Kernyataan Media
Sebagai Yang Di Pertua PAS Kawasan Ampang Jaya saya kesal di atas sekatan terhadap Majlis Penerangan PAS di Taman Ampang Indah pada 8 Ogos 2001.
PAS Kawasan Ampang Jaya sudah berkali-kali menganjurkan ceramah umum dan majlis-majlisnya di tempat yang sama dan kesemua program-program itu telah berjalan dengan lancar dan teratur.
Program-program PAS tidak pernah mengganggu orang-ramai. Kesejahteraan dan keamanan sentiasa terpelihara. Tidak pernah berlaku sebarang pergaduhan atau rusuhan.
Oleh itu kawalan ketat ke atas program kami di Taman Ampang Indah oleh pihak polis pada malam tersebut adalah bukan satu keperluan.
Suasana di taman itu telah bertukar menjadi tegang dengan kehadiran hampir 300 anggota-anggota polis termasuk mereka dari Unit Simpanan Persekutuan ( FRU ).
Sekatan-sekatan jalanraya yang dibuat oleh pihak polis telah menyusahkan orang-ramai dan menyebabkan kesesakan jalan. Orang-ramai juga telah dihalang dari menghampiri rumah di mana penerangan itu diadakan.
Kehadiran trak-trak FRU dan “water-cannon” hanya telah menakut-nakut penduduk tempatan walhal yang hendak dikawal hanyalah satu majlis penerangan bukannya satu rusuhan.
Bagi pihak PAS Kawasan Ampang Jaya, saya ingin memohon maaf kepada penduduk Taman Ampang Indah dan taman-taman di sekelilingnya di atas kejadian malam tersebut.
Kami berharap agar orang-ramai tidak menyalahkan pihak polis kerana yang sebenarnya bersalah adalah UMNO dan Barisan Nasional.
Mereka yang sedang berada di dalam keadaan tertekan akibat kehilangan sokongan dari rakyat sedang melepaskan dendam mereka terhadap PAS dan Barisan Alternatif.
PAS dan rakan-rakanya di dalam Barisan Alternatif telah dinafikan hak untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat. Di masa yang sama Barisan Nasional bebas menggunakan televisyen, radio dan akhbar-akhbar untuk menghentam dan melemparkan tuduhan-tuduhan palsu terhadap Barisan Alternatif. Ahli-ahli Barisan Alternatif ditangkap, dituduh tetapi tidak didakwa di mahkamah.
Apa yang kami mahu hanyalah hak untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat. Pada 8 Ogos lalu, pemimpin-pemimpin PAS yang hadir, YB Haji Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS Pusat dan Dr. Haji Mohd. Hatta Ramli, AJK PAS Pusat, hanya mahukan hak bertemu rakyat secara terbuka.
Jika Menteri Besar Selangor pada bulan Julai lalu telah mengadakan perhimpunan terbuka di Ampang Campuran di atas alasan untuk bertemu rakyat, mengapakah pimpinan-pimpinan PAS dihalang berbuat demikian ?
Jika Barisan Nasional mendakwa ceramah-cerama PAS berunsur hasutan maka dakwalah kami di bawah Akta Hasutan tetapi janganlah menghalang kami dari bertemu dengan rakyat. Janganlah juga mengugut dan menakut-nakutkan orangramai agar mereka tidak menghadiri majlis-majlis PAS sekiranya Barisan Nasional benar-benar “gentlemen” dan bukan sekadar samseng-samseng jalanan.
HAJI SAROM HAJI JAIS
YANG DI PERTUA PAS
KAWASAN AMPANG JAYA
19 JAMADIL AWWAL 1422 / 9 OGOS 2001
------------------------------------------------------------------------
No. 47A, Jalan Dagang 8, Taman Dagang Jaya, 68000 Ampang.
Tel / Fax : 03-42934371