Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Tiada kes pendakwaan berkaitan arak sejak BA perintah

Tiada kes pendakwaan yang berkaitan dengan meminum arak yang melibatkan umat Islam sejak Barisan Alternatif pimpinan PAS memerintah negeri ini selepas pilihan raya umum lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Abdul Muttalib Embong berkata, pada tahun 1996, sebanyak 22 pendakwaan mengenai perkara itu, manakala pada tahun 1997 dan 1998 ialah 17 dan 12 kes, dan tiada kes pada 2000 hingga kini.

Beliau menyifatkan penurunan kes itu menunjukkan sentimen rakyat yang menyokong dasar dan pendekatan baru kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, tabiat 37 tahun meminum arak yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini sukar untuk diatasi, walaupun umat Islam tahu bahawa arak itu haram.

"Keadaan ini memakan masa untuk dibaiki," katanya ketika menjawab soalan tambahan wakil Kemasik, Dato' Abu Bakar Ali.

Dalam soalan asal, wakil itu bertanya adakah Kerajaan Negeri Terengganu sedar bahawa masih ada di kalangan orang Islam yang meminum arak di kedai yang menjual minuman keras dan apakah tindakan bagi menangani masalah itu.

Menteri Besar, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi, yang mencelah bagi menjawab soalan tambahan wakil itu, berkata, beliau sendiri meninjau beberapa chalet di sebuah pulau peranginan sama ada menjual arak atau tidak.

"Saya meninjau sendiri, ada tak chalet yang jual arak, saya tak tahu adakah pemimpin kerajaan dulu lawat atau tidak," jelasnya, apabila wakil pembangkang mengaitkan lawatan Menteri Besar ke sebuah pulau peranginan dan meninjau beberapa chalet sama ada menjual arak atau tidak.

Ustaz Abdul Hadi menambah, hasil tinjauannya mendapati chalet yang tidak menjual arak lebih maju daripada chalet yang menjual arak.

"Kita lapor kepada pihak yang berkenaan untuk diambil tindakan," katanya.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 1 September 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]