Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


‘Saudara Kita’ dilayan adil menangani hidup

MARANG: Saudara baru Islam (Saudara-saudara Kita) akan menerima layanan adil dari Kerajaan termasuk pembahagian tanah tapak rumah dan tanah untuk pertanian. Ini kerana Kerajaan bersedia membantu saudara-saudara baru memeluk Islam (Saudara-saudara Kita) dengan menugaskan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) mengambil berat penghayatan terhadap Islam dan kebajikan mereka.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, Islam mengharamkan umatnya membiarkan saudara-saudaranya seIslam berada dalam keadaan kesusahan. Beliau berkata, orang Cina, India atau lain-lain bangsa yang meninggalkan agama asal mereka dengan menganut Islam dianggap sebahagian dari umat Islam yang perlu dijaga dan tidak boleh diasingkan darinya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan dan Dialog dengan ‘Saudara-saudara Kita’ Daerah Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu di Dewan Sivik Bukit Payong di sini baru-baru ini. Katanya, apabila seseorang itu memeluk Islam bermakna mereka telah terpisah jauh dari kaum keluarga dan sanak saudara, berdepan satu suasana baru yang berbeza dengan kehidupan terdahulu.

"Namun mereka itu mendapat satu nikmat yang paling besar iaitulah mendapat keampunan dari Allah dan oleh itu mereka perlu dihormati," katanya. Menurut beliau suatu tanggapan salah apabila mendakwa memeluk Islam bererti masuk Melayu. "Jangan sekali-kali mereka rasakan bahawa Islam menjadi milik orang Melayu sahaja sedangkan sejarah menunjukkan Islam lebih awal diterima oleh orang Cina dan India berbanding dengan orang Melayu," jelas Menteri Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Kaum Haji Awang Dagang Yusof, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Haji Ismail Mamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong Haji Hassan Salleh, ADUN Kuala Berang, Dr. Haji Mamad Puteh hadir di majlis itu. Turut hadir, Pegawai Eksekutif MAIDAM Dato’ Haji Mamat Abdullah, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Muhatar Abdullah, Pegawai Agama Daerah Marang dan Hulu Terengganu, Pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama dan kira-kira 200 ‘Saudara-saudara Kita’ dan keluarga mereka.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 27 Ogos 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]