Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


KONTROVERSI NEGARA ISLAM: PANDANGAN TERHADAP PAS

Isu negara Islam adalah senjata yang paling ampuh bagi UMNO/BN buat masa ini untuk melaga-lagakan dan seterusnya memecah-belahkan perpaduan dalam Barisan Alternatif. Sememangnya kerja-kerja munafik Umno untuk memesongkan tentang pemahaman Islam khususnya Negara Islam telah lama berlansung di negara ini. Sebagai sebuah parti nasionalis Umno tidak akan menegakkan sebuah negara Islam. Umno adalah pendukung negara sekular yang diwarisi dari penjajah. Soalnya mengapakah kebelakangan ini isu ini dipermainkan oleh Umno sehingga DAP sendiri hampir hilang kepercayaan terhadap solidariti dalam Barisan Alternatif?

Barangkali Umno sedar jika sekiranya pakatan Barisan Alternatif agak kuat kemungkinan mereka akan hilang lebih dari dari satu per tiga kerusi pada 2004. Oleh itu Umno perlu memainkan peranan dengan memecahbelahkan perpaduan dalam BA. Tambahan lagi kekaburan di sekitar konsep negara Islam menyebabkan ramai rakyat negara ini percaya bahawa mereka akan hilang kebebasan apabila Pas misalnya berjaya mewujudkan sebuah daulah Islamiyyah. Oleh itu Umno perlu menambah-kaburkan konsep negara Islam itu, dan orang-orang DAP yang kurang memahami konsep ini dengan tegas akan menolak konsep negara yang diperjuangkan oleh PAS itu. Kini nampaknya DAP bertegas mahukan Malaysia menjadi sebuah negara demokrasi di mana hak-hak individu bebas menurut lunas demokrasi dan kebebasan beragama. Pendirian tegas DAP ini sebenarnya menampakkan bahawa pucuk pimpinan DAP masih lagi kabur tentang konsep "Islamic State" yang diperjuangkan oleh PAS itu.

Sekiranya mereka faham, tentu mereka tidak menolak konsep negara ini, sebab negara Islam yang tulin lebih mempunyai kebebasan berbanding dengan sebuah negara demokrasi. Setiap bangsa dan agama bebas mengamalkan budaya dan cara hidup masing-masing. Tidak akan ada siapa pun yang dipaksa memeluk Islam. Mereka bebas mengamalkan budaya sendiri asalkan tidak menganggu-gugat orang-orang Islam. Barangkali PAS perlu berusaha lebih gigih dengan mengadakan perbincangan dan forum serta ceramah-ceramah, dailog dan sebagainya untuk memberikan kefahaman yang mendalam tentang konsep negara yang diperjuangkannya kepada rakan-rakan dalam Barisan Alternatif. Untuk sementara, jika mereka menolak, PAS tidak perlu membicarakan falsafah negara yang diinginkannya. Sebaliknya PAS hanya perlu berada dalam BA dengan tujuan menumbangkan kezaliman UMNO/BN atau menafikan hak 2/3 pada pilihanraya akan datang. Jika ini berjaya, itu sudah cukup bagi PAS untuk mengemukakan pandangannya tentang konsep negara Islam yang selama ini disilap faham oleh UMNO/BN dan talibarutnya termasuklah para orientalis yang sengaja menimbulkan keraguan terhadap Islam di kalangan orang-orang bukan Islam.

Itu adalah satu permulaan yang baik.PAS tidak perlu gopoh dengan matlamatnya Perjalanan masih jauh .Kesilap-fahaman yang telah ditabur hampir 100 tahun sejak tumbangnya Khalifah Islam terakhir pada 1924 di Turki tidak mungkin dapat diperbetulkan dalam masa yang singkat. Ikhwanul Muslimin telah berjuang ke arah itu lebih 70 tahun namun bayangan negara Islam belum juga muncul..Sebab itu lebih baik dikekalkan manifesto bersama yang dipersetujui pada pemilu 99 itu untuk dijadikan asas kepada satu matlamat yang lebih jauh. Penulis teringat kata TG Abdul Hadi Awang suatu ketika dahulu bahawa ' Tuhan tidak akan bertanya kenapakah kita gagal menegakkan negara Islam, tetapi Dia akan bertanya apakah kita telah berusaha ke arah itu?"

Apa yang lebih penting pada waktu ini dalam suasana politik yang agak suram di negara kita ini, perpaduan di kalangan anggota komponen BA haruslah diutamakan demi untuk menumbangkan kezaliman yang sudah berakar umbi di negara ini. Sesudah itu barulah kita tegakkan keadilan. Wallahu a'lam.

AlKundangi,
27.8.2001






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 28 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com