Kerajaan negeri akan membina 2,379 rumah mampu milik untuk memenuhi permintaan rakyat bagi menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Abdul Muttalib Embong berkata, istilah rumah murah telah ditukar kepada rumah mampu milik yang lebih selesa didengar dan lebih sesuai.
Katanya, kawasan yang terlibat dengan pembinaan rumah mampu milik itu ialah di Tok Jiring, Kuala Terengganu, sebanyak 377 unit, Renek, Jabi (141), Padang Stengir, Hulu Terengganu (481), Padang Air, Kuala Terengganu (166), Paya Berenjut, Kemaman (632), Mak Chili, Kemaman (210) dan Bukit Gasing, Marang (372).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ustaz Shaharizukirnain Abd. Kadir (PAS-Jabi).
Shaharizukirnain ingin tahu berapa banyakkah kawasan yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri kepada pihak swasta untuk pembangunan rumah awam kos rendah sejak tahun 2000 lalu.
"Kita sedang membina 698 unit rumah, 420 daripadanya adalah rumah mampu milik di Balai Besar, Dungun," kata Wan Muttalib.
Selain itu, katanya sebanyak 540 dan 336 unit lagi rumah mampu milik akan dibina di Batu Hampar.
Beliau juga memberitahu, projek warisan kerajaan lalu yang dibekukan peruntukannya oleh kerajaan Pusat sejak pertukaran kerajaan telah diluluskan untuk memulakan projek.
Katanya, peruntukan yang dahulunya sebanyak RM90 juta telah diturunkan kepada RM50 juta sahaja.
Menjawab soalan tambahan daripada wakil yang sama mengenai harga rumah mampu milik, beliau berkata arahan daripada kementerian telah menetapkan antara RM25,000 hingga RM38,000 mengikut keadaan tempat dan pilihan pembeli.