Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Hilang Sebutir Lagi Permata Umat Islam...Al-Marhum Tuan Guru Haji Yahya Junid

Al-Fatihah...marilah kita sama-sama hadiah ummul-kitab kepada Al-Marhum Tuan Guru Haji Yahya Junid yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Isnin, 16 Jamadilawal, 1422H bersamaan dengan 6 Ogos, 2001M. Penulis sebagai antara pelajar yang pernah menuntut di Madrasah yang diasaskan oleh tokoh ulama ini dan pernah berjumpa, selain berguru dengan anak-anak Tuan Guru. Beliau lebih mesra dipanggil Pak Ya, dan Madrasah At-Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah, Batu 16, Padang Lumat, Gurun, Kedah itu sendiri lebih popular dengan jolokan Pondok Pak Ya Junid, sebelum ia ditukar nama mengikut tuntutan zaman atau arus pendidikan moden.

Malah, Madrasah tempat penulis menimba ilmu itu cukup sinonim dengan nama Tuan Guru Haji Yahya Junid. Sekalipun, sewaktu penulis mendaftar masuk ke Madrasah Pak Ya sistem pengajian pondoknya sudah banyak yang berubah. Namun, asas pendidikan Islam tetap dipertahankan dengan menerapkan beberapa pendekatan baru ke arah mensesuaikan situasi peredaran masa dan zaman. Inilah istimewanya Madrasah Pak Ya itu, ratusan malah puluhan ribu anak bangsa dan umat Islam dari Perlis hingga ke Sabah pernah mendapat didikan, asuhan serta tarbiah di Pondok Pak Ya.

Hati umat, pencinta Islam, pencinta golongan ulama warasatul-anbiya dan seluruh bekas murid-murid pasti terharu dan hiba mendengar atau membaca berita pemergian dan kehilangan sebutir permata umat, iaitu Tuan Guru Haji Yahya Junid atau Pak Ya. Khidmat bakti, jasa dan perjuangannya untuk bangsa, agama dan tanah air tidak dapat dinafikan oleh sesiapa jua. Dengan membangunkan pondok pengajian bagi menyebarkan Islam, mendidik dan mentarbiah anak bangsa, umat Islam dan menyebarkan dakwah Islam. Adalah bukti betapa Tuan Guru seorang ulama yang benar-benar ikhlas, jujur dan amanah kepada tuntutan ilmunya.

Sekalipun, Tuan Guru tidak lagi terlibat secara langsung dengan Madrasah atau Pondok yang diasaskannya itu secara langsung. Tetapi, kehidupan beliau tidak terputus atau terpisah dengan Madrasah ini, maksudnya Tuan Guru tetap mengambil perhatian dari segi lain agar matlamat penubuhan Madrasah yang beliau asaskan itu terus berkesinambungan dari generasi ke generasi.

Dari segi ketokohan, kealiman dan kepimpinan Tuan Guru Haji Yahya Junid di tanah air, beliau adalah antara tokoh ulama yang tersohor, khususnya di bumi Jelapang Padi, Kedah Darul Aman. Beliau merupakan Ahli Syura Majlis Fatwa Negeri Kedah, Ahli Majlis Syura PAS, AJK Dewan Ulama PAS Pusat, bekas Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, selain tokoh pendidik dan pernah menjadi wakil rakyat di kawasan DUN Sala dalam Parlimen Yan selama dua penggal. Dan baru-baru ini sempena Sambutan Jubli Emas PAS ke 50 Peringkat Negeri Kedah pada 4 Julai lalu, Tuan Guru telah dianugerahkan dua gelaran sebagai mengenang jasa, sikap konsisten dan istiqamahnya kepada perjuangan Islam, dakwah Islam, pendidikan Islam dan juga sumbangannya kepada politik Islam di Malaysia, terutama kepada Kedah Darul Aman.

Mudah-mudahan Al-Marhum Tuan Guru ditempatkan bersama-sama roh para anbiya, auliya, solohin, siddiqin dan para syuhada. Amin Ya Rabbal'alamin.

Dan "T'aziah" kepada Tuan Haji Najib Fahami Haji Yahya dan seluruh ahli keluarga di atas pemergian Al-Marhum Tuan Guru Pak Ya Junid, semoga dapat bersabar dan tabah dengan ujian ini. Wassalam.

Sekian.
Ibn Sabah,
Bekas pelajar,
Madrasah At-Taufiqiah Al-Khairiah,
Al-Halimiah, Batu 16, Padang Lumat,
Gurun, Kedah.
8.8.2001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 9 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]