Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Perhimpunan PAS dan Buddha di Kelantan: Awas, ada pihak cuba sabotaj?

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Hrkh) - Para pemimpin dan penyokong PAS yang menyertai perayaan Jubli Emas PAS di Pengkalan Chepa 7 hingga 9 September depan diberikan ingatan agar menjaga disiplin masing-masing sepanjang berada di sana.

Ini kerana, hampir serentak dengan perhimpunan itu, 9 hingga 17 September para penganut Buddha dari rantau ini akan juga bertumpu di Kelantan pada ketika yang sama untuk meraikan Hari Wat Machimneram di Tumpat.

Lebih 500 pemimpin Buddha dari rantau ini akan menyertai majlis itu di samping puluhan ribu penganut agama itu serta media antarabangsa dijangka akan memberikan liputannya.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan 50 Tahun PAS, Ustaz Hassan Shukri berkata dalam satu ceramahnya baru-baru ini, beliau bimbang ada pihak-pihak yang akan cuba mengeruhkan perhubungan baik PAS dan penganut agama Buddha sepanjang program itu.

Ketika pelbagai pihak bimbang PAS akan menghalang kebebasan beragama, di negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS, terletakkan sebuah patung Buddha tidur paling besar di Asia Tenggara.

Pada Hari Wat Machimneram pula, patung Buddha duduk pula akan dirasmikan.

Sementara itu, Harakah diberitahu ada pihak-pihak yang sedang merancang untuk memburukkan nama baik PAS sepanjang program tersebut.

"Saya diberitahu, mereka mahu memburukkan nama baik PAS di mata antarabangsa dengan menggambarkan PAS seumpama Taliban di Afghanistan yang telah memusnahkan patung Budha di Bamiyan sebelum ini.

"Jika sesuatu berlaku kepada perayaan Budha itu, semua mata dunia akan tertumpu kepada PAS kerana semua media berada di Kota Bharu sepanjang kedua-dua program tersebut berjalan," kata sumber itu.

Sebelum ini, PAS cuba dikaitkan dengan kegiatan militan apabila beberapa pemimpin muda PAS termasuk anak Mursyidul Am PAS, Nik Adli Nik Abdul Aziz ditangkap di bawah ISA kononnya kerana terlibat dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).

Bagaimanapun, nama KMM telah menjadi Kumpulan Militan Malaysia sejak kebelakangan ini seolah-olah ianya tidak pernah wujud dan direka-reka sahaja.

"Macam pertuduhan liwat yang dikenakan ke atas Anwar Ibrahim. Tarikhnya bertukar-tukar mengikut keperluan semasa seolah-olah direka-reka," kata sumber itu.

PAS sebelum ini mendesak agar pihak berkuasa mendakwa semua yang ditangkap di bawah ISA itu agar dibawa ke mahkamah terbuka untuk membolehkan mereka membela diri.

Ketua Penerangan PAS, Azizan Abdul Razak dalam tulisannya di Harakah mengenai perkara ini berkata, "memerangkap individu yang didakwa sebagai ahli PAS bertindak secara bersendirian dan tergelincir dari dasar perjuangan PAS telah dijadikan alasan untuk membabitkan PAS dalam perkara ini.

"PAS berharap agar mereka yang ditahan dihadapkan ke mahkamah agar keadilan diberi kepada mereka dan sekali gus mencerahkan kembali suasana kabur yang cuba diselubungi ke atasnya (PAS) selama ini," katanya dalam tulisan itu.

Sebelum ini, isu negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS telah menjadi isu penting dan kebimbangan di kalangan masyarakat bukan Islam.

Bagaimanapun, isu itu semakin reda apabila PAS mengadakan perjumpaan beberapa kali dengan DAP serta pemimpin agama lain di negara ini.

Kerisauan utama mereka, sebagaimana yang disampaikan kepada PAS adalah hak mereka untuk mengamalkan agama mereka (hak beragama), hak sebagai rakyat (bimbang kalau menjadi rakyat kelas dua) dan kebebasan beribadat sebagaimana yang dituntut oleh agama mereka hilang.

Sumber yang memberitahu Harakah itu bimbang kalau-kalau pihak-pihak tertentu cuba bertindak tidak baik di perhimpunan itu sehingga meyakinkan penganut agama Budha dan lain-lain agama "jika PAS memerintah, memang kerisauan itu akan menjadi kenyataan."






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]