Umpan untuk murtad RM20
PERMATANG PAUH: Seorang lelaki tidak berwaris mendakwa dipujuk seorang mubaligh yang lancar membaca surah alFatihah, supaya meninggalkan agama Islam yang dianutinya.
Mubaligh itu juga dikatakan menawarkan wang dan pelbagai kemewahan jika dia bersetuju menukar agama.
Mohd Sheriff, 54, yang menghidap penyakit barah usus besar berkata, dia didatangi lelaki berusia 30-an di Masjid Kapitan Keling, Georgetown, Selasa lalu, yang bersungguh-sungguh ingin membantu.
“Dia menghulurkan RM20 kepada saya dan meminta mengikutnya ke satu tempat tinggal lebih selesa dengan syarat saya menganut agama lain.
“Ketika itu, dalam poket saya ada RM1.90 tetapi saya rasa ia lebih besar daripada RM20. Saya dilahir serta dibesarkan sebagai orang Islam dan tidak rela menggadaikan agama semata-mata kerana wang RM20,” katanya kepada Harian Metro di sini, kelmarin.
Mohd tidak mempunyai rumah dan tidur di Masjid Kapitan Keling sejak enam tahun lalu. Dia berjalan merata tempat untuk meminta sedekah bagi menampung kos pembedahan penyakitnya sebanyak RM8,000.
Mohd berkata, ketika memujuknya lelaki itu juga mendakwa boleh membaca surah al-Fatihah dan sudah mengkaji al-Quran sejak berbelas tahun lalu.
“Dia kemudian membaca al-Fatihah dengan lancar sambil disertakan maknanya. Selepas itu dia bersungguh-sungguh mengajak saya mengikutnya dan sanggup mengekori saya dengan van,” katanya.
Mohd berkata, bagaimanapun lelaki itu beredar selepas dia mengugut akan membuat laporan polis jika masih mengganggunya.
“Dia memberi nombor telefon (kod negeri Perak) dan meminta saya menghubunginya jika perlukan bantuan,” katanya.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad ketika diminta mengulas berkata, lelaki itu boleh ditangkap jika benar dia cuba mempengaruhi orang Islam supaya menukar agama.
“Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang boleh mengambil tindakan jika mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan berhubung tindakan pendakwah itu yang cuba mempengaruhi orang Islam supaya menukar agama.
Mengenai penyakit yang dihidapinya, Mohd berkata dia disahkan doktor perlu menjalani pembedahan.
“Saya ada temu janji dengan seorang doktor pakar dari Hospital Pulau Pinang pada 27 Mei depan bagi membincangkan penyakit saya.
“Selama enam tahun saya meminta sedekah dan dapat mengumpul RM1,000 tetapi terpaksa digunakan bagi membeli ubat menahan sakit setiap hari,” katanya.
Mohd berkata, secara purata, dia membelanjakan RM12 sehari untuk membeli ubat dan hanya boleh minum susu, glukos atau Nestum. Dia juga tidak makan nasi sejak penyakit itu bertambah serius enam tahun lalu.
Menurutnya, dia sudah banyak kali berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meminta bantuan tetapi diberitahu oleh pegawai JKM dia perlu menunggu giliran.
“JKM memberitahu akan menampung kos pembedahan sebanyak RM3,500 jika hospital mengesahkan akan membuat pembedahan,” katanya.
................................
13 April 2002
:: Arkib Ada-ada Aje ::