Oleh : BERITA MINGGU
MUQADDIMAH
Interviu dengan Ustaz Fadzil Noor ini telah disiarkan oleh sebuah akhbar mingguan tidak lama dulu. Bagaimanapun, apabila DAP mengumumkan keluar pakatan Barisan Alternatif selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS (tanpa Fadzil), kami merasakan perlu disiarkan semula hasil wawancara itu, sekurang-kurangnya untuk menggambarkan bagaimana kesediaan Presiden PAS itu untuk bertolak-ansur.
Boleh Datuk perjelaskan kemelut di antara PAS dan DAP mengenai hasrat PAS menubuhkan negara Islam, yang menyebabkan DAP mengugut keluar daripada pakatan pembangkang?
FADZIL NOOR: Perkara yang dibangkitkan DAP ialah perkara yang sudah kita bincang kerana kita buat persetujuan akan berbincang hanya mengenai manifesto bersama pakatan. Tidak berbangkit soal negara Islam dalam manifesto dan tidak sepatutnya isu berkaitan negara Islam ini diperbincangkan lagi kerana PAS sudah bersetuju dengan manifesto.
Jadi tidak wajar bagi DAP mempertikaikan isu ini lagi dan saya fikir DAP harus menimbang semula keputusan untuk meninggalkan pakatan kerana masa ini ia bukan saja penting untuk pakatan tapi juga penting bagi rakyat Malaysia untuk membuat pilihan dalam pilihanraya akan datang.
Adakah dalam manifesto 1999 disebutkan hasrat untuk menubuhkan negara Islam secara khusus?
Tidak ada … memang tidak ada. Dalam manifesto kita menghormati pendirian parti masing-masing. Kita menyedari pakatan itu gabungan parti yang mempunyai idealogi berlainan, tetapi kita bersetuju untuk beri tumpuan kepada isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah … isu yang kita jadikan agenda utama untuk perjuangan pakatan.
Jadi kita komited dengan isu ini dan sudah lama kita bersama dalam pakatan, kita akan bersama memperjuangkan isu ini dan tidak berbangkit soal penubuhan negara Islam dalam pakatan. Saya harap pihak DAP akan menyedari ini dan tidak lagi membangkitkan lagi soal meninggalkan pakatan.
Adakah Datuk maksudkan isu negara Islam ini akan ‘ditutup buat sementara waktu’?
Yalah, kita sudah menyatakan pendirian kita ini pada kepimpinan DAP dan pakatan yang kita bersetuju untuk berpegang kepada manifesto dan isu negara Islam ini memang tidak berbangkit dalam pakatan. Tapi apa yang berlaku ialah satu insiden dan kita sudah memberi penjelasan dan harap DAP dapat memahami keadaan.
Maksud Datuk, PAS tidak lagi akan membangkitkan isu negara Islam ini?
Ya, di dalam pakatan pembangkang saja.
Tapi bagaimana pula tujuan dan hasrat PAS untuk tubuhkan negara Islam?
Itu adalah dasar perjuangan PAS. begitu juga dengan matlamat DAP dengan dasarnya untuk wujudkan Malaysian Malaysia, adakah mereka akan menggugurkan matlamat itu. Begitu juga ideologi sosialis PRM (Parti Rakyat Malaysia) … mereka juga tidak menggugurkan dasar mereka.
Tapi dalam konteks pakatan, kita sudah nyatakan kita akan laksanakan program untuk negara jika rakyat memberi kepercayaan kepada kita iaitu dengan apa yang dipersetujui di dalam manifesto.
Tapi, bukankah ini nanti akan bercanggah terutama sekiranya pakatan diberi mandat pada masa depan. Tidakkah isu negara Islam ini akan terus menghantui kerjasama di kalangan parti dalam pakatan?
Tidak, kita komited kepada perjanjian. Manifesto ini dianggap satu dokumen perjanjian dan semua pihak akan mematuhinya. Tidak ada pihak yang melanggar perjanjian dan Islam sendiri menuntut supaya perjanjian itu dihormati dan dengan itu kita menghormati perjanjian itu. Jadi tidak berbangkit di dalam pakatan mengenai penubuhan negara Islam. Kita berharap kenyataan dan penegasan ini jelas bagi DAP dan tidak perlu lagi mengungkit.
Jadi arahan Datuk kepada semua ahli PAS ialah jangan lagi menimbulkan isu negara Islam?
Ini sebenarnya bukan satu arahan, tetapi keputusan yang diambil dalam kepimpinan parti.
Ini keputusan yang terbaru?
Ya, dalam konteks pakatan pembangkang, kita mendokong manifesto.
Tapi sekiranya DAP keluar, sejauh mana ia akan menjejaskan kekuatan pakatan pembangkang?
Oleh kerana kita tidak mahu mana-mana komponen meninggalkan pakatan, jadi kita tidak membuat apa-apa kajian mengenai kesan itu. Apa yang kita harapkan semua parti komponen pakatan akan kekal di dalam pakatan. Saya harap ia tidak berlaku … kalau berlaku juga kita akan kaji kemudian.
Nampaknya PAS banyak bertolak ansur dan tunduk kepada tekanan daripada DAP, terutama apabila pemimpinnya seperti Karpal Singh terang-terang menentang idea penubuhan negara Islam?
Sebagai parti Islam kita berpegang kepada janji dan apa yang sudah dipersetujui. Jadi semua pihak menghormati perjanjian … bukan soal tunduk kepada mana-mana pihak.
Sekiranya pakatan pembangkang diberi peluang memerintah pada masa depan, adakah gagasan menubuhkan negara Islam ini akan dibangkitkan semula?
Kita akan berpegang kepada manifesto. Isu negara Islam tidak akan timbul di dalam konteks pakatan.
Tetapi bagaimana dengan perjuangan PAS untuk mewujudkan sebuah negara yang benar-benar Islam?
Kalau kita menang, kita tidak boleh bawa agenda sendiri, tanpa persetujuan rakan dalam satu badan gabungan. Tetapi ini tidak bermakna perjuangan asal diketepikan … tidak. Perjuangan asal itu tetap juga akan menjadi satu objektif yang terunggul.
Tapi dalam konteks semasa kita berpegang kepada manifesto yang kita persetujui bersama dan sebagai parti Islam kita berpegang kepada perjanjian.
.........bersambung