Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pilihanraya DUN Sarawak: Mahathir Keluar Negara

Oleh EnotSabah

10 Ogos: TERKINI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan menetapkan akhir Ogos ini bagi tarikh pengundian Pilihan raya Umum kelapan Dewan Undangan Negeri Sarawak manakala tarikh penamaan calon pada pertengahan bulan Ogos ini.

Tarikh writ pilihan raya dikeluarkan dan notis pilihan raya akan diwartakan selewat-lewatnya dijangka pada 20 Ogos ini.

Pilihanraya DUN Sarawak akan diadakan bila-bila masa memandangkan kerja-kerja percetakan kertas undi telah selesai. Menurut sumber terkini, kertas-kertas undi tersebut telah diserahkan oleh Percetakan Nasional Berhad kepada pihak SPR semalam.

Sumber tersebut juga menyebut bahawa kertas-kertas undi itu hanya menunggu masa untuk dihantar ke Sarawak dan dipercayai dalam masa seminggu dua lagi. Seorang pegawai polis di Kuala Lumpur turut mengesahkan bahawa kertas-kertas tersebut kini disimpan di sebuah Balai Polis sekitar daerah Pudu, Kuala Lumpur.

"Biasanya ia (kertas undi) hanya akan disimpan di sini antara dua tiga hari atau seminggu dua," kata pegawai tersebut.

Bagi Negeri Sarawak Pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri ketujuh telah diadakan pada 7 dan 8 September 1996. Ketika pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sarawak tahun 1996, jumlah kerusi pilihan raya yang dipertandingkan ialah 62.

Di kalangan pemerhati politik, ramai menjangkakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan membubarkan Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam masa terdekat memandangkan keyakinan tinggi pemimpin pusat hasil kejayaan Barisan Nasional di Likas.

Tan Sri Abdul Taib Mahmud kelmarin menyifatkan "Kumpulan Bebas Abang Abu" sebagai masih berangan-angan untuk memenangi pilihan raya negeri dan membentuk kerajaan negeri. Kenyataan Abdul Taib Mahmud ini menjadi indikasi kepada keyakinan tinggi Ketua Menteri itu untuk terus mengekalkan kuasanya dan ianya telah menguatkan lagi andaian pemerhati politik di atas.

Tempoh hayat Dewan Undangan Negeri Sarawak hanya akan tamat dengan sendirinya pada 8 November 2001.

Dalam pada itu, pemergian Perdana Menteri ke luar negara pula dikatakan berhubungkait dengan pilihanraya ini di samping Dr Mahathir dipercayai tidak mahu dikaitkan dengan 'masalah besar' yang dijangka akan berlaku di Malaysia. Ini berkaitan perkembangan terbaru suasana politik negara. Dijangkakan akan berlaku kejutan dalam arena politik Malaysia memandangkan kerajaan terpaksa membuktikan kewujudan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) seperti yang didakwa sebelum ini.

Kerana, jika dakwaan kewujudan KMM gagal dibuktikan rakyat akan terus mempersoalkan sebagaimana kisah di Sauk dan Barisan Nasional pasti akan terjejas teruk dalam Pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan datang.

Ketika Tan Sri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1985, Dr Mahathir berada di Jepun apabila Polis bertempur dengan Ibrahim Libya. Dr Mahathir sebagai Menteri Dalam Negeri waktu itu ternyata terlepas dan yang dipertanggungjawabkan ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam.

Sementalahan pula sekarang Dr Mahathir bukan lagi Menteri Dalam Negeri maka keberangkalian Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk dipertanggungjawabkan sudah tentu lebih berat berbanding Tan Sri Musa Hitam yang ketika itu hanya menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Jika ini benar berlaku, dipercayai peluang Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadi orang nombor dua negara semakin besar.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 11 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com