Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Apa Yang Dibanggakan Dengan Kemerdekaan Ini

Memang sepatutnya rakyat Malaysia berbangga dan bersyukur dengan nikmat serta rahmat kemerdekaan yang telah datuk nenek kita perjuangkan dulu. Tetapi apakah patut kita memuji, memuja dan bersyukur kepada UMNO/BN dan para pemimpinnya yang kebetulan masih menejarui kuasa politik Malaysia hari ini. Mereka dalam masa sebulan sejak 1 Ogos lagi menjerit, menyalak dan bersyarah depan TV, di mana-mana saja dan berbagai-bagai jenis program bagi menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, tapi isinya yang tersirat cuma mengajak rakyat supaya memuja memuji pemimpin UMNO/BN. Kemudian dimeriahkan lagi oleh upacara kebar bendera, larian bendera dan berlumba-lumbalah rakyat memanjangkan dan membesarkan bendera Malaysia.

Semua program itu memang baik dalam usaha menyuntik semangat cintakan negara dan semangat patriotik itu. Tetapi masih terselit beberapa kecacatan dalam kempen menyambut Hari Kemerdekaan ini, seperti memuja, memuji para pemimpin UMNO/BN terutama kepada Mahathir secara melebih-lebih. Apakah hendak dibanggakan kepada seorang pemimpin seperti ini, ingin dipuji, dipuja, disanjung dan diampu-ampu. Pemimpin sebenar dan seorang negarawan, mereka tidak pernah bermimpikan semua itu. Mereka hanya ingin berbakti kepada agama, bangsa dan negara secara tulus, telus, ikhlas dan penuh amanah. Soal satu hari nanti ada yang mengenangkan jasa mereka itu perkara lain. Kerana pemimpin berjiwa besar mereka adalah pelayan kepada rakyat yang mereka pimpin, mereka bukan orang besar, mereka bukan untuk dibesar-besarkan atau dipuja-puji. Tetapi, mereka mahu rakyat taat kepada pimpinan selama pimpinannya berjalan lurus, apabila bengkok luruskanlah, tegurlah, nasihatilah dan kalau perlu gantilah.

Hormat pemimpin dan taat pemimpin itu, adalah nilai yang dianjurkan dalam agama dan juga budaya tradisi bangsa. Tetapi dengan syarat-syarat ketat, Islam suruh umatnya taat kepada pemimpin selama pemimpin itu lurus pegangan agamanya dan dia tidak bermaksiat kepada Allah dan rasul-Nya. Dalam tradisi bangsa ada pepatah menyebut "raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". Maknanya, rakyat bukan anti-kerajaan tetapi menyanggah pemimpin yang zalim dan pemimpin yang putar-belitkan agama untuk bermaksiat kepada Allah.

Rakyat yang bersikap kritis, bijak menilai, terbuka minda, intelek, bermaklumat, berilmu dan berpandangan jauh. Pasti akan menyoal tentang erti sebuah kemerdekaan itu. Cukupkah sekadar meraikan tarikh ulang tahunnya dan membilang jumlah tahunnya, menjeritkan patah-patah kalimat "merdeka! merdeka! merdeka!" atau cuma mengisinya dengan sambutan-sambutan yang bersifat pesta-pestaan, berhibur, berkawad, kemudian terjerit-jerit memuja pemimpin, menyanjung pemimpin parti kerajaan yang memerintah, UMNO/BN dan mensyukuri segala khidmat bakti serta kemajuan yang mereka bina selama berkuasa. Kemudian menyenaraikan satu persatu pembangunan itu ini prasarana, kemudahan asas dan sebagainya, ada bangunan tinggi, mega, besar dan mencakar langit seperti KLCC, KLIA, Kembar Siam Petronas dan banyak lagi. Dan memang teramat banyak pembangunan itu dari Perlis hingga ke Sabah Negeri Di Bawah Bayu, tidak larat untuk dicatatkan secara manual. Itu sajakah erti sebuah kemerdekaan untuk rakyat di tanah air 'Malaysia' yang tercinta ini.

Atau sekadar cuma terlepas dan terbebas dari belenggu penjajah dulu. Tetapi rakyat masih disangkarkan dalam kurungan "kemerdekaan yang terkongkong", benar rakyat menikmati bermacam rupa wajah kemajuan dan pembangunan yang dirancang oleh parti pemerintah, khususnya UMNO/Perikatan di zaman Tuanku Abdul Rahman menjadi PM yang pertama dan diteruskan oleh UMNO/BN di zaman Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn hingga sekarang yang disambungkan pula oleh Dr Mahathir yang menerajui kepimpinan negara. Pembangunan dari segi material itu nampak pesatnya, hinggakan pelbagai dasar cuba dirubah, digubal untuk memburu kemajuan dan kemodenan itu bagi mensesuaikan dengan keadaan semasa dan semangat inginkan kemajuan. Lalu tertonjollah idea 'wawasan 2020' agar Malaysia mencapai taraf negara maju seperti negara-negara maju seperti Amerika, England, Peranchis dan beberapa negara barat yang lain. Indahnya impian 'wawasan 2020' itu maju mengikut acuan kita.

Pembangunan pesat itu adalah sebahagian dari buah kemerdekaan. Malaysia negara makmur, aman, kaya dengan sumber alam, bahan mentah, kaya dengan seni budaya bangsa dan rakyatnya hidup mesra. Ini juga merupakan buah dari kemerdekaan yang diperjuangkan oleh datuk nenek kita dulu, ada yang diburu penjajah, difitnah, ditangkap, dipenjarakan, digantung dan dibunuh demi untuk memerdekakan tanah air supaya kita anak cucu mereka hidup selamat dan aman dalam negara yang merdeka, sekalipun mereka terpaksa bergadai nyawa, berkorban harta, akal, jiwa dan raga. Mari kita nilai erti sebuah kemerdekaan itu dari beberapa perkara asas, seperti berikut:

1. Kekayaan Negara Cukup.

Kita mengakui bumi Malaysia ini kaya dengan pelbagai sumber dan bahan mentah, sekalipun selama lebih 400 tahun dijajah dan penjajah telah melahap dan mengaut segala sumber bumi Malaysia, tidak juga habis. Akan tetapi mengapa dan kenapa buah kemerdekaan dari segi kebendaan dan kekayaan ini tidak dirasai oleh seluruh rakyat. Padahal kekayaan negara cukup banyak dan melimpah-limpah. Kenapa yang kaya raya hanya dua tiga kerat pemimpin dan kroni-kroninya sahaja. Kenapa masih ramai rakyat yang tergolong dalam kategori 'termiskin' wujud di sana sini. Ada rakyat tidak bertanah, tidak berumah, tidak mendapat kemudahan asas yang cukup dan ada yang hidup mereka ibarat 'kais pagi makan pagi kais petang makan petang', ada kalangan rakyat tidak mendapat pembelaan sewajarnya dalam hal mendapatkan pendidikan yang sempurna, agihan kekayaan yang seimbang dan sebagainya.

Jurang antara rakyat yang kaya raya dengan rakyat pertengahan dan dengan rakyat biasa di kampung-kampung amat berbeza jauh. Golongan yang kaya dengan mahligai, istana, banglo, apartment, kereta mewah, saham, syarikat dan balak di sana sini. Rakyat pertengahan hanya cukup-cukup makan, manakala rakyat marhaen atau biasa, ada yang berpuasa sepanjang hari, mengikat perut dan tinggal dirumah-rumah setinggan. Malah lebih ironinya, mereka hanya dijenguk oleh pemimpin sewaktu berkempen untuk meraih undi dan menghulurkan secebis kepingan harta negara yang berlambak-lambak itu. Ketika itulah segala kekayaan mahu diagih-agihkan ke seluruh rakyat. Di masa lain, para pemimpin itu hanya berkira bicara untung rugi sesama kroni, golongan kaya dan tauke. Dan bagaimana mengagih-agihkan projek dan kekayaan yang berada dalam tangan-tangan orang politik yang maha berkuasa itu.

Satu lagi, kenapa harta negara dan rakyat yang berlambak itu tidak cukup, puncanya ialah sikap tamak haluba beberapa kerat penguasa dan kroni, disamping amalan pembaziran yang berleluasa di jabatan-jabatan kerajaan, swasta dan dikalangan rakyat sendiri. Dan kita tidak bijak mengurus harta kekayaan itu. Dan dari segi agama, Islam melarang keras amalan pembaziran, dalam masa sama mengajar umatnya supaya sensitif terhadap tuntutan ibadah zakat, bersedekah, beramal jariah dan berdoa.

2. Kemudahan Asas.

Buah dari kemerdekaan itu dari segi kemudahan asas untuk rakyat terbanyak adalah suatu yang sangat mesti disediakan oleh pemerintah yang diamanah untuk mengurus dan mentadbir negara ini secara lebih telus, amanah dan jujur. Kemudahan asas itu antaranya seperti rumah tempat berlindung, ilmu (pendidikan yang mencukupi), makan minum (ekonomi yang selesa), api air, jalan perhubungan dan lain-lain lagi. Semua kemudahan asas ini sewajarnya menjadi kewajiban pemerintah menyediakannya, tanpa banyak karenah atau alasan. Apakah semua ini telah dinikmati oleh 22 juta lebih rakyat Malaysia, setelah lebih 40 tahun merdeka.

Yang jelas masih ada rakyat yang terpinggir dari menikmati segala kemudahan asas itu di kampung-kampung terpencil. Parti pemerintah tidak serius untuk menyelesaikan masalah rakyat yang tidak memberi apa-apa impak keuntungan kepada parti mereka. Apa lagi yang susah itu bukannya penyokong parti pemerintah. Nilai-nilai tidak normal inilah yang menyubur dalam parti UMNO/BN dan para pemimpinnya. Pemikiran politik UMNO/BN teramat sempit, mereka tidak dapat bezakan tugas politik dengan amanah besar yang berada dalam tangan parti politik yang berkuasa atas namanya penguasa atau pemerintah yang memerintah sesebuah negeri dan negara.

Kerana itu, keadilan dalam pemerintahan di bawah parti UMNO/BN amat sukar untuk dijelmakan. Mereka sudah benar-benar 'gila kuasa', mereka pergunakan kuasa yang ada untuk menzalimi rakyat yang tidak menyokong mereka, menidakkan segala hak-hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan, mendendami rakyat dan lawan politik mereka secara songsang. Dan mereka juga tidak menghormati semangat Perlembagaan, amalan demokrasi berparlimen dan lebih banyak didorong sifat negatif dalam kebanyakan tindak-tanduk mereka.

3. Keselamatan Dan Keamanan.

Hal-hal keselamatan, kedaulatan rakyat dan negara, keamanan dan kedamaian adalah juga buah hasil dari kemerdekaan kita selama 40 tahun lebih di bumi Malaysia. Syukur nikmat dan rahmat ini masih Allah SWT anugerah serta kekalkan di hati rakyat dan di bumi Malaysia. Cuma sekali Malaysia dilanda musibah pertelingkahan kaum pada Mei, 1969. Jangan ada untuk kedua kalinya. Kita minta dan mohon kepada Allah SWT agar dijauhkan dari petaka itu.

Sebelum merdeka dan zaman awal merdeka kita diancam oleh amok amarah komunis. Kini semua itu sudah berlalu. Dan kita menjalani kehidupan di bumi Malaysia ini cukup aman damai. Kecuali beberapa kejadian jenayah rompakan, gejala sosial, ajaran sesat, keruntuhan akhlak, kemasukan budaya liar, ganas, maksiat, pelacuran dan sebagai. Selain, beberapa isu diluar dugaan seperti pencerobohan lanun-lanun, penculikan dan lain-lain. Secara kasarnya, kita menilai rakyat dibawah parti kerajaan UMNO/BN yang diketuai Dr Mahathir banyak sudah benteng keselamatan, keamanan dan kedaulatan rakyat dipecahkan, dirobek dan dilanggar sendiri oleh para pemimpin UMNO/BN. Perlembagaan Negara cuba dikoyakkan sedikit demi sedikit, demi untuk memenuhi nafsu serakah terhadap kuasa politik, mereka tidak hirau lagi soal asasi keselamatan dan kedaulatan rakyat, negeri dan negara. Contoh jelas, dalam kerja-kerja jenayah memberikan kebenaran kepada warga asing/PTI mendapatkan IC dan mengundi dalam setiap pilihanraya bagi maksud untuk menjamin kemenangan calon UMNO/BN.

Dari segi politik, Malaysia adalah antara negara di dunia yang berkeadaan cukup tenang dan masih berlandaskan kepada amalan demokrasi. Belum pernah kejadian parti pemerintah digulingkan oleh mana-mana musuh politik mereka atau rampasan oleh kuasa ketenteraan. Kita mohon dan berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan mengekalkan keselamatan dan aman damai ini. Isu keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam yang diwar-warkan oleh para penjaja berita fitnah UMNO/BN adalah sengaja untuk menakut-nakutkan rakyat. Dengan harapan rakyat akan terus menyokong parti UMNO/BN itu saja.

4. Hak-hak Rakyat Untuk Bersuara.

Hak bersuara, kebebasan dan hak berhimpun kepada rakyat yang merdeka adalah juga buah kemerdekaan itu. Rakyat mahu makan nikmat buah ini. Kalau di zaman penjajah dulu pelbagai cara sekatan telah dibuat oleh penjajah. Tentu dalam suasana kita sudah merdeka tidak akan ada lagi sekatan-sekatan untuk rakyat menikmati segala hak bersuara, berhimpun dan juga hak untuk mengkritik kesalahan parti pemerintah yang dihalalkan dalam sistem demokrasi dan menurut Perlembagaan Negara. Rakyat bukan anti-kerajaan, tapi hanya mengkritik kesalahan pemimpin parti kerajaan UMNO/BN itu.

Penjajah tidak lagi mengunci mulut rakyat, penjajah tidak lagi melarang rakyat berhimpun, penjajah tidak lagi mengharamkan akhbar, tulisan dan buku-buku yang ditulis oleh rakyat dan penjajah sudah pulang ke negara mereka sendiri. Penjajah tidak lagi menyekat suara rakyat Malaysia. Tetapi hari ini Malaysia yang dipimpin oleh parti UMNO/BN yang berotak, berfikiran dan berhati 'klon' penjajah sudah bersikap lebih kasar dari penjajah dulu. Misalnya, dulu penjajah guna ISA untuk lawan dan tangkap komunis. Hari ini pimpinan UMNO/BN mengunakan ISA untuk tangkap lawan politik mereka.

Mereka eksploit apa juga akta yang ada bagi menyekat hak-hak rakyat untuk bersuara, mengkritik kesalahan pemerintah, berhimpun secara aman dan berdemo secara aman sebagai simbol rakyat tidak setuju dengan tindak-tanduk salah parti pemerintah yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan rakyat dan negara ini.

Misal lain, UMNO/BN kerana ingin mengekal kuasa politik, mereka sanggup memperguna dan memperkudakan agensi-agensi kerajaan mengeluarkan dokumen seperti kad pengenalan kepada warga asing (kes ketara paling banyak terjadi di Sabah) secara membelakangi peraturan atau undang-undang negara. Bayangkan dalam satu masa yang cukup singkat kerajaan UMNO/BN boleh meluluskan dokumen warganegara ini kepada puluhan ribu, malah ratusan ribu warga asing di Sabah agar mengundi UMNO/BN. Apakah tindakan ini tidak membahayakan keselamatan rakyat dan negara. Isu-isu inilah antaranya dikritik dan disanggah oleh rakyat dan parti-parti pembangkang. Selain itu, ruang untuk rakyat bersuara secara bebas dan terbuka hari ke hari cuba dipersempitkan, antaranya ahli-ahli parlimen hanya dihadkan masa 7 minit dan 400 patah perkataan bagi membahaskan apa jua usul dalam Parlimen. Malah rentetan jumlah hari bagi tempoh berkempen dalam pilihanraya juga semakin ketat dan dipersempitkan. Contohnya, pada awal merdeka dalam pilihanraya 1955 (42 hari), 1959 (34 hari), 1964 (34 hari), 1969 (34 hari), 1974 (15 hari), 1978 (16 hari), 1982 (14 hari), 1986 (9 hari), 1990 (8 hari), 1995 (9 hari) dan 1999-2001 ( kes pilihanraya kecil DUN Likas 12 Julai penamaan calon dan 21 Julai mengundi, 9 hari juga). Berbeza dengan parti pemerintah UMNO/BN dengan bebasnya mengunakan media cetak dan elektronik menyampaikan mesej parti mereka, lain lagi dalam majlis perjumpaan atas nama majlis rasmi kerajaan, seminar, kursus dan sebagainya yang dihadiri pemimpin UMNO/BN. Pembangkang hanya mengaharapkan pentas ceramah yang agak terbatas, media yang terbatas dan diburu pula oleh polis.

Akhirnya, kerana takutkan kritikan pedas rakyat, hak-hak bersuara dan kebebasan itu sedikit demi sedikit cuba ditarik dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal. Inikah nikmat kemerdekaan yang diberi kepada rakyat yang sudah merdeka lebih 40 tahun. Apakah rakyat berasa selesa dengan sekatan-sekatan seperti ini. Sepatutnya warna-warni kehidupan rakyat dalam tempoh masa merdeka ini bertambah indah, selesa dan terbuka lagi.

5. Akhlak Moral Dan Kemanusiaan.

Dalam sebuah negara yang merdeka, kita bukan sekadar merdeka dari segi pembangunan fizikal dan material semata-mata. Tetapi akhlak moral dan nilai kemanusiaan rakyatnya punah, musnah dan hancur dimamah oleh kemajuan material atau kebendaan yang tidak dirancang secara lebih bersistematik dengan mengambil kira pelbagai pendekatan dan neraca seperti mengaplikasikan nilai-nilai agama, kemanusiaan, sosial, mesra alam, ekonomi dan lain-lain. Bukan sekadar untuk diagung-agungkan atau dijerit-jeritkan 'Malaysia negara maju, Malaysia negara moden, Malaysia negara membangun' seperti yang kita agung-agungkan selama ini. Tetapi hakikatnya dalam himpunan tingginya kemajuan dan pembangunan yang berlaku dalam negara ini, di sana sini terlonggok jutaan korban rakyat yang musnah binasa akhlak moral, nilai kemanusiaannya dan gejala demi gejala terus bertimbun-timbun terlonggok diperut bumi Malaysia.

Apakah semua itu atas namanya, nikmat sebuah kemerdekaan. Golongan agama, ulama, ustaz-ustazah dicurigai oleh parti pemerintah UMNO/BN dan para pemimpinnya, konon mereka menyebar ilmu salah, menghasut rakyat, pelajarnya anti-kerajaan (BUKAN ANTI-KERAJAAN), mengkritik para pemimpin UMNO/BN yang menyeleweng dan memutar-belit agama dan kebenaran. Padahal, tanpa para tokoh agama dan ulama ini pasti sudah lama rakyat Malaysia lebih barat daripada orang barat, lebih teruk daripada orang barat yang teruk dari segi akhlak moralnya.

Di sini, kita meminta rakyat Malaysia lebih bersikap telus menilai tentang nikmat kemerdekaan dalam hal akhlak moral dan nilai kemanusiaan rakyat Malaysia hari ini setelah kita merdeka 40 tahun lebih.

6. Amalan Sistem Demokrasi.

Betul rakyat bebas mengamalkan apa jua yang dihalalkan dalam sistem demokrasi di Malaysia. Namun, kenyataannya demokrasi di Malaysia dikongkong oleh penguasa yang rakus lagi tamak di bawah UMNO/BN pimpinan Mahathir. Parti-parti politik pembangkang tidak mendapat hak sepatutnya sebagaimana yang diperolehi oleh parti pemerintah UMNO/BN. Padahal dalam sebuah negara yang merdeka begitu lama seperti Malaysia sekatan beberapa amalan demokrasi ke atas parti lawan bukan merupakan satu amalan orang yang merdeka. Pembangkang dilarang berceramah, dilarang mendapat lesen penyiaran, disempitkan ruang media dan berbagai lagi sekatan amalan demokrasi yang dibolehkan. Apakah ini namanya hasil sebuah kemerdekaan, semakin lama kita merdeka semakin banyak pula sekatan dan halangan untuk mengamalkan aktiviti yang dihalalkan dalam sistem demokrasi dan Perlembagaan Negara.

Banyak bukti betapa sekatan-sekatan itu makin menjadi-jadi. Pelbagai dasar dan undang-undang mahu diperkenalkan, dirubah dan digubal dengan matlamatnya bagi mendoktrinkan satu kefahaman yang terkongkong ke dalam benak pemikiran rakyat supaya menerima UMNO/BN sahaja parti pemerintah terbaik, terbetul, terhebat, teragung, terpengaruh dan...di bawah pimpinan Mahathir dan kroni-kroninya.

Di mana lagi nikmat kemerdekaan itu boleh rakyat rasakan. Apakah dengan memuja. memuji dan menyanjung UMNO/BN dan para pemimpin mereka itulah maknanya kemerdekaan.

Ibn Sabah,
29.8.2001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 1 September 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com