Oleh : ISMA MAN
SUNGAI PETANI : Bekas Ketua Polis Negara yang pernah dihukum penjara selama dua bulan kerana kesalahan mencederakan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dilantik sebagai Yang Dipertuan Negeri Melaka menggantikan Tun Syed Syeh Ahmad Shahbudin yang akan ditamatkan kontraknya dalam tempoh terdekat ini.
Setiausaha Eksekutif Pemuda KeADILan Pusat, Zahid Mat Arip yang mendedahkan demikian berkata, pejabat Ketua Menteri Melaka sudahpun dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
“Saya mendapat maklumat bahawa Perana Menteri menasihati Seri Paduka Baginda Yang di -Pertuan Agong agar menandatangani surat pelantikan itu,” katanya dalam ceramah Bebas 2 anjuran Parti KeADILan Bahagian Merbok di Dewan Lip Seang Khor di sini baru-baru ini.
Pendedahan Ketua Pemuda KeADILan Melaka itu amat mengejutkan kira-kira 2000 hadirin kerana sekiranya benar perlantikan itu bermakna ia adalah sejarah baru bagi Melaka dan negara ini kerana bekas banduan menjadi Yang Dipertuan Negeri.
“Rakyat Melaka akan bangkit sepertimana bangkitnya Hang Jebat menentang kezaliman sultan dan saya atas nama Ketua Pemuda KeADILan Melaka akan mengumpul tandatangan seluruh rakyat Melaka bagi membantah pelantikan itu,” katanya yang juga cucu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba.
Rahim Noor adalah orang yang bertanggungjawab melebamkan mata dan mencederakan Anwar Ibrahim ketika bekas Menteri Kewangan itu berada dalam tahanan polis di Bukit Aman.
Majlis ceramah Bebas 2 mendapat sambutan di luar jangkaan meskipun pelbagai larangan dan halangan dilakukan oleh pihak berkuasa. Turut berceramah pada malam itu ialah Naib Ketua KeADILan Pusat, N. Gobalakrishnan, Ketua Pemuda KeADILan Pulau Pinang, Johari Kassim, Ketua KeADILan Bahagian Sungai Petani, Johari Abdul dan ADUN Lunas, Saifuddin Nasution Ismail yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan Pusat.