Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


NIK ADLI YANG KU KENAL

Tragedi penangkapan Ustaz Nik Adli di bawah ISA bersama 9 orang sahabatnya di awal Ogos baru-baru ini kelihatannya sungguh mampu mengheret semua pihak untuk berkata-kata mengenainya. Saya turut mengambil bahagian sama dalam memerhati serangan-serangan musuh terhadapnya dan keluarga kami juga, khususnya ayahanda kami yang disifatkan begitu naïf untuk mengepalai teraju pemerintahan negeri dek gagal mengesan aktiviti dan pergerakan anaknya yang rupa-rupanya adalah ketua penjahat yang merancang menghuru-harakan keamanan negara melalui pembunuhan, rompakan, pengeboman dan segala tindakan ganas yang bertujuan menggulingkan kerajaan pilihan rakyat.

Saya juga memilih untuk banyak mendengar suara-suara yang bersimpati dan mempertahankan Ustaz Nik Adli, samada daripada mereka yang mengenalinya atau yang belum pernah mengenali namanya, apatah dirinya sendiri. Saya tidaklah bersungguh-sungguh mempertahankan abang saya sebagaimana orang lain. Saya rasa seronok, iman saya menjadi hidup dan seperti diberi kekuatan luar biasa untuk menyaksikan kelibat abang saya tampil di persada menggantikan ayahanda untuk berdepan dengan Dr Mahathir dan kekuatannya yang sememangnya begitu hebat.

Saya baru dua hari lepas memberi ucapan khas di hadapan 1400 orang pelajar Sekolah Menengah Agama (Arab) yang masih terpinga-pinga dengan tragedi yang menimpa guru mereka yang kasih mesra dan ketenangannya terlindung di sebalik kegarangannya di sekolah yang tersohor di kalangan mereka, bahkan di seluruh negara melalui kes mahkamah atas tuduhan mencederakan pelajarnya yang begitu hangat suatu ketika dulu.

Saya katakan dalam ucapan yang membuka mulut saya buat kali pertama itu, bahawa usahlah kamu merasa gundah dan dagang kerana takutkan Ustaz Nik Adli. Sesungguhnya Dr Mahathir pun takut juga. Ucapan relaks saya itu mendapat reaksi sungguh hebat. Para pelajar saya, saya lihat seperti bernafas gagah, seperti berkata,kami pun segagah Dr Mahathir. Bezanya, kami baik, dia jahat!

Rupa-rupanya sikap saya tidak digemari oleh beberapa orang sahabat. Mereka berkata, masyarakat tidak tahu dan mereka ingin tahu. Masyarakat tahu mereka tidak akan tahu yang sebenar jika hanya mengambil maklumat daripada akhbar-akhbar yang hidupnya hanya dengan lahap meratah daging manusia yang tidak berdosa di samping menghidangkan kehidupan dunia keji sebagai santapan harian masyarakat.

Saya cuba berhujah, tidakkah telah cukup banyak suara dan tulisan yang mempertahankan Ustaz Nik Adli dan keluarga kami. Hati saya bahkan cukup terharu dengan simpati semua pihak yang tidak putus-putus berasakan ke arah ayahanda bonda dan kami adik-beradik. Mereka menjawab, masyarakat mahukan lebih daripada itu, daripada dalam kalangan keluarga sendiri. Bukankah ayahanda adalah idola, ikutan kepada masyarakat yang dahagakan kehidupan yang diredhai Allah. Tidakkah ayahanda telah diasak hebat melalui pintu belakang oleh seteru politiknya, Dr Mahathir?

Sungguh, saya tidak selesa untuk menulis mengenai diri keluarga kami. Saya takut meniti di atas kelicinan yang boleh menggelincirkan saya dalam puji-pujian terhadap keluarga yang melebihi pujian Allah sendiri ke atas kami, lantas tertariklah kelebihan dan pahala yang dikurniakan. Sesungguhnya hanya Allah jualah yang membersih, menyuci dan memuji hamba-hambaNya. Saya sentiasa merasakan sentuhan lembut Allah terhadap kami. Ia adalah sumber kekuatan yang maha besar.

Saya sendiri cukup bertenaga untuk menghadapi ujian ini. Apatah lagi ayahanda dan bonda. Kalau ada sedikit patah hati, maka ia adalah untuk Nik Abdul Aziz (anak Nik Adli) dan Nik Kifayatullah yang masih kecil, hari-harinya duduk bermain dengan anak-anak saya tanpa mengetahui betapa kejamnya mereka dipisahkan daripada ayah mereka oleh Dr Mahathir. Saya tidak kisah dengan hujanan fitnah yang menimpa ayahanda. Kami sekeluarga sudah kalih dan tegal. Tetapi saya takut keluarga saya terfitnah.

Fitnah tidak mencari saya, tetapi ia mencari hati-hati yang sakit dan hati-hati yang rapuh yang tidak bersedia diuji. Hati-hati inilah yang akhirnya menjadi tentera syaitan untuk merempuh kekebalan para ulama dan pejuang Islam. Merekalah yang rugi. Rugi dijadikan tentera syaitan dan rugi menjauhi dan menghina para ulama dan pejuang Islam.

Sekiranya Ustaz Nik Adli ditangkap kerana kesalahannya, digari dan dikurung, tidaklah saya tergerak untuk mempertahankannya. Beliau boleh dihukum setimpal kesalahannya. Beliaulah yang patut membela dirinya sendiri. Ayahanda begitu tegas dan berani menerima penangkapannya yang pertama dulu. Masyarakat ternyata berbangga dengan ketegasan ayahanda. Tetapi, beliau ditangkap tanpa kesalahan yang jelas, malah dinafikan daripada mempertahankan dirinya. Kami pula ditutup mata dan telinga daripada mengetahui mengenainya. Dalam keadaan terhina inilah, Nik Adli dibuli dan dihentam secukupnya melalui tuduhan-tuduhan yang dahsyat.

Hati yang merdeka pastinya tidak dapat menerima keadaan ini. Ia adalah peraturan Jakun untuk masyarakat di hutan rimba. Ia adalah perintah Firaun untuk hamba Firaun di zaman silam. Ia bukan untuk rakyat Malaysia yang merdeka dan bertamadun. Ia bukan untuk masyarakat Islam yang bebas merdeka jiwanya. Kalaulah malaikat Jibril ditakdir menjelma di antara manusia, lalu dibunuh oleh sejahat-jahat manusia sekalipun, Islam masih memberinya kebebasan membela diri tanpa sebarang tekanan sehinggalah pendakwaan diselesaikan melalui pembuktian yang jelas. Dia tidak boleh ditahan melalui akta ISA yang jijik dan terhina itu. Bagaimanakah masih ada yang sanggup menjadi anjing bajingan Dr Mahathir yang dipersaksikan kezalimannya itu? Tidakkah mereka terdesak untuk sedikit merasa malu kepada Tuhan mereka yang menciptakan mereka? Tidakkah mereka juga sujud kepada Allah akhirnya menemui Allah jua?

Kerana itu, apabila mereka bersungguh-sungguh mahu menjadikan seluruh rakyat Malaysia ini menjadi seperti hamba abdi yang diikat dan dibekukan otaknya, maka saya berhak mempertahankan Nik Adli, ayahanda dan keluarga. Saya berhak tampil menjawab tuduhan, menyebut kelebihan kami sekeluarga, malah saya berhak mencarik wajah kehidupan Dr Mahathir yang cukup jijik di sisi saya, agar beliau tahu bahawa betapa jauhnya, betapa berbezanya dunianya daripada dunia kami, dunia ayahanda kami. Apakah sama manusia yang berjalan merangkak, mengheret dan menghumban wajahnya di bumi dengan manusia yang berjalan lurus di atas jalan yang lurus?

Ya, benar abang saya, Nik Adli adalah anggota mujahideen di Afghanistan. Bahkan dia adalah mujahideen sampai hari ini dan bukannya bekas mujahideen. Siapakah yang berhak membuang pangkatnya selain Allah? Di kalangan kami adik-beradik, hanya dia berwajah mujahideen sejati. Ya, benar abang saya adalah yang paling tersohor di kalangan sahabatnya di Pakistan sebagai yang paling acap kali ke Afghanistan semasa semboyan jihad berlagu merdu di sana. Bahkan beliau beberapa kali hampir syahid di sana dan beliau menangis kerana tidak mendapat kurniaan itu sebagaimana para syuhada yang telah terbang rohnya ke syurga Allah.

Ayahanda telah berkata benar mengenai Nik Adli. Mengapa harus disembunyikan pemergiannya ke Afghanistan? Bukankah itu satu kebanggaan yang cukup agung untk keluarga kami. Kami ada pemberani yang terbukti di jalan Allah. Saya, semasa belajar di India telah menerima sepucuk surat daripadanya menceritakan keseronokannya di perbatasan Islam di medan malaikat yang turun naik mengutip dan mengarak arwah syuhada, menemui jelitaan bidadari di syurga Allah. Percayakah Dr Mahathir ini?). Beliau lantas meminta saya mendoakan agar beliau gugur syahid di sana. Saya terus mengangkat tangan menadah mengaminkan doanya, memohon biar gugurlah beliau di sana, dikebumikan di sana. Saya terlalu yakin Allah pasti memakbulkan permintaannya, permintaan saya jua.

Tetapi Allah menginginkan beliau terus berbakti di dunia. Beliau pulang ke tanah air menjadi pendidik anak bangsa menyayangi agama, membenci kekufuran, menjadi pemberani di jalan Allah. Semua pelajarnya tahu, semua guru-guru tahu beliau garang kerana itu, kerana mahu pelajarnya serius berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Biar benteng yang dibina Dr Mahathir yang menghalang rakyatnya mengenali Islam itu hancur luluh di hadapan beliau sendiri.

Hari ini, apabila beliau ditangkap di bawah akta yang zalim itu, ketika hati-hati hingusan menjadi kecut, anak-anak muridnya pula menjadi berani dan bangga. Semua meminta mahu melekatkan di dada masing-masing MANSUHKAN ISA. Saya melarang. Saya takut pelajar-pelajar saya menjadi perompak, pembunuh dan pengebom seperti Nik Adli dan rakan-rakannya? Hanya Dr Mahathir yang mahu negaranya aman damai di bawah kuku jeriji besinya itu.

Ustaz Nik Adli semasa zaman persekolahannya bukanlah seorang yang cemerlang dalam pelajarannya. Saya mendahuluinya. Tetapi beliau bukanlah seorang pemalas. Saya lihat ketekunannya belajar. Kecerdikan itu adalah anugerah, sedang ketekunan dan mujahadah itu adalah tuntutan. Beliau, seperti kata bonda, adalah seorang yang penyayang dalam bahasanya sendiri. Beliau gemar bercucuk tanam dan beliau suka menternak.

Masih saya ingat, dia meninggal pesan supaya saya mengambil alih memberi makan burung puyuh di reban yang dipeliharanya beberapa bulan sebelum ke Pakistan. Saya hanya melakukannya beberapa hari. Kemudian saya lupa sungguh. Beberapa hari kemudian saya menjengah, saya dapati beberapa ekor puyuh telah mati kelaparan. Saya menjadi kaget dan takut. Saya membuka reban dan melepaskan kesemuanya ke hutan. Sampai hari ini, saya merasa sungguh berdosa pada binatang. Saya teringatkan hadis RasuluLlah menyebut mengenai wanita ke neraka dek mengurung kucingnya kelaparan tanpa memberi makan. Moga Allah mengampunkan kesalahan saya mengurung puyuh Nik Adli dalam tahanan ISA saya. Aduhai hari ini Nik Adli pula dikurung dalam ISA Dr Mahathir.

Ada lagi yang menarik. Beliau suka mencipta senjata. Beliau membuat sumpitan untuk menyumpit cicak. Beliau mencipta senapang memanah ikan di sawah. Yang saya ingat, ketekunannya meloloskan beliau untuk mula mencipta senjata menggunakan belerang dan bebola basikal. Itulah benih awal Allah menganugerahkan keberanian yang tiada pada saya dan adik-beradik yang lain.

Sedari kecil kami adik-beradik dididik oleh ayahanda bonda dalam acuan tarbiyyah Islamiyyah. Kami diasuh bangun awal untuk solat Subuh berjemaah. Ke mana kami pergi, kami disuruh pulang apabila tiba waktu solat. Hanya alasan pelajaran di sekolah yang menyelamatkan kami dari rotan atau cubitan pedih bonda. Ayahanda pula hanya perlu mengeluarkan suara garaunya untuk menakutkan kami. Di bawah dagu bonda dan neneklah kami semua khatam al-Quran.

Kami semua belajar di sekolah ugama. Saya dua kali cuba mendapat kebenaran belajar di sekolah berasrama penuh. Saya nak jadi doktor. Masa tu, mana saya ingat ada doktor namanya Mahathir. Tetapi ayahanda menghalang. Saya agak kecewa sehinggalah masanya saya melihat telunjuk ayahanda adalah yang terbaik buat saya. Pendidikan dan tafaqquh dalam ugama adalah kebaikan yang tiada tolok bandingnya. Ilmu agama mengapa dibandingkan dengan ilmu sains? Dr Mahathir pula terlorong ke lembah. Di lembah itulah beliau menempelak kegalakan rakyatnya belajar ugama yang baginya adalah penghalang kemajuan sains dalam kehidupan.

Kami akhirnya pulang belajar dengan ilmu ugama di dada. Kemeriahan hidup bersama ayahanda masih kami kecapi sampai ke hari ini. Ustaz Nik Adli paling rapat dalam kehidupan di rumah, sedang saya mungkin lebih rapat dalam kehidupan politik ayahanda. Beliau mengajar di Pulau Melaka dengan gaji yang kecil sahaja. Kiranya semahal ludahan Dr Mahathir yang suka dijilat-jilat pendukungnya seperti Brahim Ali. Saya berkereta sedang dia hanya ada motosikal yang baru beberapa bulan lepas dikebas pencuri di Kota Bharu. Kadang-kadang beliau ke Kuala Terengganu dengan motosikal Hondanya itulah, suatu yang tak mungkin saya buat.

Inilah Ustaz Nik Adli yang akhirnya disumbat ke dalam ISA. Ramai sahabat terkejut, mengapa beliau dan tidak saya. Bukankah saya lebih aktif dalam pertembungan dengan pemikiran dan politik Dr Mahathir? Beliau pula tiadalah selain ahli PAS biasa di cawangan Pulau Melaka. Saya menjawab, ya, sepatutnya saya. Tetapi saya adalah beribu-ribu di Malaysia ini, sedang Nik Adli adalah beberapa orang sahaja di tanah air ini. Beliaulah antara beberapa nama yang akan menjadi saksi agung kesungguhan PAS menegakkan Islam di hadapan Allah kelak. Namanya tiada dalam senarai depan pimpinan PAS, tetapi hanya beliau dan rakan-rakannya sahaja berada dalam kelompok pejuang Islam Malaysia yang menggunakan senjata menghalau Komunis dari dunia Islam di saat ummatnya kecut dan penakut. Beliaulah, mengikut ceritanya pada saya, yang telah mencium bau kasturi pada tompokan darah baju sahabatnya yang gugur di Afghanistan. Beliaulah yang telah terpaksa bertiarap hampir sejam tanpa mampu mengangkat kepala dek hujanan peluru komunis yang berdesingan di telinganya.

Dr Mahathir sentiasa mahu melabelkan PAS sebagai gerakan militan atau penyokong keganasan Islamis di negara ini. Beliau mencuba beberapa kali. Kali ini beliau merasa yakin yang teramat sangat. Tiadalah segan silunya menamakan ayahanda sebagai pendidik langsung kepada ketua pengganas yang ditakuti. Apakah Dr Mahathir mahu menduga murka Allah? Cukuplah. Mereka lebih yakin dengan pertolongan Allah daripada pertolongan sahabat-sahabat pejuang di luar negara. Biarkanlah pejuang-pejuang ini, Ustaz Nik Adli, Ustaz Lotfi, Ustaz Solehan, Ustaz Norasyid dan sahabat-sahabat yang lain berjalan menabur bakti di bumi Malaysia. Keberanian mereka adalah kekuatan untuk bangsa yang berdaulat, bebas merdeka menyembah Allah di bumi Allah.

Perjalanan Dr Mahathir ke lubang kubur tinggal sejengkal, sedang perjalanannya menuju impian nafsu buasnya masih berjuta batu. Ayahanda akan menjengah kubur bersama beliau dengan amalan masing-masing. Di atas bumi ini, ayahanda meninggalkan Nik Adli (biizniLlah) sebagai amalannya yang kekal bertali arus ke kuburnya. Di bumi ini jua, Dr Mahathir meninggalkan Mirzan dan Mokhzani sebagai apa?!

USTAZ NIK MOHD. ABDUH HJ. NIK ABDUL AZIZ






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 7 September 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com