Amerika Syarikat (AS) hari ini akhirnya mengesahkan kehilangan sebuah pesawat pengintipnya di Afghanistan ketika tentera AS dan Britain semakin hampir melancarkan operasi memburu dan memusnahkan rangkaian Osama bin Laden di negara itu.
Pemerintah Taleban mencatatkan kejayaan pertama terhadap tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) apabila berjaya menembak jatuh sebuah pesawat pengintip tanpa juruterbang.
Laporan agensi berita Itar-Tass dari Rusia menyatakan Taleban juga mendakwa telah menembak jatuh sebuah lagi pesawat pengintip.
Para pegawai AS mengaku kehilangan sebuah pesawat pengintipnya tetapi mereka tidak mengesahkan sama ada kehilangan itu disebabkan oleh tembakan tentera Taleban.
Para pegawai AS juga enggan mengesahkan atau menafikan kehilangan pesawat pengintip kedua.
Penghantaran pesawat-pesawat pengintip ke Afghanistan merupakan peringkat awal operasi untuk mengesan kedudukan Osama yang sentiasa berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin tertinggi Taleban, Mullah Mohammad Omar berkata kematian Osama tidak akan menghapuskan ancaman terhadap AS.
Omar berkata dalam satu kenyataannya yang dihantar kepada agensi-agensi berita bahawa AS mesti mengundurkan tenteranya dari Teluk dan menyokong Palestin dalam konflik mereka dengan Israel jika Washington mahu menghapuskan ancaman keganasan.
Jurucakap Taleban berkata semalam bahawa mereka tidak tahu di mana Osama berada dan beberapa media asing meramalkan dia telah pun keluar dari Afghanistan.
``Osama bin Laden telah hilang. Kami sedang mencarinya,'' jurucakap Taleban, Abdul Hai Mutmaen dipetik sebagai berkata oleh Afghan Islamic Press.
``Kami masih berusaha untuk mengesannya,'' kata beliau, sambil menambah bahawa sebaik sahaja Osama ditemui dia akan diminta meninggalkan Afghanistan.
Tetapi penasihat keselamatan kebangsaan AS, Condoleezza Rice menolak kenyataan Taleban itu dengan berkata Amerika tidak akan mempercayainya.
Sementara itu, jurucakap rasmi Perdana Menteri Britain Tony Blair berkata, serangan tentera AS dan Britain di Afghanistan mungkin membawa kepada pertukaran kerajaan di Afghanistan.
``Adalah sentiasa menjadi hasrat kami dan kami mahu melihat sebuah rejim demokratik di Afghanistan,'' katanya.
Jurucakap itu berkata perikatan tentera yang diketuai AS ``mungkin akan membawa kepada penggulingan rejim Taleban.''
Tentera AS telah memperbesarkan persiapan mereka di negara-negara jiran sekeliling Afghanistan di mana serangan mungkin dilancarkan dalam masa beberapa minggu atau beberapa hari lagi.
Dua ketumbukan tentera laut yang setiap satunya diketuai oleh kapal pengangkut pesawat kini berada di perairan Teluk dan Lautan Hindi.
Lebih 100 pesawat tambahan telah dikerahkan ke kawasan itu.
Sebanyak dua lagi kapal pengangkut pesawat sedang menuju ke rantau itu, USS Kitty Hawk yang meninggalkan Jepun pada Jumaat lalu dan USS Theodore Roosevelt yang berlepas meninggalkan Norfolk, Virginia.
Pesawat pengebom jarak jauh B-52 dan B-1 turut dikerahkan bersama pesawat penggempur bantuan A-10 Warthog.
Pasukan komando AS yang pernah bertugas di Panama, Somalia dan ketika Perang Teluk telah diberikan arahan pada minggu lalu untuk dihantar ke lokasi yang tidak dinyatakan.
- AFP