.....sambungan
IOL: Apakah akan wujud Negara Islam di Malaysia? Adakah anda fikir PAS akan menang besar pada 2004 nanti?
Tuan Guru: Insya Allah, tidak sepatutnya ada sebarang kebimbangan tentang hal itu. Sekarang pun sudah ada dua negeri Islam di Malaysia, iaitu Terengganu dan Kelantan. Kami melaksanakan Islam secara adil dan baik dan ianya diterima termasuk oleh masyarakat bukan Islam, yang tidak takut kepada negara Islam.
IOL: Daripada maklumbalas umum di Kuala Terengganu, sebilangan rakyat mengatakan bahawa PAS tidak mempunyai perancangan pembangunan. Apakah sebenarnya yang anda cuba capai dengan mandat ini?
Tuan Guru: PAS ada manifesto, yang merupakan program pemerintahan sekaligus sebagai perancangan pembangunan untuk negeri ini. Manifesto ini adalah pemangkin yang telah membawa kami ke tampuk pemerintahan. Di mana, sebelum pilihan raya umum lalu, kami telah mengadakan dialog dengan para pegawai kerajaan dan golongan profesional yang telah menyumbangkan idea kepada kami. Berdasarkan pandangan mereka itulah kami keluarkan manifesto kami, yang merupakan cerminan daripada apa yang dicita-citakan oleh rakyat Terengganu.
Kami juga telah mengadakan dialog dan perbahasan dengan rakyat umum. Mereka juga turut mengemukakan apakah yang mereka mahu kami laksanakan di negeri ini. Perkara itu turut membantu kami memenangi pilihan raya lalu. Kami mengambilkira kepentingan umum. Di dalam program pembangunan yang dikemukakan itu, kami turut memasukkan janji menghapuskan bayaran tol di Jambatan (Sultan Mahmud) Kuala Terengganu. Kami telah menunaikan janji kami itu di hari pertama kami mengambilalih pemerintahan.
Kami juga telah menghapuskan cukai pintu bagi rumah kediaman; melakukan perubahan dalam program pemilikan tanah, yang tertakluk di bawah kuasa kerajaan tempatan. Kami telah menangani dengan baik persoalan tanah dan cuba menyelesaikannya secepat mungkin. Beberapa langkah perubahan yang kami lakukan itu menyebabkan Umno dan kerajaan Pusat membisu seribu bahasa.
IOL: Apakah yang telah terjadi kepada projek lebuhraya yang telah mendapat liputan meluas di dalam media antarabangsa sebaik sahaja anda mengambilalih pemerintahan di Terengganu?
Tuan Guru: Kerajaan Pusat sekali lagi bersandiwara di dalam pelaksanaan projek lebuhraya yang bakal menyambungkan negeri Pahang dengan Terengganu itu. Semasa pilihan raya lalu mereka berjanji akan membina lebuhraya berkenaan. Selepas kami menang, mereka kata lebuhraya itu akan hanya dibina setakat negeri Pahang sahaja. Maka saya mengatakan bahawa kami akan membina sendiri lebuhraya kami. Lalu Kementerian Kerjaraya menyatakan bahawa mereka akan membinanya. Bagaimana pun setakat ini belum ada sebarang aktiviti yang menunjukkan keseriusan mereka dengan projek ini. Saya sekali lagi membuat kenyataan bahawa kami telah bersedia untuk membina sendiri lebuhraya kami.
Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Vellu, telah datang menemui saya di Terengganu membincangkan projek berkenaan. Saya menegaskan bahawa segala kos pengambilan tanah rakyat dan pembinaan lebuhraya tersebut hendaklah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Pusat. Beliau sekadar mengatakan akan membawa perkara itu ke pengetahuan kabinet. Malangnya sehingga ke hari ini belum ada sebarang maklumbalas daripada kabinet.
Kami bercadang menswastakan projek tersebut dan kami telah pun mengadakan perbincangan dengan tiga syarikat swasta mengenainya. Bahkan, kami telah pun memilih salah satu syarikat berkenaan untuk mengendalikan pembinaannya.
Pihak kerajaan Pusat mengatakan bahawa projek tersebut bakal menelan belanja US1.6 bilion. Tetapi kami menganggarkan kos untuk pembinan lebuhraya yang lebih besar dan disambung terus ke sempadan Kelantan hanya pada kos sekitar US650 juta sahaja. Kami mencadangkan sebuah lebuhraya tiga lorong, bukannya dua lorong. Dan yang paling utama ialah kami berhasrat membinanya merentasi tanah kerajaan yang masih belum dibangunkan dan di luar kawasan kediaman rakyat. Ini bermakna, kita tidak perlu melibatkan pemindahan kediaman rakyat.
IOL: Apakah ada sebarang sumber alternatif bagi Terengganu, apabila royalti minyak telah "dirampas" oleh kerajaan Pusat?
Tuan Guru: Kita melihat bahawa Mahathir telah melakukan dua kesilapan besar. Perampasan royalti minyak sememangnya tidak wajar, dan Mahathir merasakan bahawa membiarkan kerajaan negeri menikmati royalti minyak juga amat berbahaya. Beliau merasakan ianya amat merbahaya bagi kerajaan Pusat. Mahathir percaya di mata masyarakat umum, perampasan royalti hanya memberi implikasi kecil berbanding memberi royalti kepada kerajaan negeri Terengganu. Kerana, jika kami diberikan royalti, kami akan muncul sebagai model pembangunan yang bakal menggugat kekuatan kerajaan Pusat.
Sebelum ini, semasa pemerintahan Umno, royalti sentiasa diberikan kepada Terengganu. Selama lebih 20 tahun, royalti berjumlah RM7 bilion telah diberikan kepada negeri ini. Penduduk negeri Terengganu berjumlah satu juta orang, dan dengan wang royalti itu mereka sepatutnya telah melakukan ssesuatu kepada rakyat. Malangnya, penduduk Terengganu juga merupakan yang kedua termiskin di kalangan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Negeri Terengganu menanggung hutang lebih RM700 juta, hasil peninggalan kerajaan terdahulu. Apabila PAS mengambilalih kerajaan pada tahun 1999, kami berusaha mengembalikan apa yang sepatutnya menjadi milik rakyat, termasuk menghapuskan tol dan cukai pintu rumah kediaman, di samping menaikkan kadar bantuan kebajikan, menaikkan elaun bulanan imam dan bilal dan sebagainya. Dengan apa yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional, adalah sukar bagi mereka untuk menang di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang.
IOL: Apakah ada sebarang ruang pelaburan asing di Terengganu? Adakah kerajaan Pusat turut menghalang pelaburan tersebut?
Tuan Guru: Pelabur asing ada menunjukkan minat. Cuma ada sedikit masalah dengan kerajaan Pusat. Pelaburan sebegitu perlu dibuat melalui Kementerian Perdagangan dan Bank Negara. Sebarang pelaburan (asing) dimestikan melalui kerajaan Pusat.
Bagaimana pun, syarikat-syarikat dan agensi yang telah pun beroperasi di Kuala Lumpur boleh melabur di Terengganu. Kami boleh membawa mereka untuk melabur di sini dan kami tahu mereka juga berminat berbuat demikian.
Baru-baru ini, kami menerima pelaburan RM200 juta dalam industri kecil daripada agensi yang berpusat di Malaysia. Kami menjemput mereka datang ke Terengganu untuk berurusan tanpa perlu bimbang tentang rasuah atau wang sogokan kepada kerajaan tempatan.
IOL: Isu wanita menyebabkan PAS menjadi sasaran utama kritikan daripada Umno dan lain-lain parti. Mereka mendakwa PAS memandang rendah golongan wanita dan mendiskriminasi mereka?
Tuan Guru: Apa yang dikatakan oleh Umno itu adalah tidak benar. Semenjak (pilihan raya umum) 1959 kami mempunyai ahli parlimen wanita, apabila Khatijah Sidek, seorang pemimpin Muslimat PAS menang pilihan raya tersebut.
Dalam tahun 1960-an dan 70-an, PAS meletakkan calon wanita. Tetapi selepas tahun 1980, kami mengambil keputusan untuk tidak lagi meletakkan calon wanita. Sebabnya, pilihan raya di Malaysia menjadi semakin tidak bermoral. Kami tidak rela golongan wanita kami terlibat di dalam perkara-perkara tidak bermoral yang dilakukan oleh BN sepanjang pilihan raya. Sebaliknya, kami memberi peluang kepada golongan wanita untuk diangkat sebagai senator, dilantik sebagai ahli majlis-majlis daerah, di samping terlibat secara aktif di dalam perbahasan dan perbincangan dalaman parti.
Kami memberi ruang kepada mereka untuk menjadi pemimpin di dalam parti dan mereka sentiasa menjadi kekuatan yang besar bagi PAS di dalam setiap pilihan raya. Kami sedar bahawa di Kelantan dan Terengganu, lebih separuh daripada pengundi adalah dari golongan wanita dan kami menang besar di kedua-dua negeri ini.
Apa yang mereka dakwa kononnya PAS mendiskriminasi kaum wanita adalah tidak benar. Apa yang dilihat di Terengganu sebagai kod berpakaian, seperti pemakaian tudung oleh kakitangan kerajaan wanita, bukanlah suatu paksaan ke atas mereka. Mereka sendiri yang memilih untuk bertudung. Keadaan ini wujud hasil kefahaman dan kesedaran, bukan melalui undang-undang atau penguatkuasaan mana-mana undang-undang di negeri ini.
Dalam dialog dengan DAP, mereka mengajukan persoalan peraturan ke atas golongan wanita yang tidak menutup aurat. Sebenarnya, tidak ada sebarang undang-undang yang memaksa rakyat menutup aurat dan setakat ini belum ada sebarang tindakan yang diambil terhadap mereka yang tidak menutup aurat. Apa yang berlaku ialah kaum wanita itu sendiri mula memakai tudung, apabila mereka faham mengenai hukum Islam. Bahkan, para penyokong Umno juga turut memakai tudung sekarang, yang mana ianya tidak berlaku sebelum ini. Kita melihat ini sebagai hasil dakwah berterusan daripada PAS dan juga lain-lain jamaah Islam.
IOL: Isu keganasan (terrorisme) timbul di Malaysia baru-baru ini, dengan penahanan beberapa anggota pembangkang yang didakwa terlibat dengan aktiviti subversif. Apa pandangan anda mengenai perkara itu? Adakah Islam agama yang melampau?
Tuan Guru: Islam tidak melampau. Ia adalah agama yang sangat seimbang. Para anbiya’ telah menyeru manusia kepada Islam dalam bentuk yang paling lembut. Islam tidak menggunakan uslub paksaan, melainkan apabila ia dipaksa untuk mempertahankan dirinya.
Keganasan bukanlah perkara yang berlaku di Malaysia sahaja; ia adalah permasalahan sosial yang wujud di seluruh dunia. Memang di kalangan umat Islam sendiri pun wujud berbagai penyakit sosial, seperti berjudi dan meminum arak. Tetapi ia melibatkan hanya sebilangan kecil daripada mereka. Perkara ini bukannya sebahagian daripada ajaran Islam, tetapi lebih merupakan sebahagian daripada penyakit sosial yang melanda dunia kini. Apa pun, hanya sebilangan kecil umat Islam yang terlibat dengan aktiviti sedemikian. Kita melihat rompakan ke atas bank yang berlaku di Kuala Lumpur oleh pihak yang didakwa sebagai pengganas. Ia melibatkan hanya enam orang.
Keganasan dan lain-lain itu sebahagian besarnya datang daripada bukan Islam. Dalam politik, kita telah menyaksikan perubahan yang berlaku di Arab Saudi di zaman pemerintahan Raja Abdul Aziz. Begitu juga di zaman pemerintahan Ayatollah Khomeini di Iran. Tetapi berapa ramai yang telah terkorban? Cuba bandingkan dengan Revolusi Bolshevik, berapa ramai nyawa yang terkorban? Berapa ramai yang terbunuh di Vietnam sepanjang perang Vietcong. Di China, sepanjang pemerintahan Mao Tze Tung, di Amerika Syarikat sendiri di zaman perang saudara, berapa ramai yang terkorban?
Maksud saya ialah, revolusi atau perubahan seumpama itu yang berlaku di dunia Islam tidak melibatkan kehilangan begitu banyak nyawa sebagaimana ianya berlaku di negara-negara lain. Secara keseluruhannya, dunia bukan Islam menampakkan bahawa mereka sebenarnya lebih melampau berbanding dunia Islam. Rekod dan fakta sejarah telah membuktikan hal itu.
IOL: Pihak lawan anda mengatakan anda sebagai seorang pemimpin yang "radikal". Sejauh manakah kebenarannya?
Tuan Guru: Saya melaksanakan tugas saya menurut apa yang saya dibenarkan melakukannya. Terpulang kepada mereka untuk mengadili saya. Cuma, saya melihat terdapat dua aspek daripada soalan ini. Aspek positifnya ialah, cabaran tersebut membuatkan saya melaksanakan tugas saya dengan lebih baik dan saya akan cuba membawa rakyat lebih dekat kepada Islam.
Ada pun pihak lain mungkin mempunyai tujuan negatif dan mereka berhasrat melihat Mahathir bertindak lebih pantas terhadap saya dan terhadap sesiapa juga yang melakukan kerja-kerja Islam di negara ini.
habis...