Oleh: Myient
Kali ini saya ingin meneruskan coretan peribadi saya mengenai isu "SEK ORAL" yang dilakukan oleh budak hingusan sepertimana dilaporkan dalam akhbar seminggu yang lalu. Bukan maksud saya untuk membesar-besarkan isu yang memalukan ini, dan bukanlah saya kuat seks sangat nak bercerita mengenainya. Cuma bagi saya yang menariknya apabila budak tahun 2 yang melakukannya.
Sebelum isu di atas, isu "black metal" sudah menggemparkan negara. Belum selesai isu black metal, isu kondom & seluar dalam di KL. Macam-macam isu sosial yang melibatkan anak remaja. Dan golongan tua pula dengan isu yang hampir serupa juga iaitu isu liwat dan khalwat.
Sempat saya rakamkan perbualan dengan kawan di warong mengenai isu ini. Ada yang menyalahkan orang itu dan orang ini. Tidak kisahlah… itu hak mereka. Saya mendengarnya sahaja dengan rasa minat dan impati. Cuma saya ingin sentuh di sini ialah pembabitan ibu bapa adalah tidak kurang mustahak lagi pentingnya dan mereka menyumbang kepada berbagai isu yang telah melibatkan anak-anak dan golongan remaja hari ini.
Generasi yang menjadi bapa (hari ini) jahil agama dan moral. Pengetahuan agama dalam diri mereka hanyalah sekadar boleh baca alfatihah dan boleh menunaikan solat. Itupun entah betul entah tidak. Macam mana nak tahu betul atau tidak bacaan solat kita?. Tidak pernah pula kita semak bacaan dengan guru mursyid. Itulah bacaan yang kita pelajari masa kecik-kecik dulu dan itulah yang diamalkan sampai sudah beranak pinak. Bagaimana pula hendak diperturunkan kepada anak-anak. Bagaimana pula anak-anak mahu dengar kata ibu bapa mereka kalau kata-kata ibu bapa mereka tiada "roh"?.
Payah hendak faham tulisan saya ini kan?. Terpulanglah… itulah cara saya. Seseorang yang sedikit pengetahuan dan penghayatannya mungkin tidak memahami maksud tulisan saya ini. Jangan risau… saya percaya selepas ini, tentu ramai yang sudi untuk mengulas lanjut. Cara penyampaian saya memang setakat itu, tidak pandai hendak menulis dengan lebih mudah. Saya mencuba.
Jangan marah kalau saya kata ibu bapa kurang mengajar dan mendidik anak-anak mereka!. Itu hakikat. Sila renung secara jujur dalam diri sendiri… sebanyak manakah kita sudah mencurahkan nilai dan didikan agama mahupun moral dalam hati anak-anak kita?. Apakah hanya dengan menghantar mereka ke sekolah, kemudian mak bapak lepas tangan?. Semudah itu? Tidak semudah itu saudara ku.
Anak (amanah Allah ini) bukan boleh main-main. Jangan sedap sahaja kita menuduh bahawa ustaz atau cikgu mereka di sekolah tidak menjalankan tugas mendidik anak-anak muridnya. Sama ada cikgu / ustaz di sekolah menjalankan tugasnya atau tidak, kita selaku ibu bapanya tetap ada saham untuk dipersalahkan apabila berlaku penyelewengan pada anak kita walau dalam apa bentuk sekalipun.
Adapun faktor lain, itu nombor 2 dan seterusnya. Nombor wahid adalah diri kita sendiri selaku ibu dan bapa kepada anak-anak itu.
Mengapa demikian?. Ada kawan saya berkata "…nak buat macam mana, kita sudah suruh itu dan ini, tapi kawan-kawan dia yang pengaruh". Atau ada yang berkata: "…Pengaruh TV dan teknologi sekarang ini yang merosakkan budak-budak tu". Bagi 2 ungkapan di atas, cuba kita renung pula dengan ungkapan berikut ini;
"… kalau anak kita dipengaruhi kawan-kawannya, kenapa pula anak orang lain okey? Tidak dipengaruh kah dia?"
"… Habis, orang yang anak-anaknya bagus, tidak ada TV dan internetkah di rumahnya?"
Dalam hal ini, tepuk dada tanya selera. Kalau saudara boleh menerima takdir ini sebagai "silap kita tersalah didik anak-anak kita itu" baguslah. Belum terlambat untuk kita bertaubat dan kembali kepada cara tradisi. Mendidik anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapanya. Jangan diserahkan kepada cikgu dan ustaz di sekolah sahaja. Tugas mereka lain… tugas mereka mungkin lebih kepada memantap dan menitiskan ilmu kepada anak-anak kita.
Bagi menangani kes "Black metal" pula, kalutlah Pak Menteri dan Jabatan (Pendidikan) mengadakan kursus dan taklimat kepada guru-guru agama di sekolah. Apakah selama ini ustaz itu mengajar tak ada tauliah ke?. Isu black metal bukan isu ustaz mengajar tidak betul sepertimana yang didakwa oleh Dr Mahathir sebenarnya!.
Isu Black Metal ialah isu sejagat. Isu negara Malaysia yang merdeka hasil pembangunan yang dibanggakan oleh Pak Menteri. Juga ekoran dari kelekaan dan kealpaan para ibu bapa dan golongan tua yang tidak mendekati dan mendidik remaja. Mereka terbiar lama sebenarnya. Sehinggalah mereka disampuk syaitan.
Siapakah yang bersungguh-sungguh membangkit isu undang-undang hudud dan syariah Islam di Malaysia ini?. Siapa yang bersungguh-sungguh menangani isu murtad di kalangan remaja melayu?. Siapa?. Apabila isu itu dibangkitkan, pihak berkuasa (kerajaan sekarang) hanya mengatakan "itu isu remeh" dan tidak perlu diperbesarkan. Itulah natijah daripada sikap mementingkan perut sahaja sedangkan amanah rakyat untuk menegakkan syiar dan syariat Islam diabaikan.
Sekarang, kerajaan seperti atau pura-pura tidak nampak kesalahan sendiri. Ustaz dan golongan pro agama juga yang hendak dipersalahkan. Maka sanggup pulak membazir wang negara untuk mengadakan program taklimat dan kursus kepada guru-guru agama seluruh negara. "Kepala hotak engkau!" dengan kursus yang membazir itu. Kalau beri kursus dan bimbingan kepada remaja yang sesat ini lagi baik dan berfaedah daripada dikursuskan semula ustaz-ustaz dengan dakyah Dr Mahathir yang ilmunya hanyalah sekadar tahi kuku anak kuman kurus pun tak seiring.
................................................
Petikan Forum Gerak Reformasi