Oleh: Hj Mohnas
Saya pernah bertanya kepada seorang teman, mengapa
tidak keluarkan kenyataan mengutuk ISA, atau
sekurang-kurangnya, menggunakan ayat yang berlapik
meminta kerajaan tidak sewenang-wenang menahan
mahasiswa, reformis dan pemimpin pembangkang tanpa
bicara. Malangnya, teman itu yang punya kemampuan dan
kreadibiliti, menyebut betapa dia masih lagi membuat
kajian ISA daripada perspektif Islam.
Inilah masalah sebenar mengapa ISA terus merasuk UMNO
dan kerajaan sehingga secara membuta-tuli menahan
sesiapa sahaja yang menentang parti serba fobia itu.
Masyarakat sendiri tidak memandang ISA sebagai isu
serius, dan dengan berlapikkan sedang mengkaji dan
meneliti, maka mereka tidak menentang ISA secara
terus-terang.
UMNO tidak melihat kesungguhan rakyat memperjuangkan
keadilan, sekurang-kurangnya majoriti buat tidak bena
dengan kegilaan ISA ini. Yang terkedepan ialah Barisan
Alternatif, para reformis dan juga kalangan mahasiswa
tempatan yang mempunyai potensi besar berdepan ISA
secara langsung. Sebaliknya, mahasiswa di luar negara,
beralasankan zuruf dan realiti setempat, lebih enak
memperjuangkan idealisme mereka.
Barangkali, mahasiswa di luar negara tidak melihat ISA
merupakan ancaman besar kepada mereka sehingga
penentangan kalau pun berlaku hanyalah di sebalik
selimut dan di dalam kelambu. Manakala di kalangan
rakyat terbanyak di tanah air, hanya memandang ISA
adalah antara tindakan polis terhadap pembangkang dan
mereka yang mahu menghuru-harakan negara.
Sebab itulah, Pak Lah berani berterusan menggunakan
ISA, tidak kira sama ada pemimpin pembangkang,
reformis, mahasiswa dan ulama. Tiada tentangan
sungguh-sungguh yang boleh menjejaskan kedudukan UMNO,
malah ISA boleh pula menggukuhkan kedudukan UMNO.
Di peringkat luar, gerakan mahasiswa boleh dikatakan
lesu. Mereka hanya berbangga dengan seberapa banyak
program yang dijalankan, atau sebesar mana program
dianjurkan, tanpa melihat implikasi langsung kepada
politik tanah air. Tidak keterlaluan saya katakan,
kadang-kadang majoriti mahasiswa di luar negara
terkhayal dengan agenda peribadi masing-masing
sehingga melupakan tugas sebenar mereka wajib
mempunyai kaitan dengan tanah air.
Gabungan Persatuan Mahasiswa Islam Sedunia [GPMIS]
yang melibatkan persatuan-persatuan mahasiswa Malaysia
di luar negara gagal memperlihatkan kesan dan gabungan
yang mantap. Malahan, GPMIS gagal berfungsi sebaiknya,
tidak seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
[GAMIS].
Barangkali, faktor sempadan mengengkang keaktifan
GPMIS dan juga kesibukan persatuan-persatuan anggota
dengan urusan dalaman masing-masing. Hal ini juga
diburukkan dengan tiadanya barisan kepemimpinan yang
meyakinkan dalam GPMIS sehingga tidak ada nakhoda yang
terkedepan membawa hala tuju gerakan.
Justeru, apabila rakan sejawatan mereka, Mohd Fuad
Ikhwan, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti
Malaya, dan aktivis mahasiswa, Khairul Anuar Ahmad
Zainuddin, ditahan di bawah ISA, GPMIS membisu.
Mujurlah, ada reaksi positif daripada mahasiswa Jordan
yang mengumpulkan tanda tangan membantah penahanan
tersebut.
Malah, persatuan-persatuan mahasiswa di luar negara
juga gagal mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung
penahanan tersebut secara peribadi. Saya tidak tahu
apakah punca kelemahan ini berlaku, tidak mustahil
masing-masing menunding jari kepada persatuan yang
lain supaya mengeluarkan kenyataan bagi pihak GPMIS.
Sebab itulah, saya melihat GPMIS tidak ubah
persefahaman rapuh antara mahasiswa luar negara tanpa
agenda bertindak yang jelas. Penubuhan GPMIS bagi saya
tidak ubah sebagai melepaskan batuk di tangga, sekadar
menunjukkan adanya suara dari kalangan mahasiswa luar
negara.
Dalam keadaan mahasiswa di IPT tanah air diganggu
kegelojohan UMNO, adalah kurang wajar, persatuan
mahasiswa di luar negara menyembunyikan diri. Biar pun
masing-masing barangkali akan mendakwa ada masalah
dalaman atau pun keadaan setempat yang mengengkang,
sepatutnya mereka mencari jalan keluar supaya dalam
masa memelihara kepentingan persatuan, isu di tanah
air tidak dibiarkan begitu sahaja.
Saya mencadangkan GPMIS menubuhkan
jawatankuasa-jawatankuasa khas untuk memantau keadaan
politik, ekonomi dan sosial di tanah air. Sesebuah
jawatankuasa biarlah hanya dianggotai pemimpin
mahasiswa dari sebuah negara sahaja bagi menjamin
keberkesanan reaksi yang diambil. Katakan sahaja,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir [PMRAM]
diberikan tugas memantau isu ISA ke atas mahasiswa,
Hizbi UK-Aire memantau isu penswastaan Pos Malaysia,
persatuan-persatuan mahasiswa di Jordan diamanahkan
memantau isu penyingkiran mahasiswa dari IPT dan
sebagainya. Atau pun boleh sahaja mengambil contoh PAS
yang meletakkan seorang ahli parlimen untuk memantau
sesebuah kementerian.
Dalam masa yang sama, isu-isu besar yang membabitkan
kepentingan rakyat Malaysia, wajib ditangani bersama.
Perlu ada kenyataan bersama sama ada menyokong atau
menyelar mana-mana tindakan yang bercanggah dengan
keadilan.
Ini tidak bermakna persatuan mahasiswa tidak perlu
mengeluarkan sebarang kenyataan secara bersendirian,
sebaliknya wajib memberikan reaksi terhadap sebarang
isu yang difikirkan penting.
Tentulah, bukan ini sahaja tindakan yang
memperlihatkan kewujudan GPMIS. Masih banyak lagi yang
wajib dilakukan untuk memastikan hak rakyat Malaysia
terjamin. Namun, cukuplah dengan tindakan ini dahulu
kerana buat masa sekarang GPMIS tidak ubah seperti
layang-layang di langit.
Secara tidak langsung, penglibatan serius GPMIS dalam
mempertahankan keadilan dan menjamin hak-hak rakyat
daripada diceroboh UMNO dan BN memperlihatkan tindakan
bersepadu mahasiswa.
Menunjukkan sensitiviti mahasiswa tidak cukup dengan
hanya menubuhkan GPMIS. Sudah tiba masanya, parti
serba fobia bukan pening kepala dengan mahasiswa
tempatan, malah tidak mustahil sampai gentar untuk
tunjuk jaguh di luar negara pula!
=====