Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


DAP kini di persimpangan jalan

Lee Ban Chen

Kongres Kebangsaan DAP ke-13 telah berlangsung pada 18-19 Ogos 2001 di Federal Hotel Kuala Lumpur. Tampaknya parti itu gagal menampilkan imej baru bagi mengatasi jalan buntu berkaitan isu negara Islam yang menjadi cabaran terbesar kongres kali ini.

Lim Kit Siang masih menjadi tumpuan media terutamanya mengenai permintaan ketua pemuda DAP Teng Chang Khim yang secara terbuka meminta beliau menolak pencalonan semula sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bagi membuka jalan kepada pemimpin pelapis parti itu.

Di samping itu, satu resolusi juga mencadangkan supaya jawatan Setiausaha Agung dan Pengerusi parti dihadkan kepada tiga penggal atau sembilan tahun saja. Resolusi yang julung kali dibuat itu jelas dituju kepada Kit Siang, yang telah menerajui DAP selama 32 tahun. Bagaimanapun resolusi ini tidak dibahaskan.

Episod Teng dan resolusi tiga penggal memperlihatkan kewibawaan Kit Siang dalam parti makin lemah. Menurut pengakuan Teng, tiada mana-mana kumpulan dalam DAP yang dapat melakukan apa-apa jika Kit Siang enggan berundur. Inilah tragedi DAP, mungkin juga tragedi Kit Siang sendiri!

Memang jasa Kit Siang dalam DAP dan politik negara tidak banyak dipertikaikan . Namun, pengkritik meminta Kit Sing bertanggungjawab ke atas beberapa kelemahan yang menimpa DAP sejak akhir-akhir ini. Antara lain, prestasi parti yang kurang memuaskan dalam pilihanraya umum yang lalu; kegagalan reformasi parti yang dilancarkan beberapa kali; kegagalan beliau bekerjasama dengan ramai pemimpin berpotensi yang akhirnya disingkirkan atau terpaksa berundur, kegagalan menyelesaikan pertelingkahan antara puak-puak dalam DAP di seluruh negeri; dan cara kepemimpinan beliau yang sudah luntur.

Manifesto Bersama BA

Tidak dapat dinafikan sebab utama krisis DAP-PAS timbul kerana setengah tokoh PAS, termasuk Datuk Nik Aziz dan Datuk Seri Hadi Awang untuk sekian kali mengulangi secara terbuka, hasrat PAS untuk menubuhkan negara Islam jika parti itu berkuasa kelak.. Isu ini secara terang-terangan telah terpesong daripada Manifesto Bersama BA 1999 yang padahal tidak menyentuh penubuhan negara Islam sama sekali jika BA berkuasa (bukan PAS yang berkuasa).

Pemimpin DAP seperti Karpal Singh yang bersikap ‘keras’ , manipulasi media, kelonggaran disiplin serta kegagalan kepemimpinan BA dalam menangani kontroversi tersebut dengan segera dan secara berkesan, telah menjadikan isu berkaitan menjadi suatu polemik terbuka yang melibatkan lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin daripada kedua-dua parti , sehingga ianya sukar hendak dikawali lagi.

Meskipun dua pusingan perundingan secara tertutup antara wakil-wakil DAP-PAS telah dilangsungkan, namun titik penyelesaian masih belum dicapai.

Berikutan itu, Kongres Kebangsaan DAP ke-13 membahaskan isu negara Islam untuk diputuskan sama ada DAP menarik diri atau kekal dalam pakatan BA.

Menurut liputan akhbar-akhbar, hampir 40 wakil mengambil bahagian dalam perbahasan yang cukup hangat, sehingga perwakilan menjadi dua kem: penyokong dan penentang sama ada menarik diri daripada pakatan BA.

Akhirnya kongres menyerahkan CEC yang baru untuk membuat keputusan akhir dalam tempoh yang paling singkat tanpa perlu merujuk kembali kepada kongress parti. Dengan perkataan lain, keputusan muktamad mengenai isu negara Islam masih belum dicapai.

Selamatkan pakatan BA

Memandangkan penarikan diri DAP daripada pakatan BA akan membawa implikasi besar terhadap senario politik negara kita, sudah tentu ia memberi satu tamparan hebat kepada pakatan pembangkang dan hubungan kaum dan agama. Sebaiknya CEC bersikap rasional dan tidak membuat keputusan terburu-buru, kerana peluang untuk menyelamatkan keutuhan pakatan BA masih wujud.

Padahal pendirian tegas dan munasabah yang diutarakan oleh Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor dalam temu bualnya dengan wartawan Berita Minggu (5 Ogos 2001), boleh dijadikan panduan asas bagi mencapai satu penyelesaian yang dapat diterima oleh kedua-dua parti. Antara lain, Datuk Fadzil Noor menegaskan:

PAS bersetuju Manifesto Bersama BA 1999 itu menjadi satu dokumen perjanjian yang patut dipatuhi oleh semua parti terbabit.

PAS bersetuju untuk menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan BA kerana: 1. Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; 2. Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; 3. Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian; dan 4. PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.

PAS bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan BA.

Penulis kagum dengan kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor dalam menghadapi realiti politik negara ketika ini, di samping mempertahankan idealisme PAS sebagai matlamat jangka panjang.

DAP dan parti-parti pakatan BA yang lain harus menghargai pendirian terbaru PAS yang dipaparkan oleh Presidennya seperti tersebut di atas, dan melalui usaha bersama, menyelesaikan isu negara Islam dan menyelamatkan keutuhan pakatan BA sebelum terlambat.

DAP yang berada di persimpangan jalan berkaitan halatuju politiknya tidak boleh mengambil keputusan yang silap lagi, kerana ia sudah terlalu lemah untuk menerima sebarang pukulan seterusnya. Cubalah bayangkan dalam keadaan serba salah, DAP terpaksa memencilkan diri, akhirnya tersepit di tengah-tengah BA dan BN!

Jika PAS, parti komponen terkuat sekali dalam pakatan pembangkang sanggup menyedari realiti politik negara kita, akhirnya sudi menggugurkan idealisme negara Islamnya dalam konteks pakatan dan kembali ke pangkuan pakatan BA, di manakah rasional DAP untuk berkeras hendak menarik diri daripada pakatan BA?

............................................
Petikan Malaysiakini.com






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 1 September 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com