Kenyataan Media
Ketua Penerangan PRM
PRM membantah tindakan polis menahan Sdr Norashid Sakip, Ketua Pemuda
PAS Sungai Benut, Johor dibawah Seksyen 73(1) ISA pada pagi Khamis 2
Ogos 2001. Sdr Norashid ditangkap di Balai Polis Simpang Rengam ketika
menguruskan permohonan permit ceramah.
Tindakan Polis dalam kes ini jelas sekali satu bentuk penyalahgunaan
kuasa.
PRM menyeru pihak Polis supaya menjaga nama baik institusi Polis Diraja
Malaysia sebagai sebuah badan profesional yang berwibawa untuk menjaga
ketenteraman awam dan keselamatan negara yang sesungguhnya. Pihak Polis
jangan membiarkan dirinya dijadikan alat atau perkakas bagi menjaga
kepentingan politik Mahathir dan Barisan Nasional yang sedang berkuasa.
Mahathir dan kerajaan BN pimpinanya sedang membawa Malaysia ke arah
yang bahaya. Pemimpin yang menjadi simbol penentangan rakyat terhadap
kerajaan BN yang menyeleweng dan rasuah kini disumbat ke dalam penjara
berbelas-belas tahun. Manakala pemimpin-pemimpin pro-demokrasi yang
memperjuangkan reformasi ditahan di bawah ISA di Kem Kamunting. Tidak
cukup dengan itu, Kerajaan BN yang ketakutan sekarang mengharamkan
ceramah-ceramah politik oleh parti-parti pembangkang dalam Barisan
Alternatif (BA).
Kenapa ini semua dilakukan oleh Mahathir dan kerajaan BN? Pertama
keadaan ekonomi negara semakin buruk. Dasar-dasar ekonomi yang Mahathir
perkenalkan seperti penswastaan projek-projek mega, satu demi satu
menemui kegagalan. Rakyat serta negara dibeban dengan hutang berbilion
ringgit. Kedua, dari segi politik, orang-orang Melayu semakin menolak
Umno. Generasi muda dan para pelajar universiti terang-terangan
menentang Mahathir dan kerajaan BN pimpinannya. Perlaksanaan sistem
meritokrasi oleh Mahathir secara mengejut dalam soal pengambilan pelajar
bumiputera ke universiti-universiti akan menjadikan Umno dan Mahathir
semakin kehilangan sokongan masyarakat Melayu.
Untuk menutup kelemahan dan perpecahan di dalam Umno, MCA dan
melindung dari pengetahuan rakyat akan perlakuan rasuah, salahurus
ekonomi negara, pemborosan, pembaziran sumber kekayaan negara, dasar
kronisme yang meruntuhkan ekonomi nasional maka kini pihak Polis
dijadikan alat supaya melarang ceramah-ceramah umum parti-parti politik
pembangkang. Sekatan ke atas ceramah politik parti-parti politik yang
sah di sisi undang-undang negara, cukup jelas merupakan satu
perlanggaran Perkara 10 Perlembagaan yang menjamin kebebasan rakyat
untuk bersuara. Amat memalukan amalan demokrasi di Malaysia apabila
pihak polis menangkap Sdr Norashid Sakip yang datang ke Balai Polis
untuk memohon permit ceramah. Apakah Malaysia sekarang berada di bawah
pemerintahan kerajaan Polis yang menolak demokrasi, sebaliknya
mempertahankan sistem ala- kuku besi?
Apa makna Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ditubuhkan kononnya
untuk melindungi hak asasi manusia tetapi dalam masa yang sama untuk
berceramah secara aman pun tidak dibenarkan?
PRM mendesak pihak Polis supaya segera membebaskan Sdr Norashid Sakip.
Jika pihak polis ada keterangan dan bukti nyata, pihak Polis perlu
membuat tuduhan supaya perbicaraan boleh diadakan di mahkamah. Tetapi
jangan sewenang-wenang menggunakan ISA.
Seterusnya PRM mendesak Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi
supaya membebaskan semua pemimpin reformasi yang kini ditahan di bawah
ISA di Kem Kamunting dengan tanpa syarat.
Hassan Karim
Ketua Penerangan PRM
2 Ogos 2001