Wawancara wartawan Islam Online.net, Kazi Mahmood dengan Menteri Besar Terengganu
Apabila Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Negeri Terengganu, Malaysia bersetuju untuk diwawancara oleh IslamOnline di pejabatnya di Kuala Terengganu, ia telah membuka peluang membincangkan isu-isu utama yang memberi kesan terhadap pakatan pembangkang dan penubuhan sebuah negara Islam di Malaysia.
Abdul Hadi, yang juga Timbalan Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS), bercakap secara terus-terang mengenai Islam dan penubuhan negara Islam yang sekian lama menjadi dorongan dan kekuatan perjuangan PAS. Ia juga turut menyanggah parti Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), dalam banyak perkara.
Di dalam perhimpunan agung UMNO Jun lalu, Mahathir telah mencabar PAS agar menyatakan secara bertulis pendiriannya tentang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Abdul Hadi Awang, yang mengenakan amamah dan jubah, menggariskan di dalam wawancara ini beberapa prinsip sebagai panduan sebuah Negara Islam.
PAS dan UMNO kini saling bertikam lidah mengenai bentuk Islam yang dirasakan paling sesuai untuk umat Islam di Malaysia. Daripada lawatan ke Kuala Terengganu, dan beberapa jam yang dihabiskan bersama Menteri Besarnya, tidak syak lagi bahawa PAS nampaknya memiliki formula yang telah memenangi hati sebahagian besar rakyat di negeri utara Semenanjung itu.
Di Malaysia, pakatan pemerintah pimpinan Mahathir Mohamad dan UMNO telah meletakkan sasaran bahawa Abdul Hadi Awang adalah pemimpin yang mesti dijatuhkan sekiranya rejim Putra Jaya berhasrat menawan kembali Kelantan dan Terengganu daripada PAS. Menteri Besar yang impresif itu juga telah diletakkan di tempat ketujuh dalam senarai ahli politik paling berpengaruh di rantau ASEAN. Dengan penglibatannya yang besar terhadap umat Islam di rantau ini, pengaruhnya melangkaui bidang politik. Beliau juga adalah ahli kepada pertubuhan Ulama Islam dan menganggotai beberapa badan Islam antarabangsa mengendalikan dialog antara agama. Para penyokong beliau pula rata-rata menyanjung tinggi kejujuran dan keikhlasan beliau, terutama di dalam menangani hal ehwal agama Islam.
Islam Online: Parti Islam Se Malaysia (PAS) telah pun memulakan program Islamisasi di Terengganu. Apakah tindakbalas daripada rakyat setakat ini?
Tuan Guru Abdul Hadi Awang: Boleh dikatakan secara keseluruhannya, program Islam yang kami laksanakan telah disambut baik oleh rakyat. Negara Malaysia ditadbir menurut sistem federal. Walaupun kami menguasai negeri, kerajaan Pusat masih mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dalam banyak perkara di sini. Bagaimana pun, di sana terdapat sektor-sektor di mana kami memiliki kuasa penuh untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang dicitakan.
Pelaksanaan Islam di Terengganu buat masa ini terbatas kepada bidang pendidikan dan beberapa perkara yang menjadi kepentingan umum, seperti pemulihan tanah dan institusi-institusi awam. Di bidang pendidikan, kami melaksanakan kurikulum yang diasaskan kepada pengajian Islam. Pengajian Tinggi juga berdasarkan kepada standard Islam. Jabatan-jabatan kami seperti Jabatan Hal Ehwal Agama dan Yayasan Islam Terengganu, bersama-sama dengan masjid-masjid di seluruh negeri telah memainkan peranan penting dalam memutuskan apakah sistem pendidikan yang kami sediakan kepada umat Islam.
Kami juga telah menghapuskan pinjaman berasaskan riba yang dikenakan terhadap kakitangan awam. Kami mengemukakan bentuk pinjaman tanpa faedah untuk mereka membeli rumah dan kenderaan. Kami juga telah menambahkan jumlah cuti kepada penjawat awam. Mereka sekarang menikmati dua hari cuti, Jumaat dan Sabtu dan 90 hari cuti bersalin untuk wanita di samping cuti isteri bersalin selama seminggu untuk si suami dan ini telah mendapat sambutan hebat daripada para penjawat awam. Bagaimana pun, dalam isu perumahan kos rendah, kami terpaksa menangguhkan pelaksanaannya disebabkan tindakan kerajaan Pusat ‘merampas’ royalti minyak milik negeri ini.
Kami melaksanakan prinsip Islam dengan memberi peluang rakyat memiliki tanah untuk didirikan rumah kediaman. Adalah sebahagian daripada undang-undang Islam untuk membenarkan rakyat memiliki rumah sendiri. Semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN), rakyat sukar mendapat tanah dan hal ini memaksa mereka membina rumah-rumah di atas tanah kerajaan, tanpa kebenaran. Hari ini rakyat boleh mendapatkan tanah untuk kegiatan pertanian dan tempat tinggal, di bawah dasar baru yang kami perkenalkan. Rakyat secara keseluruhannya menyokong langkah yang kami buat itu. Kami juga dalam rangka membuat beberapa perubahan dalam undang-undang terutama berkaitan jenayah dan juga kebebasan mendapatkan maklumat yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat dan akan diasaskan kepada Hudud Islam.
Rakyat nampaknya sangat gembira dengan perubahan-perubahan ini, walaupun di masa yang sama kami menerima tekanan demi tekanan daripada kerajaan Pusat. Mereka (kerajaan Pusat) sanggup menentang proses demokrasi dan juga prinsip-prinsip Islam yang cuba kami laksanakan. Berdasarkan sistem Persekutuan di Malaysia, mereka cuba menghalang usaha-usaha kami.
Kerajaan Pusat tidak memberikan kerjasama kepada kami, malah cuba pula menghalang mana-mana pegawai Persekutuan daripada bekerjasama dengan kami dalam banyak perkara. Mereka melengah-lengahkan bantuan kewangan untuk kami. Mereka sepatutnya membayar capitation grant yang dikira mengikut jumlah penduduk negeri ini. Ini juga dilewatkan. Satu contoh lain ialah peruntukan kewangan untuk bekalan air, yang dibayar terlalu lewat daripada jadual. Ia sepatutnya dilunaskan dalam bulan Februari dan Ogos, tetapi hanya dibayar dalam bulan Disember. Ini semua agak menyulitkan kami.
Mereka juga telah merampas royalti petroleum, iaitu bayaran lima peratus yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan Terengganu. Negeri ini mengeluarkan 60 peratus daripada jumlah pengeluaran petroleum negara ini. Hal ini telah mengakibatkan kesempitan kewangan kepada kami di Terengganu.
Negeri Terengganu juga telah menerima kebanjiran pelancong-pelancong sama ada dari rakyat Malaysia mahu pun pelancong asing. Bagaimana pun, penerbangan ke Terengganu tidak mencukupi keperluan dan ini juga turut membantutkan pembangunan di sini.
.....bersambung