Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


KMM: UMNO/BN MEMUSUHI NEGARA ISLAM?

Bermula dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia, kini KMM bertukar menjadi Kumpulan Militan Malaysia. Isu Militan ini kian menjadi sebutan oleh akhbar-akhbar arus perdana dan saluran-saluranTV milik kerajaan Umno/BN. Ke manakah hala tujunya belumlah begitu jelas. Tetapi kita pun sudah dapat menduga bahawa Militan Islam akan dikaitkan dengan usaha-usaha gerakan Islam untuk menubuhkan sebuah negara Islam di Malaysia. Oleh kerana di negara ini, hanya PAS yang bercita-cita sedemikian, maka tentulah PAS yang bakal menjadi sasaran dari isu militan Islam ini.Inilah sebenarnya tujuan Umno/Bn membangkitkan isu militan Islam kebelakangan ini.

Beberapa pemimpin muda PAS termasuk Nik Adli, anak kepada MB Kelantan telah pun ditahan di bawah ISA dan dikaitkan dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia ini, yang kemudian ditukar kepada Kumpulan Militan Malaysia. Berikutnya sebuah kumpulan rompakan bank juga dikaitkan dengan KMM. Pembunuhan Dr. Joe Fernandez yang masih gagal disiasat oleh kerajaan juga dikaitkan dengan KMM. Letupan bom di Kelang tidak lama dulu juga dikaitkan dengan KMM. Dan kini yang terbaru, tiga orang mahasiswa tahu akhir UUM dikaitkan dengan KMM hanya semata kerana mereka menghadiri Kursus Pembinaan Dua't dalam siri Bina Insan di Cheras. Tuduhan ke atas pelajar UUM itu dikaitkan pula dengan sebuah kertas kerja oleh pembentang yang memetik buku Ikhwanul Muslimin; Tinjauan Sejarah Sebuah Gerakan Islam hasil karya Ishak Musa Al Husaini. Tidak ada apa yang ditulis oleh Ishak Musa Al Husaini tentang militan Islam dalam bukunya itu. Karya itu hanyalah berkisar kepada sorotan terhadap sebuah gerakan Islam yang termasyhur di Timur Tengah; iaitu Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hassan Al Banna. Penulis telah pun membaca buku itu pada tahun lapan puluhan dahulu, dan seingat penulis tidak ada ajaran bagaimana untuk menjadi seorang militan dalam karya tersebut.

Untuk mengupas Ikhwanul Muslimin adalah terlalu luas dan bukan tempatnya di sini.Penulis mencadangkan jika sesiapa yang berminat untuk mengkaji gerakan Islam ini bolehlah membaca karya terbaru Prof.Dr. Yusof AlQardhawi berjudul 70 Tahun Al Ikhwan Al Muslimun; Kilas Balik Dakwah, Tarbiah dan Jihad. Buku tersebut sudah pun diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia pada tahun 1999 yang lalu. Al Qardhawi, seorang ulama yang terkenal di dunia Islam dewasa ini juga tidak pernah menyarankan untuk menjadi militan hanya kerana untuk menegakkan sebuah negara Islam. Banyak lagi karya-karya mengenai Ikhwanul Muslimin yang ditulis oleh berbagai-bagai jenis pengarang samada kawan mahupun lawan. Peribadi Hasan AlBanna dan tokoh-tokoh Ikhwan lainnya juga mendapat sorotan yang tidak kurang banyaknya. Pembaca boleh mencarinya di kedai-kedai buku jika inginkan maklumat tambahan.

Dunia Islam umumnya telah pun menerima Hasan AlBanna sebagai tokoh mujahid dan mujaddid Islam abad dua puluh ini berdasarkan fikrah dan gerakannya yang didukungi oleh Ikhwanul Muslimin. AlQardhawi sendiri juga mengagumi ketokohan Hasan AlBanna. Bahkan seluruh ulama Islam abad ini menerima kehadiran AlBanna sebagai tokoh Islam yang tiada tandingnya pada abadnya.

Tetapi kenapakah pada akhir-akhir ini kerajaan Umno/BN pimpinan Mahathir Mohamed ini mulai memusuhi AlBanna dan gerakan Ikhwanul Muslimin khususnya apa yang digembar-gemburkan dengan militan Islam sekarang ini? Apa yang sebenarnya maksud kerajaan BN/Umno itu? Barangkali telahan yang dapat dibuat berdasarkan perkembangan mengenai isu ini sehingga hari ini (24/8/2001) adalah isu menegakkan negara Islam samada secara pilihanraya mahupun secara yang lain daripada itu. Nampaknya kini kerajaan Umno/BN mulai resah dengan kemenangan Pas di Kelantan dan Terengganu. Umno/BN juga mulai resah dengan konsep negara Islam yang sudah mulai difahami semula oleh umat Islam di negara ini dan melihat sokongan yang kian kuat dari umat Islam untuk menegakkan sebuah daulah Islamiyyah di negara ini.

Adakah tangan-tangan ghaib yang mengarahkan Umno/BN supaya memukul gerakan Islam di negara ini? Ini adalah satu soalan yang sukar untuk dicari buktinya. Tetapi negara-negara Barat, khususnya Amerika tentu tidak menyukai kebangkitan Islam di rantau ini. Pengalaman parti Islam di Algeria cukup untuk membuktikan hal ini. Begitu juga dengan parti Islam (Refah) di Turki.

Apa yang jelas dari isu KMM ini adalah bahawa Umno/BN kini mulai memusuhi apa yang kita panggil negara Islam. Tidak kiralah samada ia memusuhi konsepnya, pemahamannya, gerakan-gerakan ke arah mencapainya dan sebagainya. Umno yang mengaku menjadi parti Islam terbesar di rantau ini sudah pun memalu gendang perang terhadap negara Islam dan cita-cita ke arah mewujudkannya. Isu militan Islam adalah salah satu dari strateginya untuk melemahkan gerakan kebangkitan Isam dan seterusnya menghapuskannya dari muka bumi negara ini. Para pendukung dan pencinta gerakan Islam haruslah peka dengan isu ini, dan kita seharusnya berhati-hati supaya tidak terjebak dengan mainan kotor politik Umno/BN ini. Isu ini juga menjelaskan kepada kita tentang sikap munafik pimpinan Umno/BN yang mengaku Islam, bercita-cita menerapkan Islam tetapi sebaliknya memusuhi negara Islam yang bakal lahir untuk kali berikutnya di dunia ini, Insya'allah.

AlKundangi,
25.8.2001






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 28 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]