Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Rakyat sangsi isu militan KMM

Oleh : Fathi Aris Omar

Pemimpin Umno cuba memujuk orang ramai agar mempercayai bahawa wujud trend militan atau ganas di negara ini, kegiatan itu pula ada kaitannya dengan pembangkang, dan memudaratkan ekonomi negara.

Selepas membesar-besarkan tangkapan 10 orang awal bulan ini, yang didakwa menganggotai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), dua pemimpin kanan Umno menegaskan pendedahan itu “bukan sandiwara” dan juga “pelabur asyik bertanya tentang kegiatan militan, bukan prestasi ekonomi.”

Bagaimanapun kempen politik melalui media yang diatur oleh kerajaan Umno itu masih disangsikan oleh orang ramai. Selain pemimpin kerajaan dan media itu sendiri menghadapi krisis kepercayaan sejak beberapa tahun kebelakangan, susun atur adegan dan dialog kempen itu sendiri kelam-kabut dan tidak profesional.

Pemimpin kerajaan boleh menyalahkan sesiapa sahaja, termasuk malaysiakini, jika kita mendakwa kempen media itu diatur untuk menimbulkan rasa takut dan bertujuan memburuk-burukkan pembangkang. Tetapi mereka lupa bagaimana tindakan-tindakan polis dan laporan-laporan media sendiri gagal meyakinkan orang ramai.

Pertama, tangkapan dibuat menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sekeping kertas undang-undang yang diragui dan sering dianggap bermotif politik, kepada mereka yang tidak merompak sebuah bank dan merampas senjata berbahaya di dua buah kem askar (pergerakan silat Al-Mau’nah).

Sebaliknya mereka yang merampas senjata dan merompak dihadapkan ke mahkamah! Seolah-olahnya merampas senjata di kem-kem tentera dan merompak bank dengan senjata 'lebih baik dan selamat', kerana dihukum melalui proses soal siasat lazim dan perbicaraan yang telus, berbanding kegiatan politik yang biasa - anda boleh ditahan ISA.

Kedua, istilah militan digunakan terlalu meluas dan overzealous sehingga hilang kepentingan makna. Apabila sebuah dewan terbakar di Universiti Malaya lewat Jun, Perdana Menteri sendiri awal-awal lagi menuduh kewujudan “pelajar militan.”

Akhbar ikut selera sendiri

Dua pemimpin pelajar Mohamad Fuad Mohd Ikhwan dan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menjadi mangsa ISA ekoran kejadian itu (begitulah digembar-gemburkan media), tetapi masing-masing dibebaskan tanpa sebarang syarat selepas disoal siasat hanya selama 10 dan 23 hari.

Malah, siasatan jabatan bomba dilaporkan mendapati dewan itu terbakar akibat kerosakan sistem pendawaian, bukannya akibat perbuatan khianat!

Ketiga, kini istilah KMM itu sendiri tidak seragam digunakan oleh media milik parti-parti kerajaan. Mula-mula KMM dilaporkan 'Kumpulan Mujahidin Malaysia' - istilah yang digunakan oleh Ketua Polis Negara ketika mengumumkan tangkapan awal lapan orang mengikut ISA pada 3 Ogos lalu.

Tetapi selepas itu KMM itu disebut pula 'Kumpulan Militan Malaysia' dan edisi terbaru singkatan KMM itu tidak diberikan apa-apa huraian, memadai disebut 'kumpulan militan KMM.' Apa itu KMM? Tidak pula dijelaskan.

Akhbar-akhbar hari ini, apabila melaporkan lagi kejadian dan kumpulan itu, masing-masing menulis mengikut selera sendiri. Ada akhbar menyebut 'Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM)', ada pula 'Kumpulan Militan Malaysia (KMM)' dan 'kumpulan militan KMM.'

Nampaknya, akhbar-akhbar yang taksub dengan parti-parti kerajaan itu sendiri (yakni, tidak suka menimbulkan laporan negatif terhadap polis, misalnya sengaja mengecil-ngecilkan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang diterbitkan Isnin), sanggup melanggar istilah yang digunakan secara rasmi oleh Ketua Polis Negara! Ganjil, bukan?

Jadi, bagaimanapun orang ramai dapat diyakinkan kempen media itu bukan sejenis percaturan politik yang sengaja diatur oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional? Seseorang yang rasional serta mengikuti perkembangan politik - walau tidak suka parti-parti pembangkang - akan berfikir beberapa kali untuk mempercayai versi rasmi kerajaan dalam kes-kes seumpama ini.

Menggulingkan kerajaan

Keempat, polis terlalu kerap menggunakan istilah 'keselamatan' untuk menghalalkan tindakannya sehingga alasan itu sudah hilang kewibawaannya. Misalnya, 10 aktivis reformasi dan Parti Keadilan Nasional ditahan mengikut ISA pada April dengan “alasan keselamatan” dan mereka dituduh oleh Ketua Polis Negara (lagi?) “cuba menggulingkan kerajaan dengan cara-cara militan.”

Semua orang tahu 10 aktivis reformasi itu penggerak politik yang sah, menggunakan saluran pilihanraya dan bergerak dengan semangat hak asasi. Mereka lebih dikenali sebagai aktivis pembangkang yang lantang mendedahkan penyelewengan kerajaan, bukannya pengancam keselamatan negara. Oleh itu, istilah 'keselamatan' - apabila digunakan sekali lagi untuk KMM - tidak dapat menghilangkan keraguan orang ramai.

Apatah lagi, kerajaan cuba pula mengaitkan KMM dengan Al-Ma’unah dan kumpulan reformasi. Keputusan permainan media seperti ini akan membawa dua kesan: warna hitam boleh menghitamkan imej putih; atau, warna putih boleh memutihkan imej hitam.

Ertinya, jika orang percaya kumpulan reformasi itu baik, mangsa kezaliman kerajaan dan tidak berdosa, orang akan melihat KMM dan Al-Ma’unah juga sebagai mangsa. Begitu pula sebaliknya - jika orang percaya Al-Ma’unah itu militan, maka orang itu turut percaya kumpulan reformasi juga begitu. Soalnya, siapa percaya gerakan yang diasaskan Anwar Ibrahim itu kumpulan militan?

Sejak Julai pula, polis melarang ceramah parti-parti pembangkang di kawasan terbuka. Sekali lagi, istilah 'keselamatan' digunakan. Entah ancaman apa yang melanda negara ini ketika ceramah-ceramah terbuka sehingga kini tidak diketahui tetapi polis mengekalkan istilah itu untuk menghalalkan tindakannya.

Padahal kanak-kanak pun sedar, di ceramah-ceramah politik pembangkang, mereka boleh bermain berlari-lari dan kemudian apabila letih, mereka boleh tidur di atas tikar atau di atas riba ibubapa masing-masing. Pengalaman manis kanak-kanak ini sudah cukup untuk menolak alasan keselamatan sebagai asas larangan berceramah.

Jeritan pengembala kambing

Apa jenis keselamatan sehingga polis tidak membenarkan tarian singa dipersembahkan di sebuah perhimpunan pembangkang di Telok Panglima Garang, Selangor awal tahun ini? Apa jenis keselamatan sehingga Mabel Au (foto), tunang seorang pemimpin Keadilan, Tian Chua, ditahan di lokap selama 13 jam dan dilarang masuk Malaysia bulan lalu - sedangkan kedatangannya untuk melawat pasangannya itu di kem Kamunting, Perak seperti juga lawatan keluarga tahanan-tahanan lain?

Kelima, Timbalan Perdana Menteri mendakwa imej negara tercemar dengan kegiatan kumpulan militan tetapi kerajaan sendiri membenarkan isu-isu seumpama itu dibesar-besarkan setiap hari.

Jika kerajaan sanggup menyembunyikan Indeks Pencemaran Udara (API), kononnya tidak mahu menakutkan pelancong asing datang ke sini di musim jerebu, kenapa kempen media berhubung gerakan militan diriuh-rendahkan seluruh kampung?

Cara berhujah seumpama ini hanya sesuai untuk orang Melayu jenis 'mudah lupa' (seperti dakwaan Presiden Umno) tetapi tidak berjaya mengeliru rakyat Malaysia yang berfikir - golongan pengundi yang penting sekarang.

Apabila pemimpin Umno bertindak serta berhujah 'cacamarba' dan polis pula menggunakan istilah militan serta keselamatan dengan sewenang-wenangnya, tindakan kerajaan kini akan sering ditafsirkan jeritan meminta tolong pengembala kambing, “serigala, serigala, tolong!”

Tetapi akhirnya, habis kambingnya dimakan serigala! Apakah kita, orang kampung Malaysia, harus dipersalahkan setelah kambing-kambing itu hilang kerana tidak mempercayai jeritan si gembala? Tentulah tidak adil, bukan?

--------------------------------------------------------------------------------
FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 24 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]