri, menetapkan syarat-syarat tidak realistik bagi rakan BA lain,” jelas Jomo.

Mengenai kekalahan tokoh-tokoh utama DAP dalam pilihanraya 1999, Jomo menyatakan berapa banyak DAP kehilangan undi kerana menyertai BA tidak dapat dipastikan. Malah, persembahan DAP lebih baik dari 1995 sehingga mampu memenangi kerusi yang belum pernah dimenanginya disebabkan peningkatan undi Melayu. Beliau juga menjelaskan, menurut analisis keputusan tempat mengundi Bukit Bendera, Lim Kit Siang tidak kehilangan walau satu peratus pun undi Cina yang diperolehi pada 1995.

Tetapi, kata Jomo, peningkatan undi Melayu tidak memadai untuk menewaskan lawan Kit Siang yang memiliki reputasi agak baik sebagai ahli parlimen kawasan tersebut. Mengulas kekalahan Karpal Singh, Jomo menjelaskan kekalahan tipis itu menunjukkan penurunan keseluruhan undi beliau kurang dari dua peratus, melibatkan kurang dari satu peratus pengundi, dan kerusi yang gagal diperolehi sekitar kawasan Cina di Ipoh juga gagal dimenangi pada 1995. Berkenaan isu negara Islam, Jomo berkata bahawa DAP memainkan peranan penting dalam BA dengan mengingatkan ahli-ahli politik PAS yang disebabkan persembahan cemerlang parti itu pada 1999, lupa akan tanggungjawab mereka dalam BA, dan kepada manifesto bersama gabungan itu.

Episod kontroversi DAP-PAS ini juga telah menyedarkan semua komponen akan tanggungjawab dan komitmen mereka terhadap manifesto bersama, kata Jomo. Walau bagaimanapun, parti komponen BA akan sentiasa menghadapi kesukaran menghadapi serangan BN disebabkan kawalan BN terhadap media massa yang semakin ketat, kata Jomo.

(Dapatkan segera akhbar politik Memo8, suntingan Ahmad Lutfi Othman)






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 23 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]