Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Penangkapan di bawah ISA: Saya rasa tercabar - Nik Aziz

KOTA BHARU, 9 Ogos (Hrkh) - "Kalau perkara lain, saya mungkin boleh sabar, tetapi kalau kerana ISA saya tidak boleh bersabar, malah berasa tercabar," kata Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat, ketika diminta mengulas tentang penahanan sepuluh orang, termasuk anaknya di bawah akta itu baru-baru ini.

"Saya menentang ISA bukan kerana anak saya ditangkap, tetapi kerana akta itu tidak adil dan zalim di samping ia memang merupakan sebahagian daripada perjuangan PAS yang menentang kezaliman dan ketidakadilan," kata beliau lagi.

Dalam penahanan terbaru di bawah Seksyen 73 (1) akta itu, sejak 4 Ogos lepas, sepuluh orang termasuk anak Menteri Besar itu, Nik Adli, 34, telah ditangkap atas dakwaan terlibat dengan apa yang dinamakan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang dikatakan merancang untuk menumbangkan kerajaan melalui jalan keganasan.

Kumpulan itu yang dikatakan mendapat latihan ketenteraan di Afghanistan juga didakwa terlibat dengan beberapa kejadian rompakan bank, pembunuhan serta pengeboman gereja dan kuil.

Turut ditahan ialah Exco Pemuda PAS Kedah, Md Lothfi Ariffin, Ketua Pemuda PAS Sg Benut, Nor Ashid Sakip, Ketua Pemuda PAS Larut, Ahmad Tajudin Abu Bakar, Salehan Abd Ghafar, Abu Bakar Che Doi, Alias Ngah, Zainun Ismail, Ahmad Fauzi Deraman dan Asfawani Abdullah.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, ketika mempertahankan penahanan tersebut berkata, ia dilakukan atas sebab-sebab keselamatan negara dan tidak bermotif politik.

Nik Aziz walau bagaimanapun mempertahankan anggapannya bahawa penangkapan anaknya, Nik Adli, dan sembilan yang lain itu adalah bermotif politik kerana, katanya, ISA itu sendiri adalah alat dan membawa mesej politik.

"Jika penangkapan ini tidak bermotif politik, ke mana perginya ikat jamin untuk tertuduh, khidmat peguam untuk tertuduh dan mahkamah untuk mengadili tertuduh?" katanya.

Beliau seterusnya berkata, penangkapan ahli dan penyokong PAS yang kononnya terbabit dalam Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) itu bertujuan untuk memberi gambaran negatif terhadap PAS.

"Sebelum ini PAS pernah dikaitkan dengan anggota Al Ma'unah, sekarang dengan KMM pula, sedangkan gerakan itu sendiri masih diragui kewujudannya," tambah beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau menyetujui pandangan Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang, yang meminta kerajaan memastikan sama ada KMM benar-benar wujud atau sebaliknya sebelum membuat apa-apa kenyataan mengenainya.

Lim dalam kenyataannya itu berkata, sekiranya KMM tidak wujud, maka tangkapan yang dibuat ke atas 10 orang itu adalah tidak sah dan melanggar hak asasi manusia.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 11 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]