Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


KENYATAAN MEDIA – BOIKOT KAMUNTING 21HB SEPTEMBER 2001

Kami melahirkan rasa bimbang di atas keadaan kesihatan enam orang tahanan politik iaitu Saari Sungib, Mohamad Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Lokman Noor Adam dan Dr. Badrulamin Bahron. Mereka nampak susut dan pucat. Berat badan turun antara 2-9 kg dalam masa seminggu.

Sudah hampir 10 hari mereka tidak menjamah nasi di Kem Tahanan Kamunting. Mereka hanya memakan biskut yang dibeli dari kantin kem. Ini berlaku atas keputusan mereka menunjukkan protes di atas sikap pihak berkuasa yang terus mengasingkan mereka walaupun setelah lebih 3 bulan ditahan. Ianya tidak pernah berlaku sebelum ini. Kebiasaannya tahanan akan digabungkan bersama setelah 1-2 bulan tahanan.

Pegawai Yang Menjaga (Ketua Komandan) kem, Encik Zawawi A. Rahim mengesahkan kepada mereka bahawa keadaan itu adalah atas arahan pihak atasan iaitu Kementerian Dalam Negeri. Beliau mengakui menghadapi kesukaran dari segi pentadbiran kakitangan kem dengan pengasingan berterusan. Dengan pengakuan tersebut, suami kami dan rakan telah mengutus surat kepada Menteri Dalam Negeri melalui Pegawai Yang Menjaga (PYM) meminta penjelasan. Surat tersebut bertarikh 16 September 2001.

Tindakan boikot adalah wajar sebagai menunjukkan bantahan mereka terhadap perkara berikut :

1. Lawatan keluarga di mana keluarga hanya berjumpa tahanan dalam keadaan dipisahkan oleh jaring besi. Perjumpaan tersebut sentiasa diawasi dengan kehadiran seorang atau lebih pegawai penjara. Ahli keluarga juga hanya dihadkan kepada mereka yang tersenarai oleh Kementerian Dalam Negeri. Ini tidak berlaku kepada tahanan yang lain.

2. Surat keluarga yang diterima atau dihantar akan ditapis malahan pernah dipadamkan ayatnya, atau disimpan beberapa lama sebelum dihantar keluar atau diberikan kepada mereka.

3. Makanan yang diberikan oleh pihak kem juga tidak berzat di mana mereka diberikan nasi berlaukkan ikan masin sebanyak 5 kali seminggu. Keadaan ini turut menjejaskan kesihatan mereka di mana ada di antara mereka telah mengalami tekanan darah tinggi dan juga kadar kolestrol yang tinggi.

4. Mereka memohon agar tidak ada sebarang sekatan bagi mereka mendapatkan maklumat dan berita. Akhbar yang diterima oleh mereka telah terlebih dahulu ditapis dan hanya diberikan akhbar yang berlubang. Bahan-bahan bacaan kepada mereka juga telah dihadkan kepada 3 jenis setiap kategori majalah, bahan bacaan umum dan buku-buku agama.

5. Pengasingan 6 tahanan kepada 3 blok dimana 2 tahanan dalam satu blok yang boleh memuatkan 20 orang.

6. Penafian hak untuk mengerjakan solat Juma’at sepanjang mereka ditahan. Sehingga kini sudah 5 bulan mereka tidak dapat menunaikan solat Juma’at.

Oleh itu, kami keluarga tahanan ISA mendesak tekanan langsung Kementerian Dalam Negeri dihentikan serta-merta. Kami juga bercadang membawa kes ini ke Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk dibawa ke SUHAKAM, UN dan badan-badan dalam dan luar negara yang lain. Penahanan mereka di Kamunting adalah tidak sah, bermotifkan politik dan tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan negara. Mereka harus dibebaskan serta-merta.

Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 23 September 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com