Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Black Metal: Kentut UMNO?

Oleh: Hj Mohnas

Sebenarnya ada banyak isu yang boleh diulas. Meskipun demikian, buat beberapa waktu saya malas menulis, apatah lagi yang berkaitan UMNO. Dari isu Black Metal hingga gangguan kerajaan [baca: UMNO] terhadap ceramah Barisan Alternatif, khususnya PAS.

Malah, saya berasa mual amat apabila membaca kenyataan-kenyataan pemimpin UMNO terhadap sesuatu isu. Kenyataan itu biarpun wajib dibaca sebagai jenaka politik, tetapi apabila kerap dikeluarkan, maka jadilah ia bukan lagi jenaka biasa, bahkan splastik.

Anda mungkin menekan-nekan perut apabila melihat gelagat Jim Carrey dalam The Mask atau Ace Ventura: Pet Dectative, tetapi cuba tontoni jenaka Jim Carrey dalam filem yang berikutnya. Mual, loya dan menyampah, malah kadang-kala menyumpah!

Itulah yang berlaku kepada UMNO. Dulu, sewaktu Ibrahim Ali menjadi senator, maka kenyataan-kenyataan Ibrahim boleh dianggap jenaka yang menggamatkan suasana. Malangnya, biarpun Ibrahim sudah terpencil, sekurang-kurangnya tidak lagi berkokok di peringkat nasional, tetapi terlalu banyak pemimpin UMNO yang berikutnya menyalin lawak jenaka itu.

Dan lebih malangnya, jenaka UMNO kali ini lebih mual, loya dan menyampah!

Sudah tentulah apabila isu Black Metal tiba-tiba hinggar-binggar di persada politik tanah air, maka ia seharusnya dilihat sebagai masalah sosial yang dikandung UMNO. Tidak menyalahkan UMNO, samalah mengatakan si pulan itu tidak bersalah apabila kentutnya busuk.

Malangnya, Dr. Mahathir mengambil jalan lain pula. Menuduh guru-guru agama tidak menjalankan amanah mereka, sebaliknya menghabiskan ruang yang ada dengan ajaran politik. Sekira-kiranya samalah, apabila si pulan itu kentut yang amat busuk, maka dengan segera dia menunding jari kepada orang lain bahawa kentutnya busuk berpunca daripada orang itu.

Tentulah haprak bunyinya, tetapi bagaimana kalau ia berlaku dalam UMNO? Barangkali ada istilah yang sesuai digunakan!

Masalah Black Metal yang ada sekarang ini tidak ada bezanya dengan isu bohsia dan bohjan yang heboh suatu ketika dulu. Ia bukan bermakna, bohsia dan bohjan meletus tiba-tiba dengan pendedahan eksklusif media, tetapi ia adalah anak yang keluar dari rahim yang rosak.

Ia bukan semata-mata salah ibu bapa atau guru agama, bahkan kepincangan keseluruhan sistem yang wujud di Malaysia melahirkan generasi bohsia dan bohjan itu. Sistem pendidikan yang kecundang gagal membentuk generasi yang berpendidikan. Sistem ekonomi yang tidak seimbang melahirkan generasi berpoya-poya dan tidak menghargai maruah. Sistem sosial yang rosak menyebabkan generasi ini hilang arah dan tindakan. Sistem politik yang haprak menyisihkan generasi muda!

Pembangkang seperti PAS, Keadilan, DAP dan PRM barangkali bersalah, kerana wujudnya bohsia, bohjan, dan kini Black Metal. Tetapi kesalahan yang paling besar terletak di bahu UMNO dan BN. UMNO menjadi teras kerajaan mesti bertanggungjawab terhadap kepincangan yang berlaku ini.

Generasi Black Metal ini lahir daripada kegagalan kerajaan memerhatikan mereka. Banyak faktor yang melahirkan generasi ini. Antaranya, budaya kuning yang cepat dan pantas tersebar. Antara lainnya berpunca daripada siaran hiburan di saluran televisyen yang tidak mementingkan moral dan akhlak, konsert-konsert muzik yang dibenarkan dan berleluasa, malah mendapat tempat, pub dan kelab malam yang dilesenkan, tumbuh bercambah di seluruh negara.

Generasi ini tidak dipandang dengan teliti oleh kerajaan. Barangkali lebih sibuk menyekat ceramah pembangkang, lalu perkumpulan haram ini subur tanpa sebarang halangan. Adalah tidak adil mengatakan bala yang turun apabila menyekat pembangkang adalah Black Metal, tetapi tumpuan yang melampau untuk menghapuskan pengaruh pembangkang, menyebabkan pengaruh budaya kuning seperti Black Metal ini cepat hidup.

UMNO tidak boleh menjadi orang yang kentut tetapi menunding jari kepada orang lain. Malu tetap malu, tetapi UMNO mesti mengaku kentutnya dan berusaha menghilangkan bau busuk itu. Pembangkang lain juga barangkali kentut, tetapi kentut UMNO lebih busuk dan mengancam.

=====






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 8 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]