Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Larang berjubah: Lagi langkah kerajaan sekat kebebasan rakyat

Oleh Adi Putra

KOTA BHARU, 16 Ogos (Hrkh) - Ramai guru di sini melahirkan rasa kesal atas arahan Kementerian Pendidikan Malaysia tidak membenarkan guru lelaki memakai serban dan berjubah ketika mengajar dan menghadiri upacara rasmi di sekolah atau di tempat lain.

Pekililing arahan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia itu bertarikh 7 Jun 2001 yang bertajuk 'Panduan Pakaian Guru Ketika Bertugas di Sekolah' itu ditandatangani oleh Dato' Abdul Rafie Mahat sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan menyebut bahawa pakaian jubah dianggap bukan pakaian pada masa bekerja bagi pegawai awam.

Pekeliling itu juga menyebut guru digalak memakai baju Melayu lengkap dengan samping atau pakaian baju yang mirip dengan potongan baju Melayu dan dipakai bersama seluar panjang serta bersongkok.

Seorang guru, Awang Abdullah, 54 berkata, larangan itu disifatkan tidak masuk akal kerana pakaian tersebut merupakan sunnah Nabi SAW yang tidak boleh dihalang bagi seseorang Islam memakainya.

Katanya, Islam mengutamakan pakaian menutup aurat, sama ada berjubah atau tidak, terpulang kepada individu untuk memakainya.

"Ramai guru menganggap larangan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan di tengah-tengah kebangkitan rakyat hendak kepada Islam sekarang," katanya.

"Seseorang yang berjubah dilihat lebih berakhlak dan mereka tidak boleh dihalang memakainya kerana sebelum ini pakaian itu tidak pernah menghalang tugas mereka," katanya lagi. Haji Yussof Daud, 51, berkata, larangan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana negara ini diperintah oleh orang yang beragama Islam.

Katanya, rakyat dan guru boleh beranggapan bahawa larangan tersebut dibuat kerana kerajaan terlalu fobia dengan orang-orang yang berjubah dan berserban.

"Dulu kerajaan BN fobia dengan warna hijau sehinggakan logo Petronas diarahkan tukar dan sekarang takut pula kepada guru yang berserban dan berjubah pula," katanya.

Sukri Hamzah, 45, dari Melor, mempersoali kewarasan dakwaan pemimpin kerajaan kononnya Malaysia adalahi sebuah negara Islam sedangkan pakaian berjubah dan berkopiah tidak dibenarkan.

Bekas guru, Daud Ahmad, 57, meminta kerajaan BN, melalui Kementerian Pendidikan, menarik balik perkeliling perkhidmatan Bilangan 2 bertarikh 19 Febuari 1985 dan diperbaharui tarikhnya kepada 19 Jun 2001 yang melarang guru memakai jubah dan serban semasa mengajar.

Katanya, sekiranya perkeliling itu enggan ditarik balik, maka jelas sekali Malaysia bukan negara Islam tidak sebagaimana didakwa pemimpin BN sekarang.

"Pemimpin kerajaan BN usah banyak bersandiwara kerana arahan seperti itu akan menjadi senjata makan diri tidak lama lagi," katanya.

Selain sekolah, beberapa institusi pengajian tinggi tempatan turut melarang pensyarah memakai kopiah dan jubah.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 16 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]