Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Dilema Politik Pembangkang Di Sabah

Dilema Pembangkang Di Sabah Selepas pilihanraya umum negeri tahun 1999 pembangkang di Sabah boleh dikatakan masih tetap kuat dengan 17 ADUN yang kesemuanya adalah mewakili PBS berbanding 31 ADUN di pihak parti kerajaan UMNO/BN. Apabila 8 ADUN PBS yang melanggar sumpah atau "aku janji" mereka tidak akan melompat ke parti lain terutama masuk ke dalam kandang UMNO/BN, telahpun melompat. Tinggal lagi sembilan ADUN pembangkang di DUN Sabah yang masih bertahan. Apakah yang sembilan ini akan terus bertahan sehingga pilihanraya umum negeri akan datang, mungkin akhir 2003 atau awal 2004. Melihat senario politik pembangkang di Sabah kini, tidak ubah seperti tahun 1976 dulu, apabila Parti Berjaya berjaya menumbangkan parti kerajaan USNO/BN dengan keputusan 28 (Berjaya) dan 20 (USNO/BN). Apa yang terjadi akhirnya USNO tinggal beberapa lagi ADUNnya yang masih bertahan, kalau tidak silap penulis yang masih bertahan sebagai pembangkang ialah Presidennya Tun Mustapha, Tun Said Keruak (ketika itu belum bergelar Tun), Tun Sakaran Dandai (juga belum Tun waktu itu), Salim Bachoo, Datuk Abdul Hamid, Datu Aliudin (adik kepada Tun Mustapha) dan Tahir Petra, yang lain sudah berlompatan ke dalam kem Berjaya yang juga telah menjadi kerabat BN ketika itu.

Sejak dulu lagi dilema parti pembangkang Sabah dan ADUN-ADUN pembangkang tidak kunjung reda. Dari tahun 70an, 80an, 90an hingga di abad ke 21 inipun budaya politik tidak berprinsip, budaya "katak", budaya pesona benda dan pangkat tidak lekang dari akal budi ahli-ahli politik pembangkang di Sabah. Mereka tidak tahan diuji oleh keperitan atau susahnya sebagai YB tanpa pangkat, tanpa kedudukan, tanpa dapat projek, kebendaan atau kemewahan. Akhirnya sumpah janji dilanggar. Konon atas alasan demi untuk pembangunan di kawasan yang mereka wakili dan rakyatnya. Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pemikiran sebegini tidak wajar masih menjadi tembok halangan untuk menuntut keadilan dan kesamarataan dari parti pemerintah. Sepatutnya, isu peruntukan untuk kawasan DUN yang diwakili parti pembangkang tidak timbul lagi sekiranya parti yang memerintah itu memahami konsep sebenar sistem demokrasi yang kita amalkan selama ini. Tidak timbul kawasan pembangkang dianak tirikan atau didiskriminasikan oleh parti yang memerintah.

Tetapi hakikat yang dihadapi oleh wakil-wakil rakyat pembangkang di DUN Sabah di zaman pemerintahan UMNO/BN ini. Bukan saja dianak tirikan, malah kalau boleh semua parti-parti pembangkang sekiranya mahu dapat peruntukan kerajaan UMNO/BN mereka mesti masuk BN dulu. Jelas sikap dua wajah para pemimpin UMNO/BN sama ada di Sabah, apa lagi non jauh di Kuala LUmpur yang berpusat di Empayar Putrajaya. Dalam mereka melaung-laungkan amalan demokrasi, tapi mereka juga yang mahu mematikan nilai atau prinsip amalan demokrasi itu dalam perlaksanaannya atau praktiknya. Kalau sudah di peringkat kerajaan pusat yang dikuasai oleh parti UMNO/BN berkepalakan Mahathir itu, sampai kiamat jangan harap rakyat akan menikmati suasana amalan sistem demokrasi di Malaysia akan dipraktikkan dengan lebih baik dan telus.

Berbeza dan jauh bezanya dengan kerajaan negeri Terengganu yang dikuasai oleh parti PAS/BA pimpinan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi, mereka melihatkan sebuah pemerintahan yang benar-benar mahu menghormati dan mendaulatkan amalan demokrasi secara lebih baik, lurus dan telus. Umpamanya dalam soal peruntukan bagi setiap kawasan atau DUN di negeri Terengganu, terdapat empat DUN yang diwakili oleh pembangkang UMNO/BN. Tetapi dari segi hak mendapat peruntukan RM100 ribu satu kawasan DUN itu, kerajaan PAS/BA jelas menzahirkan sikap telus dan menghormati prinsip demokrasi itu dengan memberikan semua kawasan tanpa membezakan sama ada kawasan itu parti pembangkang atau kawasan parti kerajaan. Di Sabah, suasana ini jangan diharapkan selagi UMNO/BN berkuasa dalam politik Sabah. Sebab itu para pemimpin pembangkang di Sabah beria-ia mencari peluang dan masa terbaik untuk melompat ke dalam kem BN. Matlamat mereka cuma pangkat, kedudukan, harta kekayaan dan nama. Sampai ada yang keluar masuk parti sekejap UMNO, sekejap UPKO, PBRS dan sekejap parti pembangkang. Pemimpin seperti ini, mereka tidak sedar bahawa rakyat merenung dan memerhati sikap buruk tiada prinsip mereka sebagai pemimpin.

Dan adalah lebih mulia kita mempertahankan prinsip demokrasi itu dengan bertahan sebagai wakil rakyat sekalipun hanya atas nama YB pembangkang dalam DUN Sabah. Jadi kenapa YB-YB pembangkang di Sabah tiada kesabaran, ketabahan dan prinsip dalam mempertahankan idealisme politik mereka bagi menghormati sistem demokrasi itu sendiri. Inilah dilema sebenar ahli-ahli atau YB-YB parti pembangkang di Sabah. Mereka tidak mampu berhadapan dengan godaan kebendaan, pangkat dan status kedudukan. Mereka terliur dan tidak dapat menahan liur itu seperti "orang mengidam" melihat YB-YB parti kerajaan (UMNO/BN) hidup mewah, berjawatan itu ini, pengerusi sana pengerusi sini, mengagih-agih projek, balak, saham dan sebagainya di antara sesama kroni-kroni mereka dalam kandang BN itu. Sebab itu, mula-mula 2 ADUN PBS lompat ke dalam UMNO/BN dan kemudian 6 lagi ADUN PBS yang dikepalai oleh Dr Jefry Kitingan turut melompat ke dalam PBRS/BN. Entah berapa jawatan sudah mereka dapat, berapa ekar balak, saham, projek dan kedudukan sudah mereka perolehi setelah melanggar sumpah janji, mengadai prinsip dan maruah diri sebagai pemimpin untuk ditukarkan dengan harta, pangkat, kedudukan dan nama glamour.

Sampai bilalah, dilema ahli-ahli politik pembangkang di Sabah akan berakhir. Sukar untuk mencari sebuah kepastian, kecuali mereka itu adalah ahli politik sebenar atas namanya seorang ahli politik atau politikus berprinsip, berjati diri dan seorang pejuang politik sebenar. Mereka lebih rela menempuh susah payah dalam perjuangan politik demi mempertahankan demokrasi, keadilan dan ketelusan. Pasti rakyat akan mengerti semua itu, dengan syarat dampingilah rakyat dengan memperjelaskan isu sebenar kenapa mereka dianak tirikan, kenapa mereka tidak diberi peruntukan yang sepatutnya menjadi hak setiap wakil rakyat dan rakyat yang diwakilinya. Kesedaran politik dan erti demokrasi sebenar ini yang tidak wakil-wakil rakyat pembangkang perjelaskan kepada rakyat di kampung dan desa. Kita yakin apabila kebenaran itu sampai ke telinga dan berada di depan mata rakyat, pasti rakyat akan lebih prihatin dan mengakuri keadaan yang mereka tempuhi. Wakil rakyat pembangkang di Sabah tidak berani menyatakan kebenaran-kebenaran ini, kenapa parti kerajaan yang diketuai UMNO/BN misalnya menzalimi rakyat di kawasan pembangkang dengan tidak menyalurkan peruntukan sewajarnya seperti yang dinikmati rakyat di kawsan parti kerajaan.

Justeru itu, ahli-ahli politik pembangkang di Sabah jangan kita kalah sebelum berjuang. Apa guna ada DUN Negeri Sabah, kalau mereka tidak manfaatkan bagi menyuarakan segala macam hak-hak rakyat yang mereka wakili berdasarkan undang-undang yang diamalkan dalam sistem demokrasi. Soal parti pemerintah UMNO/BN tidak memperdulikan setiap saranan, tuntutan dan desakan itu merupakan perkara kedua. Yang penting kita suarakan dan tuntutan dalam DUN yang menjadi tempat tertinggi pemerintahan negeri dalam sistem demokrasi. Sikap kepala batu, angkuh dan ego kerajaan pimpinan UMNO/BN yang tidak mengindahkan suara pembangkang juga bukan urusan wakil rakyat pembangkang. Tetapi dari segi mendaulatkan dan menghormati amalan demokrasi itu pembangkang lebih baik dari parti kerajaan yang bersikap angkuh dengan kuasa yang berada ditangan mereka.

Dengan itu juga, rakyat Sabah mengharapkan politikus pembangkang di Sabah akan lebih matang dalam berpolitik, cekal, kental dan tahan uji. Kerana, sesungguhnya adalah lebih baik dan mulia lagi kita bertahan dengan prinsip dan menghormati amalan demokrasi dari menjual prinsip dan mengadai perjuangan dengan pangkat dan kebendaan yang belum tiba masanya untuk kita miliki. Padahal perjuangan kita adalah perjuangan politik yang bersandar kepada undang-undang dan kebenaran yang sudah diterima dan mendapat sokongan rakyat. Tentunya rakyat akan lebih faham, sekiranya wakil mereka menjelaskan keadaan sebenar itu. Fikirlah dan yakinilah, bahawa perjuangan dalam politik bukan semata-mata mengejar kebendaan, pangkat dan kedudukan. Tetapi lebih utama prinsip perjuangan yang berlandaskan kebaikan, kebenaran dan prinsip demi membela rakyat adalah lebih mahal harganya dari sekadar pangkat, harta atau kedudukan yang bersifat sementara yang belum masanya untuk kita. Pangkat, kedudukan dan jawatan akan habis tempohnya, apabila sampai saat dan masanya kita akan berundur jua. Sebaliknya dengan bertahan mempertahankan prinsip perjuangan yang benar, adil, baik dan secara telus itu. Kita akan menjadi wira rakyat selamanya. Tinta sejarah akan merakam kehebatan itu.

Tidak perlu bagi politikus pembangkang di Sabah seperti orang kehilangan pedoman kebenaran ketika tidak berkuasa, dalam keadaan dipinggirkan, dianak tirikan dan didiskriminasikan oleh parti yang memerintah. Roda sejarah akan mencatatkan pembangkang juga akan berada di atas puncak kuasa politik itu, mungkin lebih baik lagi daripada parti yang memerintah sekarang. Insya-Allah.

Satu lagi, tuntutan rakyat Sabah kepada politikus Sabah, jangan ulangi lagi budaya "katak", budaya tidak berprinsip dan budaya mengejar pangkat, kedudukan dan kebendaan itu.

Ibn Sabah,
24.82001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]