Mungkin di tengah kesibukan dengan berita-berita pilihanraya Sarawak dan kejutan yang masih belum reda akibat serangan berani mati ke atas WTC, N.York dan Pentagon, kita tidak sempat memerhatikan satu perkara yang sedang berjalan dalam negara kita yang saban tahun diulang-ulang; iaitu berlangsungnya upacara musabaqah AlQuran peringkat kebangsaan di Pahang Darul Makmur. Ia berlangsung untuk kali yang ke 44. Ini bermakna telah empat puluh empat tahun musabaqah AlQuran itu diadakan di negara kita. Pelbagai kritikan telah dilemparkan terhadap pertandingan ini sehingga memaksa pihak berkuasa BN menukar nama pertandingan kepada musabaqah, dan kini Tilawah AlQuran yang kesemuanya membawa maksud yang sama; iaitu pertandingan membaca AlQuran. Di sinilah satu-satunya negara yang mempertandingkan bacaan AlQuran; kitab suci umat Islam itu.
Dari kecil lagi penulis telah pun mendengar suara alunan lemak merdu dari Rogayah Sulong yang membawakan lagu-lagu yang pelbagai dari bacaannya sehingga menyebabkan mereka yang dewasa akan memekik Allaaah, Allaaaaah dengan memanjangkan aaa nya mengingatkan betapa merdunya suara itu di waktu dia muda-muda dahulu. Cuma yang agak peliknya kadangkala sampai kepada ayat azab, umpamanya azaabas sa'iir, (azab yang bersangatan) , mereka masih menghantuk-hantukkan kepala ke tiang tempat bersandar di kedai kopi, di mana suara radio boleh didengar dengan jelas. Inilah lambang ketidakfahaman tentang apa yang didengar oleh orang-orang tua itu.
Soalnya kini, sudah sampai ke pusingan yang ke 44, bermakna telah 44 tahun negara kita mengadakan tilawah ini, tetapi apakah bertambah kefahaman umat Islam tentang agamanya dari usaha tilawah itu? Apa yang jelas, gejala sosial kian meningkat di negara kita terutama di kalangan anak-anak muda yang kurang menghampiri masjid dan tok guru-tok guru yang berusaha memberikan kefahaman tentang Islam yang kita anuti. Peranan tok.tok gurulah yang memberikan kita kefahaman yang lebih baik tentang Islam. Begitulah nampaknya bahawa tilawah AlQuran yang ditaja saban tahun oleh kerajaan BN itu tidak memberikan sebarang sumbangan terhadap perkembangan Islam di negara ini, selain dari membuang waktu, wang dan tenaga. Kadangkala kita pun hairan juga bagaimana sesetengah orang kita bertungkus lumus belajar membaca AlQuran dari peringkat umur kanak-kanak hinggalah ke peringkat dewasa. Mereka akan tetap mencari seorang Ustaz yang sedia mengajar membaca AlQuran sebagai cara penghayatan Islam yang dikira paling afdal bagi sesetengah orang. Malangnya mereka tidak pula bertungkus-lumus berusaha dalam memahami isi kandungan dan arahan-arahan, hukum-hukum, undang-undang dan sebagainya yang terdapat dalam kitab suci itu. Itulah Islam bagi kebanyakan orang Melayu suatu ketika dahulu, dan masih terdapat sebahagiannya yang beramal sedemikian rupa sehingga ke hari ini. Pertandingan membaca AlQuran itu adalah manifestasi dari amalan serupa ini.
Sampai bilakah kerajaan BN akan menaja majlis serupa itu? Kita bukan tidak menggalakkan umat Islam membaca AlQuran secara tartil, tetapi hanya sekadar pembacaan sahaja sepanjang 44 tahun itu, apalah yang dapat difahami oleh umat Islam? Bahkan sebaliknya pula berlaku, orang-orang yang mahir membaca kitab suci itu menentang habis-habisan apabila ada sebahagian umat Islam mengajak kembali kepada ajaran Islam yang murni, dengan pemahaman yang betul dan mengikut jejak para pendahulu kita iaitu ulama-ulama silam hinggalah ke sahabat-sahabat Nabi SAW. Mereka menentang habis-habisan bila kita mengajak kembali mengamalkan apa yang terkandung di dalam AlQuran itu, kembali mengamalkan Islam dari peringkat individu hinggalah kepada kehidupan bernegara sepertimana yang dilakukan oleh umat Islam yang terdahulu. Inikah pemahaman yang mereka dapat dari musabaqah AlQuran sepanjang 44 tahun itu?
Barangkali inilah Islam yang dimahukan oleh BN/Umno, atau oleh Assyahid Syed Qutb disifatkannya sebagai Islam cara Amerika! Islam sebeginilah yang tidak akan dimarahi oleh mana-mana penguasa di dunia ini hatta oleh Amerika sendiri. Jadi, apakah perlunya kita meneruskan pertandingan membaca AlQuran itu, sedang kita sendiri tahu ia bukanlah sebuah kitab yang ditanzilkan untuk dipertandingkan?
AlKundangi,
28.9.2001