Kemoterapi bantu rawat kanser pankreas

TAHUKAH anda bahawa rawatan kemoterapi selepas pembedahan sebenarnya dapat memanjangkan jangka hayat pesakit yang menghidap kanser pankreas.

Pankreas iaitu kelenjar di abdomen merupakan bahagian yang paling penting untuk sistem penghadaman. Kanser pankreas merupakan salah satu barah yang membunuh dan amat sukar dirawat.

Dianggarkan kurang daripada 10 peratus pesakit hidup dalam tempoh setahun selepas mereka didiagnos menghidap kanser tersebut.

Bagaimanapun, kajian yang disiarkan dalam jurnal perubatan Lancet mendapati pesakit yang diberi kemoterapi selepas pembedahan hidup 40 peratus lebih lama.

Pesakit yang diberi ubat 5-Flurouracil yang digunakan secara meluas untuk merawat kanser pundi kencing hidup enam bulan lebih lama berbanding pesakit yang tidak mendapat rawatan ini.

Kanser pankreas merupakan salah satu kanser yang paling kerap berlaku.

Pankreas mengeluarkan enzim penting untuk penghadaman dan menghasilkan insulin yang diperlukan untuk memastikan keperluan gula mencukupi dalam darah.

Bagaimanapun, penyakit ini dikatakan sukar dirawat kerana selain tidak begitu agresif, gejalanya yang samar-samar dan dikenal pasti pada peringkat lewat menyukarkan rawatan pembedahan.

Penyakit ini biasanya berlaku di kalangan mereka yang berusia antara 60 hingga 80 tahun. Gejala penyakit termasuklah kehilangan berat badan, kurang selera makan, sakit perut dan belakang.

Mereka yang obes berisiko tinggi untuk menghidap kanser pankreas, namun melakukan senaman dalam jumlah yang sederhana dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit ini.


.......................................................
19 Mac 2002




Arkib Sudut Kesihatan