Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Nasib Baik Seorang TPM Bernama Pak Lah

Malaysia yang merdeka 44 tahun tinggal 9 hari lagi dan sudah dipimpin oleh lima PM dan masing-masing mempunyai TPM. Sejak itu ada 4 orang TPM tidak sempat duduk kerusi PM yang lazimnya bila orang No. 1 itu berundur atau ajalnya sudah sampai orang N0. 2 akan naik mengantikannya. Empat orang TPM itu, ialah Tun Dr Ismail di zaman Tun Abdul Razak menjadi PM Malaysia yang kedua, kenapa Tun Dr Ismail tidak sempat menduduki kerusi PM, kerana umurnya tidak panjang. Tiga orang TPM lagi yang tidak bernasib ialah Tan Sri Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun pada kebiasaannya mereka patut sudah menjadi PM, kenapa mereka bertiga itu tidak sempat menduduki kerusi PM antara sebabnya mereka berPMkan Dr Mahathir yang cukup liat untuk undur dan turun dari singgahsana kerusi empuk kuasa itu.

Kali ini giliran TPM Malaysia yang kelima bersama PM yang keempat sekarang. TPM kelima ini nampak-nampak ada gaya boleh melepasi "badi" buruk PM keempat sekarang, walaupun orang mengatakan dia tiada gaya untuk menjadi PM Malaysia yang kelima. Itu soal lain babnya, tetapi bayang-bayang untung nasib atau nasib baiknya, macam lebih baik dari tiga mantan TPM yang berPMkan Mahathir itu. Kata orang "tuah ayam nampak di kaki tuah orang siapa tahu", mungkin TPM kelima Malaysia dan keempat dizaman Malaysia berPMkan Mahathir itu berada disebelah "karung rezeki" nasib baik itu. Dan itulah juga harapan kaki-kaki ampu Pak Lah sepertimana kaki ampu politik di masa DS Anwar Ibrahim menjadi TPM dulu.

Pada penulis "nasib baik" TPM bernama Pak Lah itu, banyak sudah yang terzahir dan makin menghampiri dirinya. Nasib baik, kerana sepatutnya dia bukan TPM selepas DS Anwar dipecat, dihina, dimalukan, didakwa dan dipenjarakan. Sebab dari segi ranking kepimpinan UMNO itu sendiri dalam kerusi Naib Presiden UMNO dia orang N0. 3 selepas Datuk Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhamad Taib Muhamad. Begitu juga Mahathir dulu jadi TPM di zaman Tun Hussien Onn juga bukan orang patut menduduki kerusi TPM kerana rankingnya dalam kerusi Naib Presiden UMNO dibelakang Tun Ghafar dan Tengku Razaliegh Hamzah. Dari segi ini, Pak Lah macam senasib dengan Dr Mahathir. Walaupun tidak berada diranking terbaik, tetapi masih bernasib baik dan lebih baik dari tiga TPM sebelumnya.

Lagi mujur dan bernasib baiknya dan beruntungnya manusia bernama Pak Lah ini, sudah dapat kerusi Timbalan Presiden UMNO tanpa bersusah payah, tidak perlu bertanding dan kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dilarang untuk dipertandingkan oleh MT UMNO dan tidak perlulah dia keluar ongkos bagi memancing undi dari perwakilan UMNO yang memang "ongkos" adalah amalan tradisi UMNO sejak dulu, kini dan selamanya, dan merupakan sumber yang boleh memenangkan mereka dalam apa jua pertandingan. Kemudian Pak Lah dapat pula kerusi TPM yang dikosongkan oleh DS Anwar kerana dipecat secara kontroversial itu. Dengan erti kata lain, Pak Lah benar-benar bernasib baik mendapat semua yang dihajatkannya selama ini secara mudah dan cukup mudah, hanya melalui tunjuk dari atas Pak Lah sudah dapat kerusi TPM dan Timbalan Presiden UMNO.

Mungkin kerana sikap lemah lembutnya, gaya penampilan diri yang sederhana dan tiada langsung watak hendak melanggar tembok besar yang bakal menghimpit diri dan rakyat yang menyokongnya dari atas. Telah memberi suatu ilham kepada Mahathir untuk memilih Pak Lah sebagai rakan regunya, apabila tiga TPMnya sebelum ini menzahirkan suatu wibawa, karisma dan watak pemimpin sebenar. Ciri ini yang Mahathir cukup tidak inginkan, pantang baginya ada manusia Malaysia boleh mengatasi dirinya. Memangpun para pengkritik Mahathir melihat Mahathir tiada apa-apa lebih dan istimewanya lagi. Mahathir hanya bergantung pada kuasa politik yang masih dimilikinya dan dikelilingi kroni-kroninya yang masih mahu taat setia padanya. Dalam masa yang sama dia mencipta cukup ramai musuh.

Betul-betul Pak Lah bernasib baik. Nombornya cuma berbeza satu angka dengan nombor Mahathir, N0. 4, dia TPM Malaysia kelima dan Mahathir pula PM Malaysia keempat. Adakah tuah Pak Lah pada N0. 5 itu. Dari segi matematiknya Pak Lah sudah melintasi "badi" angka N0. 4 itu. Takdir jua yang akan menentukannya. Sekalipun ramai pengulas politik, intelek, pelajar, rakyat hatta rakyat di kampung-kampung melihat Pak Lah semacam tiada watak atau gaya seorang PM. Bukan maksud memperlekeh peribadi Pak Lah dan kemampuannya. Tetapi penampilannya tidak mirip kepada seorang tokoh besar negara, cara bercakap, karisma dan wibawanya dipersoalkan orang. Mungkin dari segi pengalaman politik, sepak terajang politik dan pentadbiran dia boleh dihormati orang. Apakah dengan itu sudah cukup dia akan lolos berada dikerusi empuk PM Malaysia yang keenam itu.

Mudah-mudahan Pak Lah akan melepasi "badi" buruk angka 4 yang jadi milik Mahathir yang telah mengena terhadap tiga TPM sebelumnya. Kita juga mengharap kalaupun nasib dia jadi PM yang kelima, dia tidak akan dilebal orang sebagai PM berklonkan Mahathir. Cukuplah Mahathir yang menjadi PM selama 20 tahun itu, jangan ada lagi Mahathir kedua atau pemimpin yang berklonkan Mahathir.

Jadi akan bernasib baikkah Pak Lah kali ini, sempatkah dia menduduki kerusi PM itu dan bolehkah dia dinobatkan sebagai PM keenam Malaysia. Kita tunggu dan lihat, akan sampai ketika dan waktunya untuk Pak Lah, anak seorang Tok Guru berada disinggahsana kerusi empuk kuasa PM yang diidam-idamkan oleh semua ahli politik Malaysia yang berjiwa pemimpin. Andainya dia bernasib baik dan diTAKDIRkan menjadi PM yang kelima sebelum pilihanraya umum ke 11, biarlah Pak Lah akan jadi PM lebih baik dari PM bernama Mahathir.

Bagaimana pula nasib Tengku Razaliegh Hamzah, Datuk Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan Mohamad Taib. Apakah mereka juga menunggu nasib itu, seperti Pak Lah beruntung dan bernasib baik jadi TPM dan insya-Allah akan dinobatPMkan tidak lama lagi.

Sekian,
Ibn Sabah,
22.8.2001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 23 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]