KENYATAAN MEDIA
13 September 2001
Saari Sungib telah mengemukakan Representasi dalam Rayuannya kepada Lembaga Penasihat Kamunting pada 6 dan 11 September 2001. Pihak Lembaga yang diketuai oleh Dato’ Zaki Hussin dalam memutuskan Rayuan Saari Sungib, menyatakan bahawa pihak Lembaga telah menimbangkan fakta-fakta polis dan Representasi Saari Sungib yang ditulisnya dalam dua jilid setebal 200 muka surat. Menurut beliau, ada fakta-fakta dalam Representasi yang boleh diambilkira.
Apa yang perlu diputuskan adalah sama ada 5 Pengataan Fakta Untuk Perintah Tahanan Saari Sungib adalah benar dan menjadi asas kepada Menteri Dalam Negeri (membuat perintah tahanan di bawah ISA)
Sama ada fakta memuaskan hati Menteri Dalam Negeri apabila dikeluarkan merupakan satu perkara yang subjektif kecuali jika disebut fakta tidak benar. Lembaga akan mengambilkira (penafian) pengataan fakta (menerusi Representasi Saari Sungib).
Lembaga telah menolak Pengataan Fakta Alasan untuk Perintah Tahanan no. 4:
(4) Bahawa kamu, pada 27 Februari 2001, di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, Selangor telah mempengerusikan
satu perjumpaan sulit yang turut dihadiri 6 orang anasir reformasi yang dikenali bertujuan merancang untuk
mengadakan perhimpunan haram serta mengatur strategi untuk bertindak balas secara fizikal dan mental sekiranya
berlaku pertembungan dengan pasukan polis yang mana perancangan tersebut boleh mengancam ketenteraman awam
dan memudaratkan keselamatan negara.
Kerana Polis telah gagal mengemukakan bukti, oleh itu Saari Sungib telah dibebaskan dari Pengataan Fakta No. 4 tersebut di atas.
Saya dan keluarga Saari Sungib dengan ini mendesak agar beliau dibebaskan segera. Kami menyokong penuh langkah-langkah yang dilakukan oleh Saari Sungib di Tempat Tahanan Perlindungan di Kamunting kini sebagai bantahan penahanannya yang tidak sah dan bermotifkan politik, seperti surat yang disampaikan beliau melalui peguam pada 11 September 2001(sila lihat lampiran)
Kami juga mendesak agar kelima-lima tahanan politik yang lain juga dibebaskan segera iaitu Mohamad Ezam Mohd. Nor, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Lokman Noor Adam dan Dr. Badrulamin Bahron.
Kami menyeru rakyat Malaysia yang prihatin dan cintakan keadilan terus berjuang menentang kezaliman dan menuntut ISA dihapuskan dan bebaskan semua tahanan ISA atau bawa mereka ke mahkamah terbuka.
Aliza Jaffar
Isteri Saari Sungib
13 September 2001