Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kenyataan KAMI rampasan akhbar berpermit

KENYATAAN MEDIA KUMPULAN AKTIVIS MEDIA INDEPENDEN (KAMI)
29 OGOS 2001

Umum mengetahui penerbitan akhbar dan majalah alternatif yang dikatakan tidak mempunyai permit penerbitan yang sah daripada Kementerian Dalam Negeri mendapat tekanan yang semakin hebat daripada pihak polis dan unit penguatkuasa KDN. Meskipun begitu, menurut tafsiran KAMI, apa-apa penerbitan yang hanya dikeluarkan sekali saja, yakni bukan diterbitkan secara bersiri tidak memerlukan permit KDN.

KAMI dimaklumkan oleh penerbitan makalah berkenaan bahawa operasi polis dan KDN kini ditingkatkan. Dalam banyak kes, difahamkan operasi rampasan bahan bercetak itu sebenarnya didorong oleh kepentingan pemimpin-pemimpin Umno setempat. KAMI dapati tekanan dan sekatan itu berbeza-beza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Antara negeri yang teruk ditekan ialah Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Terdapat ramai pengedar dan peruncit yang kini menunggu kes mereka dibicarakan di mahkamah di bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984). Bagaimanapun setakat ini masih belum ada penerbit yang dikenakan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun perkembangan terbaru lebih memeranjatkan lagi. Dalam satu kes operasi rampasan akhbar-akhbar politik alternatif, di daerah Kuala Langat, Selangor, 13 Ogos lalu, pihak polis (tanpa disertai unit penguatkuasa KDN) telah merampas sekurang-kurangnya membabitkan tiga akhbar yang mempunyai permit yang sah dari KDN. Akhbar-akhbar itu ialah Cabaran, Bebas dan Semasa.

Sekurang-kurangnya dua peniaga di sekitar pekan Banting telah ditahan kerana menjual akhbar-akhbar berkenaan. Operasi rampasan itu diketuai oleh ASP Sammugam a/l Virasamy, dari ibu pejabat polis daerah Kuala Langat.

Seorang dari peniaga itu, Tew Cheng Keow, 23 tahun, seorang pekedai di No 3, Jalan Jugra, Banting, ditahan dari pukul 1.30 tengahari sehingga 6.30 petang, dan kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000. Antara akhbar-akhbar yang dirampas daripadanya ialah akhbar Semasa (16 naskhah), Cabaran (16 naskhah) dan Bebas (6 naskhah). Selain itu terdapat beberapa judul akhbar politik yang tidak mempunyai permit, seperti Pemuda Perkasa (lidah rasmi Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Berita Keadilan (lidah rasmi Parti Keadilan Nasional). Turut dirampas satu naskhah akhbar tabloid Suara PRM (lidah rasmi Parti Rakyat Malaysia) yang sebenarnya mempunyai permit penerbitan yang sah daripada KDN.

Kami dimaklumkan oleh pengedar akhbar berkenaan bahawa apabila ditanya oleh pekedai kepada ASP Sammugam, mengapa akhbar yang ada permit juga dirampas, Sammugam dikatakan menjawab: “Apa saja akhbar yang menyiarkan cerita pasal Anwar tidak boleh dijual.”

Tew Cheng Keow dan seorang lagi pekedai yang turut ditahan atas kesalahan sama, Honivathu Banu Nahayanuden, 44 tahun, dari Jalan Sultan Abd Samad, Banting akan dihadapkan ke mahkamah pada 14 September depan di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting di bawah pertuduhan Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

KAMI memandang berat dan serius isu rampasan akhbar-akhbar tidak berkala (yang sebenarnya tidak memerlukan permit penerbitan), apatah lagi jika membabitkan akhbar-akhbar yang mempunyai permit seperti Cabaran, Semasa, Bebas dan Suara PRM. Tindakan polis ini cukup melampau dan hendaklah dihentikan serta-merta.

Bagi KAMI, tindakan mengugut dan menakut-nakutkan peniaga yang menjual makalah politik yang tidak sealiran dengan pemerintah sudah cukup berleluasa. Ia sebenarnya tindakan politik untuk menyekat rakyat dari mendapat berita dan maklumat yang benar, di kala akhbar-akhbar utama, apatah lagi tv dan radio menjadi alat pemerintah menyebarkan propaganda murahan mereka.

Kebebasan bersuara di negara ini di peringkat cukup kritikal. Perhimpunan aman dan ceramah politik diharamkan. Bahan bercetak yang tidak menyokong pemerintah dirampas, manakala pengedar dan peniaga ditakut-takutkan. Malaysia sudah menjadi Negara Polis.

Saya sendiri, mewakili KAMI dalam waktu terdekat, akan membuat bantahan terbuka kepada pihak polis yang membuat operasi rampasan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat. Polis harus bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang dan bukan sebaliknya. Sudahlah imej polis kini di peringkat cukup buruk sekali, khususnya selepas Laporan Suhakam tentang perhimpunan 100,000 rakyat di Lebuh Raya Kesas, tindakan-tindakan membabi-buta demi memuaskan nafsu pemimpin pemerintah lagi memburukkan keadaan.

KAMI sekali lagi mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan rampasan akhbar-akhbar yang mempunyai permit KDN itu dan menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai membuat penjelasan lanjut mengenai perkara ini.

AHMAD LUTFI OTHMAN
Jurucakap
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)
24, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak, Kuala Lumpur.
Tel: 03-40243531, 019-3722079






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 30 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com