Dewasa ini polemik penubuhan negara Islam yang
digagaskan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) sangat
diberi perhatian oleh pelbagai pihak di media massa
samada perdana mahupun alternatif. Ada pendapat yang
menyokongnya dan juga pandangan yang menolak
pembentukannya.
UMNO melalui Presiden seumur hidupnya turut sama
meluangkan masa membahas isu ini di mana beliau
melontarkan pandangan bahawa rakyat telah ditipu oleh
PAS; di pihak rakyat bukan Islam, PAS bercakap lain
dan di pihak Muslim pula, ia bercakap dalam nada yang
lain. Justeru, beliau mencabar PAS mengemukakan
manifesto penubuhan negara Islamnya di dalam bentuk
bertulis supaya rakyat dapat menelitinya.
Dato’ Fadhil Noor pula menjawab cabarannya dengan
menyeru beliau merujuk permasalahannya ini kepada
think tank Islam kerajaan seperti IKIM dan JAKIM.
Manakala Mursyidul Am PAS pula menyuruh Dato’ Seri Dr
Mahathir melihat pentadbiran dua buah kerajaan negeri
BA pimpinan PAS untuk mendapatkan lebih kepastian
tentang negara Islam.
DAP pula menegaskan bahawa negara Islam tidak sesuai
dengan lanskap politik dan sosial tanahair di mana
Malaysia merupakan negara berbilang bangsa dan agama.
Karpal Singh terutamanya tidak setuju dengan isu
negara Islam ini sehingga mengugut untuk keluar dari
pakatan pembangkang yang dinamai Barisan Alternatif.
Beliau yang pada satu ketika dahulu pernah mencabar
mana-mana pihak yang hendak menegakkan negara Islam
supaya melangkah mayatnya terlebih dahulu sekarang
melembutkan kata-katanya bahawa beliau tidak menentang
Islam tetapi hanya menentang negara Islam yang
menurutnya tidak seiring dengan peruntukan
Perlembagaan Persekutuan.
Di kesempatan ini, penulis hanya ingin melontarkan
satu persoalan kepada penentang-penentang kewujudan
negara Islam ini bahawa adakah mereka memahami apakah
yang dimaksudkan dengan negara Islam itu? Kebanyakkan
mereka tidak memahami konsep negara Islam dan hanya
mengambil pandangan-pandangan negatif tentang negara
Islam yang dimulakan oleh Mahathir sejak Kelantan
meluluskan Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan pada
tahun 1993 dahulu. Mereka tidak pernah mengkaji
sendiri kebaikan perlaksanaannya di saat dunia
menghadapi pelbagai gejala buruk seperti rompakan
setiap hari, jenayah rogol, rasuah dan sebagainya di
mana undang-undang ciptaan manusia gagal untuk
mengatasinya.
Maka di sini menjadi kewajaran bagi PAS untuk
melipatgandakan lagi penerangan supaya dapat
mendedahkan kebaikan negara Islam kepada segenap
lapisan masyarakat kerana BN khususnya UMNO sangat
takut dengan kewujudannya di mana mereka tidak dapat
lagi terlibat dalam rasuah, nepostisma, kronisma dan
penyalahgunaan kuasa.
Bagi DAP pula, ia perlu memberi ruang kepada PAS untuk
menerangkan perkara ini kepada rakyat dan tidak
mengambil kesempatan memanipulasikan isu ini untuk
tujuan kepentingan politiknya demi mendapat kembali
sokongan rakyat khususnya dari kalangan masyarakat
Cina yang semakin menolaknya. DAP perlu membersihkan
persepsi masyarakat bahawa ia merupakan parti yang
bersifat anti Islam adalah sama sekali tidak benar.
Sebaliknya, jika DAP terus berkelakuan seperti
sekarang, maka ia jangan bermimpi untuk mendapat undi
dari masyarakat Islam pada pilihanraya umum yang akan
datang.
Negara Islam adalah seiring dengan manifesto bersama
BA di mana ia memberi kuasa kepada rakyat untuk
memilih dan mengkritik kerajaan; memberi keadilan
kepada semua tanpa mengambil kira latar belakang
perbezaan agama dan status ekonomi; institusi Hisbah
atau ombusman yang mencegah penyalahgunaan kuasa dan
rasuah; kaum bukan Islam wajib diberi hak untuk
mengamalkan agama, adat dan budaya tanpa sebarang
gangguan dan sebagainya.
Kepada penentang-penentang Islam dan negara Islam,
sila tunjukkan dan buktikan di mana kelemahan dan
keburukan yang terdapat di dalam negara Islam! Jika
ada, penulis sendiripun tidak mahu kepadanya.
Abu Mujahed Abdullah Azzam
mpkangar_kmm@yahoo.com