Sumbangan:
Laman Detikdaily
KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Hishamuddin Rais telah diarah supaya berbohong kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai keadaan dirinya dalam tahanan sewaktu suruhanjaya itu mengadakan lawatan.
"Dua hari sebelum Suhakam datang melawat, seorang pegawai kanan polis yang menyoal-siasat saya datang ke bilik soal-siasat dan memberitahu bahawa Suhakam akan datang dan saya dikehendaki menunjukkan kepada Suhakam bahawa saya mendapat layanan yang baik," kata Hishamuddin dalam afidavit rayuannya terhadap permohonan habeas corpus yang ditolak April lalu.
"Mereka cuba mempengaruhi saya dengan berkata, "Semua aspek dalam pertemuan itu akan diperhatikan. Jika awak memperlihatkan keadaan berjalan dengan baik, maka kami akan membuat laporan yang baik mengenai awak supaya pihak yang lebih berkuasa membebaskan awak lebih awal."
Ketua peguambela, Sulaiman Abdullah juga memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa sebelum Suhakam datang melawat, pengawai polis yang menyoalsiasat cuba membasuh pemikiran Hishamuddin dengan berkata bahawa "Suhakam terdiri daripada agen-agen Amerika dan dibiayai oleh bekas naib presiden AS, Al Gore".
6 Ogos lalu merupakan sesi ketiga proses rayuan aktivis sosial, juga kolumnis malaysiakini Hisahmuddin Rais, Naib Presiden KeADILan Tian Chua, Ketua Pemuda Mohd Ezam Mohd Nor dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan Saari Sungib terhadap permohonan habeas corpus yang ditolak oleh Hakim Augustine Paul 25 April lalu.
Persidangan Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Mohamed Dzaiddin Abdullah pada hari itu telah membenarkan pasukan peguambela mengemukakan lebih banyak bukti daripada afidavit perayu dan juga tahanan ISA yang lain memandangkan afidavit tersebut "jelas relevan dengan rayuan itu."
Selain Sulaiman Abdullah, keempat-empat perayu itu diwakili oleh peguam R Sivarasa, Christopher Leong dan Malik Imtiaz Sarwar. Pihak polis diwakili Peguam Negara Ainom Said.
Hakim lain yang turut mengendalikan pembicaraan tersebut ialah Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Wan Adnan Ismail, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Steve Shim Lip Kiong dan Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan Siti Norma Yaakob dan Abdul Malek Ahmad.
Pembicaraan itu akan disambung pada suatu tarikh yang masih belum ditetapkan.