Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


ISA Bagaikan "Duri Dalam Daging"

Akta ISA yang dijadikan undang-undang paling popular, dominan dan sebagai tempat bergantungnya parti pemerintah UMNO/BN dan juga para pemimpinnya yang sudah kehilangan taring, hilang pengaruh dan tiada kewibawaan lagi di mata rakyat Malaysia. ISA akta yang disinonimkan dengan kata-kata sinis berbisa dari lidah rakyat sebagai Akta Ikut Suka Aku benar-benar ibarat kata pepatah "Duri Dalam Daging". Boleh semua orang bayangkan bila duri menusuk ke daging tubuh badan kita, betapa siksanya menahan kesakitan akibat duri dalam daging itu. Mereka yang pernah dagingnya dihuni duri pasti akan merasai kesakitan itu, bukan kepalang, boleh diserang demam dan sakit seluruh anggota badan. Inilah penulis ingin perkatakan tentang Akta ISA yang zalim lagi kejam itu. Dengan ISA membolehkan rakyat apapun pangkat dan kedudukan mereka dalam masyarakat sama ada orang itu mulia, terhormat, disukai rakyat atau tidak, malah siapa saja boleh dimangsakan, ditahan, disiasat, didakwa dan dipenjarakan atas nama Akta zalim ini.

Sudah terbukti rakyat ditahan semahu-mahunya oleh empunya akta ini atas nama demi "KEAMANAN DAN KESELAMATAN" kononnya. Benarkah Malaysia tidak aman, tidak selamat lagi untuk rakyat majmuk Malaysia menghirup udara nyaman bumi Malaysia ini, sehingga pihak kerajaan pimpinan UMNO/BN benar-benar terdesak hendak menggunakan Akta ISA yang zalim ini. Atau sebenarnya ISA diperguna semata-mata untuk menjaga keamanan dan keselamatan parti UMNO/BN dan beberapa kerat pimpinannya yang sudah merasa tidak selamat dan aman lagi menjadi parti kerajaan dan pemimpin dalam parti kerajaan UMNO/BN. Alasan ISA dikuatkuasakan dalam negara sekarang ini atas nama demi memelihara "KEAMANAN, KETENTERAMAN DAN KESELAMATAN" rakyat dan negara, lebih merupakan sikap hipokrit para pemimpin UMNO/BN yang ketakutan dan kegelisahan. Sebenarnya, Dr Mahathir, Pak Lah, Dr Rais dan rakan-rakan seUMNO/BN mereka ingin berselindung dibelakang tabir Akta ISA yang memang zalim itu. Mereka tidak berupaya lagi untuk berhadapan pengaruh parti-parti pembangkang yang berpayung dibawah BA yang semakin hari semakin mengakarkan pengaruh mereka dihati sanubari rakyat Malaysia. UMNO/BN tidak cukup kuat untuk memperkuda media sedia ada yang memang berpihak 99.9% kepada mereka dalam usaha mengembalikan semula pengaruh mereka dikalangan rakyat Malaysia yang sudah terang-terangan lebih senang bersama BA. UMNO/BN yang sudah sebati dan terbiasa dengan amalan memperkudakan jabatan-jabatan kerajaan secara tidak demokratik, sampai ke peringkat menjadikan beberapa jabatan kerajaan atau kementerian sama seperti markas parti UMNO/BN, juga tidak berupaya mengeksploitasi situasi itu lagi untuk dijadikan "puaka" yang boleh mempengaruhi minda dan akal budi rakyat untuk terus mereka boleh dipuja, disanjungi dan dimenangkan setiap kali pilihanraya oleh rakyat. Hatta UMNO/BN benar-benar tidak berkeyakinan lagi untuk mempergunakan SPR dan badan kehakiman bagi kepentingan politik kepartian mereka yang sempit itu. Kerana, pelbagai peringkat dari bawah rakyat biasa hingga ke puncak sistem pentadbiran negara sudah mula tersentak dan tersedar dari lamunan lama yang berakar umbi dalam benak dan diri, sama ada pegawai kerajaan biasa atau pegawai tinggi tidak semuanya ingin terus-terusan bersekongkol lebih lama lagi dalam kerja-kerja tidak sihat itu. Perbuatan tidak sihat itu seumpama memperguna SPR, Polis Malaysia, jabatan kerajaan dan sebagainya untuk tujuan kerja-kerja organisasi parti.

Perkara atau isu sebegini sebenarnya sudah begitu berakar tunjang dalam fi'il perangai orang-orang UMNO/BN, pada mereka UMNO/BNlah kerajaan Malaysia dan kerajaan Malaysia itulah UMNO/BN. Maka atas sebab musabab ini, UMNO/BN dan para pemimpin mereka yang diketuai oleh PieM terlama Malaysia hari ini. Tidak yakin, benar-benar mereka tidak yakin lagi untuk bertahan di atas kerusi "empuk" kuasa yang masih dirangkulan mereka untuk setakat ini. Justeru, untuk UMNO/BN dan para pemimpinnya yang dirasuk penyakit "kegilaan kuasa" dan penyakit "kerakusan pangkat dan harta benda" agar boleh bertahan lagi lama, itulah wajah kehidupan mereka. Lantaran bayangan ketakutan dan kehilangan kuasa itu semakin menekan perasaan dan jiwa raga, mereka tidak merasa sedikitpun dosa untuk mempergunakan Akta ISA atau Akta Ikut Suka Aku secara zalim dan tanpa langsung berkiblatkan erti nilai kemanusiaan, agama dan keadilan terus membaham serta memangsakan rakyat, khususnya para pemimpin, pendokong, simpatis dan penyokong parti-parti BA.

Rakyat benar-benar disakiti oleh Akta ISA ini bagaikan "duri dalam daging". Bermakna ISA itu adalah "duri dalam daging" dalam kehidupan rakyat Malaysia. Keharmonian, keamanan, ketenteraman dan keselamatan rakyat benar-benar ditusuki oleh duri Akta ISA yang kejam ini, akibat angkara tangan-tangan jahat para pemimpin UMNO/BN yang tidak puas-puas memegang dan memeluk kuasa politik yang selama inipun mereka pergunakan lebih banyak menjaga kepentingan kuasa politik, kekayaan peribadi, kroni, anak-anak dan suku sakat atau disalahguna demi untuk mengagih-agihkan harta rakyat dan negara, seperti balak, pulau, projek, saham dan lain-lain berlegar di antara sesama mereka. Rakyat cuma dapat tempias atau serpihan yang tersisa dari yang tidak mereka hajatkan lagi. Kesimpulannya, rakyat Malaysia yang majmuk ini sebenar-benar disakiti oleh kerana tusukkan duri ISA yang terus-menerus mencari mangsa untuk dibaham, ditusuk dan dimangsakan tanpa memperdulikan nilai kemanusiaan, keadilan dan ihsan. Yang UMNO/BN dan para pemimpinnya mahu, biarlah rakyat sakit, menderita, tidak aman, tidak selamat dan tidak tenteram. Tetapi mereka, anak-anak, suku sakat, kroni-kroni dan kaki-kaki ampu masih selamat, aman dan damai menghuni mahligai, banglo dan istana yang dibina dari harta rakyat dan negara, melalui kerja-kerja merompak secara cukup licik lagi halus atas namanya demi imej negara, kemajuan dan pembangunan.

Demikianlah, kita semua dan rakyat Malaysia ditusuki duri ISA. Bayangkan anak isteri dipisahkan dengan suami, emak ayah dipisahkan dengan anak-anak dan pemimpin kesayangan rakyat dipisahkan dengan rakyat dan masyarakatnya, kerana ISA "duri dalam daging" dalam kehidupan rakyat. Emak ayah bimbang bercampur gelisah merindui anak yang ditahan dan diISAkan secara cukup zalim. Isteri dan anak-anak tersiksa, disakiti jiwa dan perasaan mereka kerana suami ditahan dan diISAkan. Bahkan para isteri dan anak-anak yang suami dan ayah mereka diISAkan benar-benar disakiti, mereka pasti merindui suami dan ayah mereka yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Mereka dipisahkan secara zalim, tanpa kerelaan mereka. Memang tidak ada sesiapapun merelakan suami, ayah, pakcik, saudara maranya atau anak untuk ditahan secara kejam lagi zalim melalui ISA. Kezaliman Akta ISA sudah diketahui umum, tahanan akan didera, disoalsiasat dan disiksa dengan pelbagai cara "turning over". Jelasnya, semua pendekatan yang digunakan oleh polis yang diberi tugas mengikut kehendak ISA dalam menyiasat tahanan, adalah zalim, tiada sedikitpun nilai-nilai keadilan dicuba untuk diterapkan, jauh dari nilai kemanusiaan dan apa lagi dari nilai-nilai agama dan keislaman. Fikir saja sebagaimana cerita benar para bekas tahanan ISA ada yang disoalsiasat sampai tiga hari tiga malam tanpa henti oleh penyiasat berwajah manusia berhati...silih berganti. Tahanan tidak dibenar rehat dalam tempoh itu, kecuali untuk sembahyang bagi tahanan yang beragama Islam. Itu baru satu cara, bayangkan oleh anda selama tiga hari tiga malam tiada rehat, tiada tidur dan dikurung dalam sebuah bilik...berseorangan.

Hanya mereka yang punya ketahanan jiwa, berhati waja, kental, kuat iman dan sabar sahaja akan berjaya melolosi ujian getir dalam tahanan ISA. Bukan sembarangan pejuang sahaja yang mampu berhadapan situasi kekejaman Akta ISA itu. Mudah-mudahan mereka yang diISAkan terus bersabar, begitu juga keluarga mereka. Mari sama-sama kita berdoa memohon keselamatan dan kesejahteraan dari sisi Allah SWT. Allah-lah tempat pengaduan orang-orang yang beriman, bukan kepada penguasa atau manusia, apalagi kalau penguasa yang zalim. Adalah sangat mustahil bagi pemerintah dan penguasa zalim mendengar rintihan dan kesakitan rakyat yang dizaliminya seperti "duri dalam daging". Duri itu tidak akan keluar sendiri dari daging, kecuali orang yang terkena tusukkan duri itu yang mengeluarkan duri tersebut. Kerana itu, duri "akta ISA" yang menusuk keamanan, keselamatan dan keharmonian rakyat ini tidak akan keluar sendiri, yang pasti rakyat Malaysialah yang wajib mengeluarkan duri ISA itu dari terus menusuk kehidupan aman damai rakyat Malaysia dengan cara menggunakan kuasa rakyat dalam sistem demokrasi di bumi Malaysia. Insya-Allah, dengan semangat dan kekuatan perpaduan yang digemblengkan secara semaksimanya Malaysia dan rakyatnya akan lebih selesa serta aman selamat dibawah BA.

Ibn Sabah,
16.8.2001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 16 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]