Oleh: ROSLI IBRAHIM
E-Mail: rabbani4380@yahoo.com
ABAD Ke-21 kemungkinan besar menyaksikan kebangkitan semula Islam. Syeikh Ali Ahmad Tasykiri, bekas Penasihat Luar Republik Islam Iran pernah berkata: "Sejak kebelakangan ini petanda bahawa fajar baru Islam akan menyinsing jelas ketara bilamana kuasa besar Barat mula cemas terhadap kemungkinan kebangkitan Islam sedunia. Hal ini menunjukkan betapa besarnya kekuasaan Allah di mana banyak peristiwa yang berlaku masih di luar perhitungan keupayaan komputer dan peralatan canggih ciptaan Barat. Dengan keupayaan yang terbatas mereka gagal menganalisis perkembangan yang akan berlaku di masa hadapan".
Walaupun Islam dijangka bangun dan akan berkembang biak pada abad ini, namun pada prinsipnya sebelum Islam berjaya menguasai semula dunia, ia perlu berhadapan dan memberikan saingan yang hebat kepada beberapa bentuk aliran fahaman atau falsafah yang boleh merosakkan pemikiran ummah.
Keruntuhan ideologi komunisme pada penghujung abad ke-20 tidak bererti doktrin tersebut telah 'dibakul sampahkan' oleh masyarakat dunia. Sementara kejatuhan beberapa pemimpin dunia yang bercorak 'nasionalis-sekular', 'kapitalis-sekular', 'sosialis-sekular' dan 'diktator-sekular' juga tidak bermaksud fahaman yang membelakangkan prinsip beragama itu telah mula ditolak oleh masyarakat.
Dalam era masyarakat Barat tercari-cari satu ideologi baru yang sesuai bagi mereka di abad ini untuk terus memperkukuhkan cengkaman terhadap dunia, nampaknya Islam masih dan terus dibelenggu oleh Barat. Kebangkitan semula Islam seboleh-bolehnya hendak dibendung. Falsafah dan pemikiran yang dibawakan oleh Islam perlu dikelirukan, dan Islam hanya perlu ditunjukkan kepada masyarakat dunia atas prinsip keganasan, tidak toleren serta anti kepada pembangunan dan materialisme.
Begitulah dahsyat penyelewengan dan manipulasi yang dilakukan oleh Barat terhadap Islam. Sementara di beberapa negara Islam yang bercorak sekular pula, mereka terus memainkan peranan agar Islam sering disalah ertikan walaupun tahap pemikiran ummah sebenarnya dapat membezakan antara yang buruk dan terbaik. Demokrasi yang dilaung-laungkan hanyalah platform untuk 'mengkembiri Islam', dan pergerakan Islam yang mendokong demokrasi telah dinafikan hak walaupun suara majoriti telah menyebelahi mereka. Peristiwa yang berlaku di Algeria dan Turki telah menunjukkan hakikat sebenar keadaan ini.
Barat dan kroninya sama sekali tidak mahu melihat Islam berada di persada. Apa yang diharapkan ialah Islam yang berada dan menjadi pegangan pada penganutnya hanyalah difahami pada 'kulitnya' sahaja. Dalam erti kata lain, Islam tidak boleh memimpin dan mengurus tadbir negara, Islam tidak boleh membentuk masyarakat, Islam tidak boleh berada dalam sektor ekonomi dan korporat serta Islam tidak boleh menyelesaikan segala persoalan jenayah, sosial dan kemanusiaan yang lain.
Sudah tentu saingan utama Islam di abad ini ialah beberapa aliran pemikiran yang bercanggah dengan prinsip Islam sebagaimana juga di abad-abad lalu - pemikiran sekularisme yang membahagikan dua bidang kuasa - kuasa agama dan kuasa mengurus tadbir negara, doktrin yang menafikan hak beragama (komunisme) serta aliran pemahaman yang menindas dan mengaut keuntungan (kapitalisme) disamping orientalisme, Yahudi dan Kristian.
Profesor Manna' Khalil al-Qaththan dalam bukunya 'Mu'awwiqat Tathbiq al-Syari'ah al-Islamiyah" pernah menyebut:
"Pertentangan akidah dan pemikiran pada zaman moden adalah lebih unik dari sudut kepelbagaian cara dan banyaknya jalan serta cabang pelbagai alirannya. Pengaruhnya itu berjalan daripada satu negara ke satu negara yang lain. Ia menyediakan jalan untuk proses penaklukan, menyebarkan pengaruh dan mengeksploitasi sumber-sumber yang ada walaupun ia tidak mengisytiharkan peperangan secara jelas yang menghapuskan manusia dan meruntuhkan negara.
"Peperangan akidah dan falsafah pemikiran adalah lebih dahsyat daripada peperangan ketenteraan kerana ia menghapuskan jiwa, melenyapkan nyawa, meruntuhkan nilai dan akhlak serta menukar kehidupan manusia menjadi neraka jahanam yang tidak dapat ditahan keperitannya. Walaupun banyaknya bentuk aliran pemikiran moden yang memusuhi Islam, namun ia hanya terkumpul dalam dua arah aliran, iaitu aliran sekularisme - yang memakai pakaian ilmiah serta aliran komunisme - yang diwakili oleh pemikiran Marxisme, materialisme dan atheisme".
Permulaan bagi pertentangan pemikiran di antara Islam dan musuhnya menurut Prof. Khalil al-Oaththan bermula sewaktu orang Barat Kristian mewujudkan hubungan dengan Timur Islam dalam bentuk hubungan permusuhan bersenjata sepanjang dua abad. Bermula dari akhir abad ke-11 hinggalah ke penghujung abad ke-13. Pertentangan ini berlaku dalam bentuk siri Peperangan Salib.
Peperangan Salib adalah merupakan satu siri peperangan yang dicetuskan oleh orang Kristian dalam mengembalikan tanah suci mereka, khususnya Baitul Maqdis daripada tangan orang Islam. Salahuddin al-Ayubi telah berjaya 'menelanjangkan Barat' dan memberikan kekalahan kepada mereka. Usaha ini berakhir dengan kegagalan atau kekecewaan di pihak Barat dan seterusnya timbul pula perasaan dendam atau benci mereka terhadap Islam.
Barat mengetahui bahawa Peperangan Salib sedikit sebanyak telah melemahkan masyarakat Islam itu sendiri dan ia juga telah menghapuskan pelbagai khazanah yang besar daripada pelbagai sumber dunia Islam. Justeru, mereka merancang untuk mengeksploitasi keadaan ini dengan melakukan hubungan ekonomi dengan negara-negara Islam. Wujud dan terbentuknya beberapa syarikat dagangan Barat yang menguasai semua kemudahan negara yang dikenali sebagai Syarikat Hindia Timur, Syarikat Afrika Timur dan seumpamanya yang berdagang secara bebas dengan dunia Islam adalah antara strategi licik Barat dalam perkara ini. Secara tidak langsung ini telah mendedahkan sumber-sumber kekayaan negara Islam kepada mereka. Hal ini diiringi dengan tekanan pengaruh politik yang berperingkat-peringkat bermula pada pertengahan kedua abad ke-19 hinggalah ke suku awal abad ke-20. Bermula dari sini Barat telah mempengaruhi atau merubah keadaan, di mana pengaruhnya yang kuat telah menguasai pengaruh yang lemah.
Pengaruh Barat ini telah menggunakan cara yang memungkinkan mereka untuk terus menguasai dunia Islam, memastikan dunia Islam dan umatnya terus mundur serta semangat permusuhan salib dan kebencian mereka terhadap Islam.
Bagi memastikan kukuhnya pengaruh Barat dan tercapainya matlamat tersebut, mereka sengaja memburukkan Islam, menghina warisannya dan cuba membandingkan di antara Barat Kristian dengan Timur Islam dari sudut kemajuan. Natijahnya bangunlah sebahagian masyarakat Islam yang mengajak ummah untuk mengikut telunjuk Barat dari apa yang telah mereka capai, sama ada berupa tamadun perindustrian, ilmu tabie mahupun sistem kemasyarakatan. Bahkan sebilangan masyarakat Islam yang terlalu ekstrim dengan Barat pula berpendapat bahawa ini tidak akan tercapai melainkan dengan mendekatkan Islam dengan Kristian atau menerima pemodenan dengan gelombang pembaratan yang datang.
Berhadapan dengan golongan ini ialah golongan Islam yang berpegang teguh kepada prinsip dan ajaran Islam. Mereka menentang arah pembaratan, proses kemodenan disamping mengajak masyarakat Islam memelihara keperibadian dan tingkah laku berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, mendedahkan keaslian akidah Islam, memperbetulkan penyelewengan serta mengembalikan keyakinan terhadap kesesuaian syariah.
Apabila berakhirnya abad ke-19 dan runtuhnya Empayar Uthmaniyah Turki pada tahun 1924, maka bermulalah kebangkitan dua aliran ini di dunia Islam dan aliran ini terus wujud hinggalah ke saat ini.
Runtuhnya doktrin komunisme di Soviet Union tidak bermakna komunis telah dapat ditelanjangkan sepenuhnya oleh Islam, walaupun beberapa negara umat Islam telah terlepas bebas daripada belenggu komunisme - seperti Afganistan, Chechan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Azerbaijan, Bashkiria dan sebagainya. Komunisme yang diasaskan oleh Karl Marx (1818 - 1883) - seorang Yahudi berasal dari Jerman masih bertapak kuat di Rusia, Bulgaria, Poland, Rumania, Jerman Timur, Cina, Yugoslavia, Cuba, Albania dan Hungary pada waktu ini. Sementara di kalangan negara umat Islam pula, komunisme masih membentuk partinya di Mesir, Iraq, Syria, Jordan, Palestine, Tunisia, Yaman dan beberapa negara lain. Dan sebilangan besar masyarakat Islam juga masih terpengaruh dengan aliran falsafah tersebut.
Falsafah komunisme berlandaskan kepada atheisme, yang menjadikan materialisme asas segala-galanya. Negara adalah parti dan parti adalah negara. Slogan komunisme percaya kepada tiga - iaitu Marx, Lenin dan Stalin serta mengengkari tiga perkara iaitu Allah, agama dan hak milik peribadi. Komunisme menganggap agama sebagai 'candu kepada masyarakat' dan justeru itu, semua agama diperangi kecuali Yahudi yang dianggap sebagai agama tertindas dan perlu dikembalikan hak-haknya yang telah dirampas oleh pihak lain. Musuh utama komunis ialah Islam, dan al-Quran telah dianggap sebagai senjata dalam menyebarkan 'candu' kepada masyarakat.
Amal perbuatan pada doktrin ini tidak ada harga sama sekali dan segala perubahan yang terjadi adalah sebagai akibat yang pasti. Tidak ada dosa dan pahala bagi mereka. Begitu juga azab atau pembalasan di akhirat kecuali di dunia ini. Dikatanya bahawa moral adalah relatif dan moral adalah satu akibat daripada alat-alat produksi. Prinsip dan pegangan komunisme ialah 'tujuan menghalalkan cara' dan dengan berprinsip sedemikian, komunis berpendapat apapun perbuatan walaupun kejam demi mencapai apa yang diharapkan adalah dibolehkan. Kenyataannya, Lenin pernah mengeluarkan pendapat yang berbunyi: "Hancurnya tiga perempat dunia tidak menjadi persoalan dan yang penting sisanya seperempat lagi itu mesti menjadi komunis".
Falsafah inilah yang telah diterapkan di Rusia semasa berlakunya Revolusi Bolsheviks pada tahun 1917, selanjutnya di Cina dan beberapa negara lain seperti Bukhara, Samarkand, Afganistan, Chechan, Albania dan sebagainya dalam memperkembangkan doktrin komunis tersebut. Hasilnya berjuta-juta rakyat telah terbunuh dan ditindas semasa doktrin itu diperkembangkan selain daripada merosakkan harta benda awam.
Komunis juga memperakui kediktatoran, justeru mereka tidak segan melakukan penipuan, pengkhianatan serta pembunuhan demi melenyapkan lawan atau musuhnya, meskipun ia adalah dari anggota partinya sendiri. Rakyat diperintahnya dengan 'tangan besi' dan kekerasan serta tidak ada kesempatan bagi rakyat untuk mengaktifkan daya berfikir. Semasa menduduki negara-negara umat Islam misalnya, komunis telah membinasakan sebahagian rakyatnya, merompak harta benda serta mencabul kehormatan agama dan ummah. Masjid telah dihancur atau dijadikan pusat-pusat hiburan, sementara slogan-slogan yang berpaksi kepada agama telah dimansuhkan. Menyimpan al-Quran telah dianggap sebagai suatu kesalahan berat, apatah lagi membaca atau mengamalkan isi kandungannya.
Komunisme juga mempunyai hubungan rapat dengan Marxisme, sosialisme dan kapitalisme. Dalam soal ekonomi, komunisme mengamalkan falsafah kapitalisme iaitu menindas golongan pekerja dalam hal pemberian upah. Sementara dalam soal kemasyarakatan, ia mengamalkan falsafah Marxisme iaitu mengengkari ikatan kekeluargaan dan menghapuskan hak berwaris serta mengutamakan materialisme.
Penentangan Islam terhadap komunisme adalah kerana fahaman ini engkar atau tidak memperakui kewujudan zat Allah, sebaliknya berpegang kepada falsafah kebendaan (material) dan faktor alam semulajadi. Komunis juga bertanggapan bahawa aktiviti kehidupan seharian manusia dan sejarahnya hanyalah berkisar kepada ekonomi atau produktiviti semata-mata.
Disamping komunisme sebagaimana disebutkan tadi, sekularisme juga adalah ancaman yang kuat terhadap Islam di abad ini. Falsafah yang memisahkan di antara agama dan kenegaraan ini sering disalah ertikan oleh sebilangan besar masyarakat Islam. Kewajipan memikul urusan khilafah (memimpin negara) telah dianggap amalan kotor atau jijik yang tidak layak untuk disertai oleh golongan agama. Penjajah dan imperialis telah berjaya menanamkan rasa jijik terhadap politik di kalangan ini sehingga selera ulama untuk menyertai urusan kepimpinan terhalang atau dianggap tidak begitu relevan. Masyarakat pula telah dihanyutkan dengan pegangan bahawa urusan ini (politik) adalah urusan keduniaan yang tidak memerlukan sama sekali campurtangan atau bimbingan agama.
Akibat terpengaruh, umat Islam seakan-akan terlupa bahawa Rasulullah yang merupakan bapa kepada segala para fuqaha sebenarnya adalah seorang negarawan yang menerajui kepimpinan ummah. Penglibatan baginda dalam bidang politik bukan sahaja disorot dari kedudukan baginda sebagai ketua negara Islam yang berpusat di Madinah, tetapi juga boleh dilihat dalam program dan rangka kerja baginda sebagai seorang Rasul.
Sekularisme yang berlegar di kalangan dunia Islam pada waktu ini telah menyerang dan meresap masuk melalui dua cara, iaitu melalui penjajahan pemikiran serta penjajahan negara. Negara-negara Islam yang dijajah telah disuntikkan dengan semangat ini dan sedikit demi sedikit ia telah berjaya mempengaruhi umat Islam. Walaupun sekularisme pada asalnya menolak falsafah agama dalam berpolitik, namun di kalangan dunia Islam ia telah memberikan satu pentafsiran berbentuk baru, di mana bukan lagi mengasing atau memisahkan agama daripada politik, sebaliknya merenggangkan antara agama dan kenegaraan.
Sekularisme moden yang berada di pasaran dunia pada waktu ini bukan sahaja beraspirasikan kepada falsafah yang dibawakan oleh Thomas Hobbes dan Jean Jacques Rousseau, bahkan masih menerima pakai apa yang diperjuangkan oleh Macchiavelli. Sekularisme bukan sahaja berpendapat bahawa agama hanyalah diperlukan oleh individu untuk mencapai kebahagiaan keluarga atau rumahtangga, tetapi penentangan mereka terhadap agama juga adalah atas faktor mencari satu hakikat atau undang-undang yang boleh menjaga kekuasaan dan kedaulatan kerajaan.
Bagi aliran yang lebih ekstrim, agama dianggap tidak menghasilkan apa-apa nilai pada manusia, malah agama hanyalah satu fahaman songsang yang tidak menggalakkan manusia berusaha atau berfikir. Manusia bagi mereka hanyalah perlu beriman kepada diri sendiri serta sebahagian daripada manusia. Sekiranya Tuhan masih kekal dan menjadi Tuhan atau tuan kepada manusia, maka manusia akan terus berpegang dengannya dan ini akan mengganggu pegangan manusia kepada manusia.
Dalam pengertian lain, sekularisme melihat agama sebagai sumber kepada perpecahan dan pertentangan di antara manusia. Pembabitan agama dalam soal kenegaraan dan kemasyarakatan hanya akan menyusahkan manusia dan diri sendiri. Nilai-nilai halal haram, baik buruk, pembalasan syurga dan neraka hanya membawa kepada musibah atau pergaduhan. Nilai-nilai itu pada prinsipnya dipandang kuno dan kolot. Justeru, manusia mesti mengharamkan agama dari terlibat atau dilibatkan. Bagi pendokong aliran ini, agama bukanlah soal pokok, yang penting ialah perpaduan, kestabilan ekonomi, kemakmuran, kesenangan hidup dan seumpamanya.
Sebaliknya jika agama diperlukan dalam soal kehidupan, ia hanya sekadar yang berkaitan dengan soal 'personal statute', adat resam, simbol budaya atau ibadah dalam ertikata yang sempit.
Ensiklopedia Britanicca telah menterjemahkan sekularisme sebagai satu gerakan kemasyarakatan yang bermatlamat membawa manusia dan mengalihkan pandangan mereka daripada mementingkan akhirat kepada mementingkan dunia sahaja. Ini disebabkan manusia pada zaman pertengahan mempunyai kehendak yang amat kuat untuk menjauhkan dunia. Mereka hanya bermeditasi untuk Allah dan hari akhirat. Bagi memerangi kehendak-kehendak ini, sekularisme bangun memperkenalkan dirinya melalui pembangunan kehendak kemanusiaan, di mana manusia pada zaman pembangunan menonjolkan pergantungan penuh mereka kepada kemajuan pemikiran manusia serta kemampuan dalam mewujudkan keinginan mereka di dalam kehidupan dunia. Aliran ke arah sekular ini terus berkembang secara berterusan sepanjang sejarah moden dan ia dianggap sebagai gerakan yang menentang agama.
Walaupun sekularisme lebih popular ditakrifkan sebagai memisahkan agama daripada negara (politik), namun kamus-kamus asing turut mentakrifkan sekularisme sebagai 'roh keduniaan', 'aliran keduniaan' atau 'materialisme'. Sekularisme sebenarnya bukanlah hanya terbatas kepada pemisahan antara agama dan kenegaraan, sebaliknya sekularisme turut meresapi dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan, kemasyarakatan, ekonomi, pentadbiran, pertahanan, perundangan serta kebudayaan.
Sekularisme yang melanda dunia Islam pada waktu ini bukan sahaja tidak mempercayai terhadap keadilan Islam dalam soal politik, sosial, ekonomi dan jenayah, bahkan mereka turut menentang terhadap setiap usaha untuk menegakkan entiti atau dasar pemerintahan negara dan keadilan yang berlandaskan kepada Islam. Mereka bersedia untuk mengharamkan nama, simbol atau dasar Islam yang diperjuangkan sebagai dasar politik dan negara. Justeru, para pendokong aliran Islam yang sebenar telah dicop sebagai pengacau dan ekstrimis, malah terroris. Mereka menyusun pelbagai rancangan dan strategi untuk membendung kebangkitan Islam. Mereka bukan sahaja meruntuhkan imej, nama baik dan reputasi terhadap ulama, bahkan sesetengah pemerintah yang ada di waktu ini turut menangkap dan menyeksa aktivis Islam sebagai tahanan.
Di sesetengah negara, mereka melarang penubuhan parti-parti politik atau badan siasah yang berpaksi kepada agama. Mereka mengharamkan Islam dari menjadi dasar atau nama bagi perjuangan parti politik. Lebih mendukacitakan ialah apabila berlakunya pencabulan terhadap demokrasi yang didokong, di mana apabila pihak Islam diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui pemerintahan, hak dan mandat yang diberikan itu telah dinafikan.
Warisan sekularisme sebenarnya telah menganjurkan agar umat Islam berpegang kepada suatu prinsip atau nilai baru yang berasaskan skeptisisme terhadap semua bentuk pengetahuan objektif. Skeptisisme atau keraguan terhadap kebenaran adalah merupakan asas yang mencorak budaya dan pemikiran awal terhadap aliran ini. Akibatnya, sekularisme melihat agama bersama kitabnya tidak lebih dari suatu bentuk neratif besar yang tandus sifat kekudusannya dan dengan itu ia dapat dipersenda atau dipermainkan. Persoalan kebenaran dan kebolehan agama telah diketepikan - dianggap sebagai suatu yang mustahil untuk dicapai.
Atas prinsip dan nilaian tersebut, sekularisme telah menggantikan prinsip-prinsip kebenaran agama dengan beberapa prinsip baru yang antaranya termasuklah ketiadaan suatu yang benar, kehampaan, kepelbagaian, kesamaran, kegersangan dan keraguan yang menyeluruh. Prinsip ini meminggirkan nilai ketuhanan dan menggantikannya dengan suatu bentuk pergantungan mutlak kepada rasional atau logik akal. Prinsip ini telah bertapak kukuh dan dalam apa juga keadaan, saingan atau ancaman terhadapnya hendaklah ditentang.
Dengan menyedari bahawa Islam adalah satu-satunya agama atau cara hidup yang mampu mengancam mereka, maka tindakan untuk membunuh prinsip dan nilai-nilai Islam serta sistem dan manifestasinya dilakukan dengan aktif oleh aliran ini. Mana-mana ruang yang digunakan oleh golongan dan pendokong Islam untuk menampilkan gagasan Islam akan dihancurkan. Kalangan Islam yang berjuang atas landasan Islam yang sebenar telah dianggap sebagai militan atau dilabelkan dengan pelbagai jolokan jahat dan hina. Masyarakat sentiasa dimomok atau ditakutkan dengan Islam dan gerakannya. Sementara imej aliran atau pendokong yang menentang Islam seringkali digilap dan apa sahaja keganasan yang berlaku, gerakan Islam adalah menjadi fokus atau sasaran utama.
Menyedari bahawa bahayanya aliran sekularisme dari segi pegangan dan akidah, maka usaha untuk menghadapi dan membunuhnya haruslah berjalan dalam berbagai bentuk dan bersifat menyeluruh dengan merangkumi aspek pendidikan, sosio budaya, politik, ekonomi, pentadbiran, perundangan dan sebagainya.
Penentangan Islam terhadap sekularisme adalah atas faktor Islam sebagai agama yang lengkap dan penutup terhadap segala agama dari langit. Islam pada hakikatnya adalah agama, negara, akidah dan syariat yang sempurna dan mantap untuk setiap urusan kehidupan. Islam juga adalah satu syariat yang tidak membezakan antara dua perkara yang sama dan tidak menyamakan antara dua perkara yang berbeza.
Syariat Islam berasaskan kepada penjagaan kepentingan manusia di dunia dan akhirat. Islam telah menetapkan sistem sosial yang mengandungi asas-asas dan undang-undang yang menjamin keseimbangan dan kesaksamaan. Islam juga telah menyatukan antara ilmu dengan iman, akidah dengan pemikiran serta syariah dengan hikmah. Tidak berlaku pertembungan antara perkara yang logik lagi jelas dengan perkara nas yang sahih. Sebagaimana diperjelaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah, Islam telah menetapkan hukum-hukumnya dalam ibadah, muamalah, jenayah dan munaqahat. Di samping itu, Islam juga mengandungi sistem yang menjamin hak-hak pemerintahan dan rakyat jelata. Prinsip-prinsip yang padu ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat dalam membangunkan negara Islam yang pertama.
Islam muncul dengan sistem ekonomi yang bermoral dan bersih - bebas dari sebarang penyelewengan, korupsi dan tamak haloba sebagaimana yang terdapat dalam sistem-sistem ekonomi kapitalis dan komunis. Islam mengharamkan penindasan berbentuk riba serta penganiayaan terhadap golongan lemah dan miskin.
Dari sudut lain, akidah di sisi Islam berdiri di atas asas bukti dan dalil, bukannya di atas asas taqlid atau patuh kepada pembesar atau golongan beragama. Bahkan Islam menetapkan bahawa akal adalah asas bagi naqal (dalil syarak) dan sekiranya akal ditolak, maka tidak akan dapat mensabitkan naqal dan wahyu. Haluan sifat ilmiah dan logik di dalam Islam adalah satu perkara yang jelas lagi sabit.
Justeru, seorang penulis Marxis, Maxim Rodernson ketika mengulas perkara ini telah menyebutkan:
"Al-Quran adalah sebuah kitab suci yang memberikan ruang yang amat besar kepada akal. Allah tidak lalai di dalamnya daripada memberikan hujah dan bukti. Bahkan perkara yang paling menarik ialah wahyu itu sendiri, iaitu satu fenomena yang amat sedikit logiknya dalam mana-mana agama yang mana Allah telah menurunkan wahyu kepada pelbagai Rasul sepanjang zaman - dianggap oleh al-Quran sebagai salah satu alat pembuktian di pelbagai tempat dalam al-Quran. Al-Quran mengulang-ulang ungkapan bahawa para Rasul telah membawakan bukti dan ia (al-Quran) tidak jemu untuk mencabar penentangnya dengan membawakan ayat yang sama sepertinya.
"Al-Quran tidak henti-henti membawakan bukti logik bagi kekuasaan Allah dalam penciptaan langit dan bumi, pertukaran siang dan malam, kelahiran haiwan, peredaran cakerawala dan planet, kepelbagaian hasil binatang dan tumbuhan serta kepelbagaian keperluan manusia sebagai tanda bagi mereka yang berfikir".
Ajaran al-Quran dan al-Sunnah bukanlah sekadar ajaran di atas kertas, malah ia merupakan ajaran praktikal yang telah membuahkan hasil dan di bawahnya telah bangun sebuah tamadun yang kukuh binaannya. Sejarah juga telah membuktikan bahawa setiap kali penganut Islam memahami dan melaksanakan syariah dengan baik, maka mereka akan bertambah kuat setelah lemah, bersatu setelah berpecah, mulia setelah terhina, kenyang daripada kelaparan dan aman daripada ketakutan. Setiap kali pemahaman dan perlaksanaan syariah menjadi buruk, maka penganutnya akan ditimpa kelemahan dan penghinaan serta mereka akan dikuasai oleh musuh-musuh mereka baik di Timur mahupun Barat.
As-Sheikh Yusuf al-Qardhawi dalam satu tulisannya berhubung 'Pertentangan Islam Dan Sekular', antara lain menyebut bahawa penentangan Islam terhadap sekularisme adalah atas sebab umat Islam telah berpegang dengan syariah Islam sudah berkurun-kurun lamanya. Di bawah payungan syariah mereka mampu membina negara keadilan dan ihsan, membina tamadun ilmu dan iman, menyebarkan Islam di segenap ufuk, memasukkan di bawah payungannya tamadun-tamadun kuno di Rom, Parsi, Mesir dan sebagainya. Syariah Islam tidak menyekat perkara yang baru, tidak melarang penganutnya bergerak bebas, bahkan ia menjadi cahaya yang menyinari akal agar tidak sesat, ia menjadi roh yang menghidupkan hati agar hati tidak mati, menjadi hakim yang memutuskan perbalahan sewaktu perselisihan, menjadi penyelamat yang menghalang jiwa dipukul oleh syahwat atau digegarkan oleh syubhat.