Oleh : Aman Rais
Semasa Naib Presiden Amerika, Al Gore melahirkan sokongannya kepada gerakan reformasi tiga tahun lalu, beliau dilabel sebagai 'biadap dan kurang ajar.' Beliau dikutuk kerana cuba campur tangan dalam urusan negara ini.
Peristiwa itu menjadi ‘sejarah hitam’ dalam hubungan Malaysia-Amerika Syarikat. Baru-baru ini Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew pula meniru lagak Al Gore itu. Bezanya, kali ini Lee tidak menyeru reformasi atau ‘doimoi’ tetapi menghentam gabungan parti pembangkang, terutamanya PAS.
Lee mempunyai agenda serampang dua mata dalam kunjungannya kali ini. Beliau bukan sekadar mahu mendapatkan bekalan air dari Malaysia tetapi datang untuk menghulurkan sokongan moral kepada sahabat baiknya, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir dan Umno yang telah kehilangan sokongan Melayu terpaksa mendapatkan ‘bantuan asing’ untuk menghentam PAS. Satu-satunya ‘agen asing’ yang sudi membantu Perdana Menteri adalah Lee, yang mempunyai banyak kepentingan di negara ini.
Perdana Menteri tidak boleh mengharapkan ‘orang asing’ dari Barat untuk membantunya kerana mereka tidak terhutang budi dengan negara ini. Orang Barat tidak memerlukan bekalan air Malaysia, oleh itu mereka tidak boleh disuruh atau dipaksa untuk memburuk-burukkan PAS.
Singapura sangat memerlukan bekalan air. Mereka mahu 750 juta gelen air mentah selepas tahun 2061. Sebagai ganjaran ‘keceluparan’ mulut Lee itu, Singapura akan mendapat 350 juta gelen air.
Sebagai bayaran kepada kesediaan Malaysia untuk memberikan air itu, Singapura menawarkan 12 bidang tanah di Bukit Timah dan bersetuju dengan kenaikan tarif daripada tiga sen kepada 45 sen.
Kerajaan negara ini bukan sahaja mendapat ganjaran kewangan dan aset tetapi juga habuan politik apabila Lee menyatakan: “Lebih baik isu tertangguh diselesaikan sekarang dengan kerajaan diterajui Umno yang berpegang pada janji.”
Lee sebelum datang ke Kuala Lumpur juga telah mengeluarkan kenyataan membidas PAS apabila melahirkan kebimbangannya terhadap perkembangan pengaruh parti Islam itu sekarang.
Kelancangan Lee menempelak PAS boleh dikatakan satu bentuk ‘campur tangan asing’ - mirip tindakan biadab Al Gore. Tetapi kenyataan Lee tidak diperbesar-besarkan atau dijadikan momokan kerana ia memberikan faedah politik kepada parti pemerintah sekarang.
Anjakan moral untuk Umno
Kerajaan berharap kebimbangan Lee itu akan membuka mata pengundi-pengundi bukan Islam terhadap ancaman yang mungkin ditimbulkan oleh PAS di negara ini dan kepada negara-negara jiran apabila ia berkuasa.
Dr Mahathir dan Umno pula tentunya menerima kenyataan Lee itu sebagai satu pujian atau penghargaan kerana ia senada dengan irama politik mereka. Campur tangan Lee itu pastinya memberikan anjakan moral kepada kerajaan yang sedang bertungkus-lumus mahu membendung pengaruh Barisan Alternatif, terutamanya PAS.
Adakah semua ini kebetulan atau suatu yang sengaja dirancang oleh Lee sebagai strategi untuk mengambil hati Dr Mahathir agar bertolak ansur dalam rundingan dua hala mereka?
Mengapa perlu Singapura berasa terancam dengan pengaruh PAS di negara ini? Sebenarnya republik itu tidak mempunyai sebab untuk takut kepada sebuah kerajaan baru yang akan diterajui oleh PAS selepas tahun 2004 (andai kata Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum akan datang) kerana parti-parti pembangkang tidak pernah meminta bekalan air ke pulau itu dipotong.
Lee sengaja menimbulkan isu ini untuk menyedapkan hati kerajaan Malaysia. Lee berjaya mengabui mata rakyat negara ini dengan kata-kata ‘kurang ajar’ terhadap PAS sedangkan pada masa yang sama beliau sebenarnya memberi amaran kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia bahawa ‘jangan cuba bermain api dengan Singapura.’
Semasa menjawab soalan berhubung kemungkinan Malaysia akan menyekat bekalan air kepada Singapura, Lee menegaskan:
“Tiada kerajaan yang rasional akan mengambil langkah yang boleh mengundang campur tangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan tindakan daripada kami untuk mempertahankan kepentingan kami.”
Jelas sekali jawapan beliau itu mengandungi amaran keras terhadap sebarang percubaan untuk menyekat bekalan air ke negaranya. Apakah ertinya “tindakan daripada kami untuk mempertahankan kepentingan kami”?
Adakah ia satu tindakan diplomatik, ekonomi, ketenteraan atau lain-lain yang boleh dianggap sebagai ‘mempertahankan diri’?
Dalam lembut dan penuh diplomasi, Lee memaksa dan mengugut kita agar terus membekalkan air kepadanya. Dalam kita tenggelam dengan kebencian terhadap sesama sendiri, Singapura memperlekehkan kita!
.........................................................
Petikan Malaysiakini.com