Oleh CK Tan
Dalam kajian saya terhadap pelbagai agama di dunia, perhubungan di
antara para penganut agama Yahudi-Kristian-Islam yang paling
merunsingkan saya.
Sebagai seorang penganut agama Buddha yang bergaul rapat dengan para
penganut Islam dan Kristian, agama saya bukan sahaja sering disindir
sebagai pemuja berhala, malahan saya kerap kedengaran suara kutuk-
mengutuk di kalangan umat Islam dan penganut Kristian.
Misalannya, serangan pengganas terhadap World Trade Center (WTC), New
York dan Pentagon, Washington di Amerika Syarikat telah dianggap oleh
sesetengah kawan Muslim saya sebagai "padan muka" dengan merujuk
kepada Quran, sementara kawan-kawan Kristian saya (khususnya yang
bermahzab Protestant) pula beranggapan bahawa Amerika harus
mengisytiharkan perang terhadap "Islam" dengan merujuk kepada Kitab
Injil.
Apabila saya cuba mendalami ekonomi dunia termasuk Amerika, fikiran
saya semakin kusut. Saya juga mendapati ia sebenarnya dikuasai oleh
para kapitalis Yahudi yang kini mengawal dasar-dasar luar negara itu
di sebalik tabir. Memandangkan Amerika merupakan kuasa ekonomi
terbesar buat masa ini, mahu tidak mahu, persada politik dunia telah
berjaya dimanipulasi oleh kapitalis Yahudi bagi mengekalkan
kepentingan para kapitalis Yahudi menurut fahaman Zionisme yang
menumpang nama agama dan Tuhan.
Walaupun pada dasarnya pertelingkahan di antara Israel-Palestin
merupakan satu isu politik, tetapi lantaran dasar-dasar luar negara
Amerika yang berat sebelah, ia telah merebak menjadi satu isu agama-
seolah-olah ia satu perjuangan jihad atau peperangan salib baru di
antara para penganut Yahudi-Kristian yang bertopengkan fahaman
sekularisme dengan umat Islam yang memperjuangkan atas jalan Islam di
seluruh dunia.
Nabi Isa selamatkan Eropah
Lebih daripada itu, Amerika Syarikat seolah-olah telah dicerminkan
sebagai peradaban Barat itu sendiri. Malahan ada sesetangah sarjana
dan penulis Islam beranggapan bahawa peradaban Barat ini adalah
bertunjangkan fahaman sekularisme semata-mata. Bagi mereka tamadun
moden yang kini dicapai oleh Amerika Syarikat dan oleh Eropah pada
beberapa kurun lepas adalah merupakan hasil daripada dunia Barat
menyingkirkan ajaran agama mereka, yakini agama Kristian. Pada hemat
saya, ini merupakan satu prejudis, fitnah atau kejahilan dunia Islam
terhadap dunia Barat yang terbesar.
Selain daripada ajaran Socrates yang sebenarnya berasaskan ajaran
agama dengan Tuhan yang Esa, ajaran Nabi Isalah merupakan asas batu
yang paling penting dalam menyumbangkan kepada pembentukan tamadun
Barat hari ini, termasuk Amerika Syarikat yang mengalihkan tapak
peradaban Barat dari Benua Eropah ke Benua Amerika Utara.
Ajaran-ajaran Nabi Isa seperti manusia harus bersaudara dan saling
mencintai sekalipun terhadap musuh diri telah berjaya menyelinapi
jiwa orang-orang Barat dan telah membawa banyak perubahan terhadap
dunia Barat pada zaman Empayar Rom. Tatkala itu dunia Barat semakin
merosot, yakni sejak kejatuhan tamadun Yunani yang sering dikaitkan
dengan kemangkatan maharaja Yunani- Iskandar Zulkarian.
Pewarisnya- kerajaan Empayar Rom yang gagal menghayati kehidupan
beragama dan berfalsafah orang-orang Yunani hanya sekadar mampu
mewarisi dan memeliharakan segala khazanah tamadun Yunani dengan
kuasa tenteranya. Mereka telah kehilangan daya pemikiran yang kreatif
dan inovatif dalam membangunkan dunia Barat ke satu tahap yang lebih
tinggi. Sebagaimana tamadun-tamadun dunia yang lain yang merosot gara-
gara ketandusan cendekiawan-cendekiawan yang berpandangan jauh dan
berdaya maju, Empayar Rom juga menemui jalan buntu yang sama.
Kedatangan ajaran Nabi Isa bukan sahaja telah menyelesaikan kemelut
ini, malahan telah menenteramkan naluri liar orang-orang gasar di
Eropah. Ini adalah sepertimana ajaran Islam yang telah berjaya
mengasuh bangsa Arab dan Turki yang berjiwa liar menjadi bangsa yang
bertamadun dan mengagumkan sungguhpun ajarannya bermaksud untuk
seluruh dunia dan umat manusia. Melalui pembinaan gereja-gereja yang
berperanan sebagai pusat menuntut ilmu dan mengerjakan kebajikan,
orang-orang gasar yang tidak berasal daripada mana-mana peradaban
dunia ini mula merasai kenikmatan beragama dan menikmati bersahabat
seiman.
Dengan keruntuhan banyak pusat pendidikan dan kebajikan akibat
daripada peperangan, gereja-geraja berkenaan telah menjadi tempat
perlindungan utama bagi para ilmuwan dan rakyat jelata yang tidak
berdosa. Ajaran Nabi Isa memang lebih bersifat demokratik berbanding
dengan agama aristokratik kerajan Empayar Rom yang semakin
menyeleweng daripada ajaran Socrates yang sebelum ini menjiwai
tamadun Yunani dan pernah mengilhamkan Plato, Aristotle dan Iskandar
Zulkarian. Selain daripada hakikat bahawa komposisi sosial gereja
yang telah menghimpunkan kelas bandar dan bawahan, ajaran Nabi yang
menekankan roh manusia sama-sama bernilai di sisi Tuhan telah menarik
jiwa manusia orang-orang Rom yang kaya tetapi bercita-cita tinggi,
dan orang-orang gasar yang miskin tetapi berpotensi tinggi.
Contohnya, Maharaja Constantine telah mengiktirafkan agama Kristian
sebagai agama rasmi emapayar Rom pada tahun masihi 324 lalu memeluk
agama Kristian dan kenyataan bahawa memang menjadi tradisi agama
Kristian mengambil pegawai tinggi di gereja-gereja daripada golongan
yang bertaraf rendah. Pengiktirafan dan tradisi berkenaan secara
tidak langsung telah mempengaruhi masyarakat Rom yang terkemudian
kerana kelihatan jauh lebih demokratik daripada Empayar Rom yang
terdahulu yang mengabaikan kepercayaan ajaran agama dan bersifat
diktator.
Setelah institusi agama Kristian tidak lagi ditindas oleh kerajaan
Rom malahan diterima sebagai agama rasmi empayar itu, budaya
birokrasi Empayar Rom yang terdahulu pula beransur-ansur mengakar dan
dihidupkan semula.Para pegawainya mula meluapai ajaran Nabi, hatta
menggilakan kuasa dan cuba menguasai kepentingan dunia atas nama
agama. Secara perbandingan, orang-orang gasar yang telah menguasai
sebelah barat Benua Eropah dan baru "dijinak" oleh ajaran Nabi serta
tidak mewarisi beban institusi betamadun Empayar Rom mula membangkit.
Mereka berusaha membina sebuah masyarakat yang baru dengan
menggunakan pelbagai warisan kebudayaan dan pemikiran jiran-jirannya
yand dekat, yakni ilmu-ilmu klasik Yunani (yang terpelihara di negara-
negara Islam pada zaman itu), sistem pentadbiran dan perundangan
Emapayar Rom yang menguasai Eropah Timur dan juga semangat menuntut
ilmu orang-orang Islam. Malahan mereka sanggup menjelajahi sejauh ke
Benua India dan China semata-mata untuk mencari ilmu dan peluang
baru.
Hasilnya, dalam tempoh kurang daripada tiga abad sahaja, orang-orang
gasar ini telah membantu Eropah membangkit semula dan mencapai paras
tamadun yang setaraf dengan mana-mana bahagian di dunia. Malangnya,
dalam keghairahan mereka mencari kekayaan baru dan memperluaskan
pengaruh politik, mereka telah mengabaikan ajaran Nabi yang menyeru
umat manusia supaya "sayangi jiranmu seperti dirimu sendiri"
dan "perlaku terhadap orang lain lain sepertimana kamu ingin
diperlakukan terhadap dirimu sendiri".
Ironisnya, pada permulaan proses penaklukan mereka terhadap negara-
negara lain di Benua Afrika, Asia dan Amerika, ajaran-ajaran inilah
yang diisytiharkan dengan bersemangat atas nama Tuhan sebagai
dorongan untuk melakukan penaklukan. Akibatnya mereka bukan sahaja
menggunakan kekerasan dan ketenteraan untuk menindas peribumi,
malahan berperang di anatar satu sama lain di kalangan mereka
lantaran kepentingan kebendaan. Akibatnya, banyakkan peperangan telah
meletus di bumi mereka sendiri seperti Perang Tiga Puluh Tahun,
Perang Dunia Pertama dan Kedua.
Nabi Isa di Amerika
Sementara para penakluk dan pengusaha Barat mengelsploit tenaga buruh
dan menggondolkan kekayaan semulajadi peribumi, sekali lagi pendakwah
Kristian telah memainkan peranan yang penting dalam menegakkan ajaran
Nabi di bumi Amerika Syarikat.
Mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memelihara hak-hak
penduduk peribumi dengan menubuhkan sekolah-sekolah dan hospital-
hospital yang banyak. Mereka juga sering mendesak kerajaan penjajah
British dan mengingati para penghijrah dari Eropah supaya turut
melindungi hak-hak peribumi melalui khutbah pada hari Ahad dan dakwah
seharian. Keturunan para penghijrah Eropah yang lahir di Amerika yang
merupakan generasi baru di bumi baru ini semakin membelakangkan
semangat teologi yang bapa-bapa mereka warisi daripada rejim lama di
Eropah. Kasih sayang, kebebasan dan keadilan yang merupakan asas
perjuangan Nabi yang telah semakin luntur di bawah pemerintahan rejim
lama telah dihidupkan semula. Ia mula bercambah di sanubari rakyat
jelata bagi sebuah negara yang baru merdeka dan bakal menjadi kuasa
baru, yakni Amerika Syaraikat.
Pelbgai ide baru telah dikemukakan oleh pemimpin dan rakyatnya untuk
dijadikan wahana baru sebagai dukungan ajaran Nabi seperti
pengharaman sistem pengabdian, kesamarataan antara kaum, agama dan
jantina serta kebebasan bersuara dan berhimpun. Sebagai balasannya,
Amerika telah berjaya memeliharakan kekuatannya sebagai kuasa dunia
utama. Terutamanya setelah negara Rusia yang sebelum ini menganuti
fahaman komunisme dan menolak ajaran Nabi mengalami kerobohan.
Malangnya, ketika negara-negara saudara mereka di Eropah sedang
mengkaji kesilapan-kesilapan mereka yang lalu setelah mengalami
musibah Perang Dunia Kedua angkara penyimpangan mereka daripada
ajaran Nabi, kini Amerika pula yang sebaliknya menjejaki jalan mati
yang pernah dijalari oleh saudara-saudara mereka di Eropah.
Ini amat jelas dengan dasar-dasar luar negaranya bersifat menindas
umat manusia lain semata-mata untuk kepentingan kerajaan Amerika
Syarikat yang sempit seperti penjualan senjata ciptaan mereka secara
besar-besaran kepada dunia ketiga dan menyokong dictator di negara-
negara berkenaan.
Selaras dengan kepentingan kebendaan Amerika, kerajaannya telah
menyokong rejim Israel yang menindas rakyat Palestin, medalangi
beberapa peperangan yang telah meragut banyak jiwa manusia seperti
Perang Iran-Iraq, Perang Vietnam dan Perang Korea, mengadu-dombakan
beberapa puak atau negara supaya melahirkan konfrotasi di rantau
Benua Afrika (Somalia dan Sudan), Asia Kecil (seperti di golongan
Taliban yang pernah disokong olehnya) dan Asia Timur (China-Taiwan).
Pengalaman di Malaysia
Saya memang gemar membaca buku-buku dan majalah-majalah terbitan
agama Islam dan Kristian kerana ia membuka minda saya terhadap
pandangan dunia dan kerohanian agama-agama lain. Akan tetapi jiwa
saya terusik apabila terlintas membaca rencana/surat yang menyentuh
isu-isu seperti gerakan Kristinasasi yang kononnya didalangi oleh
mubaligh-mubaligh Kristian protestant dari Amerika Syarikat bagi
pihak Islam.
Di sebelah pihak Kristian pula, pendakwah Kristian pula dikatakan
ditindas dan dianiayai. Ia sering dibicarakan di luar pertimbangan
asas-asas ajaran agama yang bertujuan menjalin silaturahim di
kalangan umat manusia yang berbeza agama. Lebih malang lagi, ia
kadang kala dijadikan isu politik dengan penuh emosi dan kebiasaannya
merebak di luar kawalan akal yang waras. Saya bingung akan sebab-
sebab mengapa rakyat jelata yang berketurunan orang Melayu kurang
menghadapi masalah bergaul rapat dengan para penganut agama Buddha,
Tao, Confucious yang kononnya pemuja patung, walaupun mereka masih
menemui sedikit masalah, yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan
mudah, dengan para penganut Hindu.
Padahal, Nabi Isa yang dianuti oleh para penganut Kristian merupakan
saudara "kitabiah" umat Islam. Sehubungan itu, melalui pemerhatian
dan perbualan saya dengan beberapa kawan dari negeri Sarawak,
nampaknya perhubungan para penganut Kristian terhadap "Islam" juga
tidak kurang renggang berbanding dengan keadaan di Semenanjung
Melayu. Sungguhpun demikian, selagi isu-isu yang berkaitan dengan
agama tidak dipolitikkan, dari keseluruhannya silaturahim di kalangan
penduduk negeri Sarawak yang terdiri daripada sejumlah besar penganut
Kristian dan sebahagian Muslim masih boleh dikatakan mesra.
Malangnya, pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak kali ini,
selain daripada isu tradisi "negara Islam", isu-isu lain yang
berkaitan dengan "jihad" juga telah diekslpoit oleh Barisan Nasioanl
(BN) dengan sepenuhnya. Contohnya, isu beberapa ahli Kumpulan Militan
Mujahidin (KMM) yang kononnya mempunyai hubungan dengan sebuah
kumpulan anatarbangsa "penggans Islam". Tentulah isu serangan
pengganas terhadap Amerka juga merupakan "durian runtuh" bagi BN
untuk mengungkit-ungkitkan sentimen perkauman dan agama para
pengundi.
Rumusan
Dengan melihat sentimen-sentimen agama yang terbawa-bawa oleh para
umat Islam dan penganut Kristian dalam membicarakan isu serangan
pengganas terhadap Amerika, hati saya amat sakit. Mengapa ajaran Nabi
Isa a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w. yang menyeru manusia supaya hidup
aman damai, kenal-mengenali, sayang-menyayangi dan bantu-membantu
telah berkubur begitu sahaja tanpa sedikit belas kasihan dan rasa
kesal.
Inikah kasih sayang- ajaran Nabi Isa yang Amerika Syarikat ingin
dukung? Apakah umat Islam yang bergembira kerana serangan tersebut
telah mengerti maksud sebenar keadilan yang ditegakkan oleh Nabi
Muhammad? Barangkali saya hanya sekadar mampu menakung titisan air
mata saya dalam hati kerana melihat masalah ini kekal menjadi satu
masalah rumit tetapi saya masih gagal memberikan jawapannya.
...............................
Harakahdaily.com