Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Hikmah DAP Diluar Gabungan BA dan Pilihanraya Di Sarawak

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Berita dalam dua tiga hari ini banyak yang menarik dan diluar jangka akal manusia yang dangkal. Terutama berita keluarnya DAP dari gabungan pembangkang BA yang sedang menerima dokongan dan sokongan kuat majoriti rakyat di negara ini. Seorang kawan penulis berhujah isu itu memang menjadi hasrat UMNO/BN dan para pemimpinnya yang sejak awal lagi gerun dengan gabungan mantap BA yang disertai oleh DAP. Keluarnya DAP dalam saat pilihanraya penting bagi pembangkang di Sarawak, ramai pemerhati politik dan khususnya pendokong dan penyokong BA melihat ia bukan tindakan bijak bagi DAP sebagai sebuah parti pembangkang cukup konsisten dan tertua di Malaysia.

Tetapi, kepada beberapa rakan penulis di Kota Kinabalu berpendapat bahawa keluarnya DAP dari BA sebenarnya mempunyai HIKMAH tersendiri dan merupakan satu strategi politik bagi kem pembangkang di Malaysia. Dan penulis mengajak rakyat, pemerhati politik tanah air dan terutama seluruh pendokong dan penyokong BA di seluruh negara supaya melihat isu ini dari sudut positifnya atau kebaikan-kebaikan yang pasti wujud dalam situasi kesukaran tersebut. Memang kita tidak mahu melihat gabungan BA akan berkecai sebelum tertegaknya keadilan di bumi Malaysia.

Penarikan diri DAP daripada DAP adalah lebih baik daripada tindakan keluarnya PBS dari BN pada tahun 1990 dulu. Dan PBS walaupun keluar dari BN tetap berjaya menguasai politik Sabah ketika itu. Hikmah DAP tarik diri kali ini dalam situasi hangat pilihanraya di Sarawak, mungkin memberi kebaikan kepada DAP di Sarawak dan parti-parti pembangkang lain di Sarawak.

Apakah harapan pembangkang di Sarawak. Sukar untuk diberi jawabannya. Melihat penguasaan BN dalam media-media sama ada di RTM, TV 3, NTV 7 dan media cetak arus perdana yang terang-terangan menjadi media angkuh dan takbur BN sama seperti angkuhnya para pemimpin BN di mana-mana jua negeri yang mereka kuasai terus mengaku dan mendabik dada bahawa merekalah yang boleh majukan negeri Sarawak, bermacam-macam projek dan pembangunan diumumkan dengan jumlah peruntukan jutaan ringgit di sana-sini dalam masa kempen di Sarawak sekarang.

Berdasarkan situasi sebegini, ditambah lagi pengalaman rakyat Sarawak sendiri dalam bab menukar parti kerajaan belum pernah berlaku sejak merdekanya mereka. Kecuali mengundi beberapa calon pembangkang. Kemudian kesedaran politik dikalangan rakyat Sarawak terutama mereka dikampung-kampung, desa atau nun jauh di ulu masih belum berada ditahap tinggi sebagaimana rakyat Sabah, Kelantan dan Terengganu yang sudah biasa menukar parti pemerintah. Maka amat sukar untuk rakyat Sarawak mengeluarkan diri mereka dari belenggu dan cengkaman politik PBB/BN dan sekutunya di Sarawak.

Hanya keajaiban dan kuasa Allah juga menjadi penentu sama ada rakyat Sarawak terbuka hati untuk menukar parti kerajaan pada pilihanraya kali ini. Namun, kita berdoa dan mengharapkan rakyat Sarawak mempunyai keyakinan dan juga keberanian untuk mengubah keadaan sekarang kepada kepimpinan baru dibawah kerajaan baru gabungan pembangkang yang berhasrat membangun secara lebih adil, baik dan kerajaan yang telus, amanah dan baik. Itu saja harapan dan doa kita. Tapi penentu yang akan memilih kepimpinan baru ada anda sebagai rakyat Sarawak. Kerana itu, gunakanlah kebijaksaan anda dalam memilih parti dan kepimpinan yang lebih baik itu.

BN bukanlah pilihan terbaik, sekalipun propaganda mereka dalam media seolah-olahnya merekalah yang terbaik. Percayalah orang baik, tidak akan mengakui kebaikan dan kemuliaannya. Tetapi orang lain yang akan menilai kebaikan yang kita lakukan atau laksanakan.

Ibn Sabah,
24.9.2001M.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 26 September 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com